VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 September 2014 / 21 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 05/06/2012

Cawangan Pengangkutan sebati dengan Sood

BAGI Sood Othman, Cawangan Pengangkutan kini lebih jauh berbeza dan mempunyai peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.

HAMPIR separuh daripada tempoh 32 tahun perkhidmatan Sarjan Mohd. Sood Othman bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau ditugaskan bersama cawangan Pengangkutan pasukan itu.

Maka tidak hairanlah kenapa 'orang lama' PDRM yang berusia 52 tahun ini begitu 'masak' dengan segala hal atau masalah berkaitan unit tersebut.

Beliau yang kini memegang jawatan sebagai Sarjan Gerakan 2 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields melihat sendiri transformasi yang dilaksanakan PDRM dalam tempoh tiga dekad itu.

Katanya, pada awal 80-an, anggota dalam cawangan itu terpaksa berdepan dengan kekangan disebabkan kekurangan kenderaan, hingga ada kalanya pegawai penyiasat lewat tiba di lokasi kejadian.

Bukan itu saja, katanya, cawangan itu juga dianggap sebagai satu unit yang tidak 'berkembang' sekali gus menyukarkan anggotanya menerima kenaikan pangkat.

Namun kini semua sudah jauh berubah, cawangan itu dilengkapi dengan pelbagai kenderaan yang mempunyai peralatan canggih malah anggotanya diberi peluang untuk naik pangkat.

"Dulu kalau masuk Cawangan Pengangkutan ini, orang kata akan dapat DSP, bukan Deputi Supritendan Polis tapi Drebar Sampai Pencen.

"Tapi kini mana ada macam itu lagi, semua diberi peluang untuk naik pangkat. Malah tiada lagi masalah kekurangan kenderaan dalam cawangan yang menjadi penggerak utama bagi pasukan ini," katanya ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini.

Menurut bapa kepada lima orang anak ini, perubahan dan penambahbaikan itu bukan saja memberi keselesaan kepada anggota polis namun memberi kesan positif terhadap mutu perkhidmatan pasukan itu kepada orang awam.

Bercerita mengenai penglibatan beliau dalam PDRM, Mohd. Sood berkata, beliau menyertai polis pada tahun 1980 disebabkan minat yang mendalam terhadap pasukan itu.

"Masa itu rakan-rakan lain lebih berminat menyertai tentera, tapi saya tetap memilih untuk masuk polis sebab itulah kerjaya impian saya.

"Alhamdulillah saya diterima untuk mengikut latihan asas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) selama empat bulan selepas memohon pengambilan konstabel polis di kampung saya di Kuala Selangor," katanya yang gemar memancing pada masa lapang.

Apa yang mengagumkan, sepanjang tempoh berkhidmat, Mohd. Sood telah menerima sebanyak 23 surat penghargaan serta pingat yang antaranya diterima daripada Ketua Polis Negara, Ketua Polis Perak dan Kuala Lumpur.

Antara kejayaan beliau ialah menyelesaikan beberapa kes samun kedai dan curi kenderaan dengan tertangkapnya seorang lelaki Melayu dalam satu kejadian di Manjung, Perak pada 2003.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Mohd. Sood berkata, ketika kejadian beliau sedang melakukan rondaan bersama seorang lagi anggota apabila menerima arahan agar menahan sebuah van dinaiki tiga lelaki yang baru saja menyamun sebuah stesen minyak.

"Kebetulan semasa menerima arahan itu, kami berselisih dengan van tersebut. Terus saya membuat pusingan U untuk mengejar kenderaan itu dan mengarahkan mereka agar berhenti.

"Tapi mereka berdegil lalu memecutkan kenderaan. Saya membunyikan siren lalu mengejar mereka sejauh kira-kira 20 kilometer sebelum kenderaan mereka terbabas dan terbalik di satu selekoh.

"Saya berjaya menangkap pemandunya sementara dua lagi rakannya berjaya melarikan diri," ujarnya sambil menunjukkan sijil penghargaan berserta salinan wang RM100 yang diterimanya daripada bekas Ketua Polis Perak, Datuk Amiruddin Embi.

Selain itu, kesetiaan dan kecintaan Mohd. Sood terhadap PDRM bukan saja ditunjukkan melalui tugasan hakikinya, sebaliknya beliau juga aktif dalam persatuan hingga dilantik menjadi Pengerusi Persatuan Pegawai Rendah PDRM (PPRPD) di IPD Brickfields serta Setiausaha PPRPD Kontinjen Kuala Lumpur.

Kerana itulah, 'suara' Mohd. Sood yang sentiasa memperjuangkan hak dan kebajikan ahli sentiasa diberi perhatian oleh pucuk pimpinan PDRM dalam usaha meningkatkan imej pasukan tersebut.

Di samping itu juga, disebabkan pengalaman serta resepi kejayaannya yang sentiasa mengutamakan tugas dan menghormati pegawai atasan itu, Mohd. Sood kini bakal menerima Darjah Pingat Bentara Pasukan Polis yang akan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada 21 Jun nanti.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:12
Maghrib 7:14
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.