VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Julai 2014 / 1 Syawal 1435  
  Carian Arkib
PELANCONGAN

ARKIB : 16/01/2014

Kazakhstan menakjubkan

Bukan sahaja rasa dingin sampai ke tulang tetapi rasa macam nak beku! Begitulah pengalaman penulis sewaktu berkunjung ke Astana, ibu negara Kazakhstan pertengahan Disember tahun lalu. Apa tidaknya, suhu pada ketika itu adalah -15 darjah Celcius.

Kazakhstan adalah bekas negara jajahan Soviet Union dan apa yang terbentang di hadapan saya sewaktu berada di ibu negaranya jelas menunjukkan wawasan hebat pemimpinnya.

Astana, ibu negara kedua paling sejuk dunia sukar hendak digambarkan.

Kebanyakan bangunan dan jalan raya dilitupi salji tebal dan suhu menjunam di bawah paras beku.

Sementara pandangan mata terpaku kepada pelbagai bentuk bangunan luar biasa dan berbentuk futuristik, di dalam hati berkata-kata sendiri bagaimanalah nanti hendak menulis semua yang dilihat.

Saya dan wakil media lain berada di Kazakhstan atas undangan kedutaan negara itu di Kuala Lumpur sempena ulang tahun kemerdekaan ke-22 Kazakhstan pada 16 Disember. Kunjungan selama seminggu itu memberikan kami peluang berada lima hari di Astana dan dua hari di Almaty untuk menghayati kebudayaan Kazakh di samping keindahan negara kesembilan terbesar dunia ini.

Kazakhstan adalah negara republik terakhir Soviet yang mengisytiharkan kemerdekaan selepas pembubaran Soviet Union pada 1991. Presiden negara itu, Nursultan Nazarbayev telah menyandang jawatannya sejak 1990.

Ibu negara lama Kazakhstan, Almaty terletak di banjaran Gunung Tian Sha, kira-kira 966 km ke utara dan amat sejuk.

Astana pula bandar raya moden yang dirancang rapi pembangunannya, seperti yang direncanakan Nazarbayev. Ia mempunyai 700,000 penduduk dan bandar kebanggaan Kazakhstan ini telah menjadi ibu negaranya sejak 1997.

Bangunan-bangunan yang menakjubkan, yang ada kalanya kelihatan pelik membarisi panorama pusat bandar. Ada bangunan yang berbentuk futuristik dan bentuknya tidak pernah dilihat sebelum ini.

Ada bangunan yang bentuknya seperti piring terbang, piramid Mesir, khemah yang luas, telur raksasa, tembikar gergasi, pohon emas di samping kawah yang besar dan wang kertas.

Bangunan kaca piramid setinggi 62 meter dikenali sebagai Palace of Peace and Reconciliation’ itu juga dikenali dengan nama Palace of Peace and Accord. Reka bentuknya adalah hasil tangan arkitek tersohor Britain, Sir Norman Foster.

Bangunan lima tingkat itu juga menempatkan sebuah dewan opera dengan kemampuan tempat duduk sebanyak 1,323, pelbagai dewan serba guna, auditorium dan kemudahan lain.

Ia dibina sebagai tempat pertemuan para pemimpin agama dunia untuk mewujudkan persefahaman antara agama.

Di dewan opera, kumpulan media Malaysia diberi peluang untuk menikmati persembahan Rockopera bertajuk Zheruyik yang berlangsung selama 80 minit.

Ia kombinasi musik rock dan opera berdasarkan lagenda Kazakh yang masyhur.

Meskipun tidak memahami bahasa Kazakh, wakil-wakil media itu masih dapat menghargai persembahan yang sungguh hebat itu.

Mercu tanda ikon

Sebuah lagi bangunan yang dianggap mercu tanda ikonik Astana ialah menara dan monumen setinggi 105 meter Bayterek. Bentuk monumen ini mewakili pohon poplar yang menatang sebiji telur emas burung ajaib yang dikaitkan dengan kebahagiaan.

Menurut Setiausaha Ketiga Kementerian Luar Kazakhstan, Aduov Bakhytbek, Bayterek adalah tarikan popular yang menarik ramai pengunjung dalam dan luar negara memandangkan dek tinjau di atas bangunan itu menawarkan pemandangan 360 darjah bandar raya ini.

Kejutan bagaikan lumrah di Astana dan ini terbukti apabila berdepan dengan satu lagi hasil seni bina yang begitu indah iaitu khemah putih gergasi yang direka bentuk oleh Norman Foster, diberi nama Khan Shatyr atau Maharaja Khemah. Pada waktu malam ia bergemerlapan dalam warna neon yang indah.

Di bawah khemah terbesar dunia itu terdapat pusat hiburan, membeli belah, makan, pasar raya dan tarikan-tarikan lain termasuk padang golf mini, pusat sukan, spa dan juga kolam renang siap dengan pantai yang berpasir.

Kalau anda tidak merasa kagum dengan binaan ini, bagaimana kalau anda diberitahu pasirnya dibawa dengan kapal dari Maldives

Nampaknya, opera dan Kazakhstan bagai lagu dan irama, tidak boleh dipisahkan.

Tiket untuk setiap persembahan opera klasik dan ballet di Astana Opera laris dijual sejak ia dibuka dengan rasminya pada 21 Jun tahun lepas.

Menurut Pengarah State Theatre of Opera and Ballet, Astana Opera, Tolegen Mukhamedzhanov, Astana Opera adalah antara sebuah teater terbesar di dunia dan dilengkapi seni teknologi yang paling canggih.

Ia dibina di kawasan seluas kira-kira 3.6 hektar. Bangunan teaternya seluas 64,000 meter persegi dengan pentas gergasi seluas 3,000 meter persegi, terbahagi kepada empat pentas.

"Rumah opera ini direka bentuk dalam gaya klasik dengan pelbagai motif seperti Hellenistic, Mannerism dan Baroque. Hanya opera dan balet klasik karya agung dipersembahkan di sini.

"Mereka yang memasuki rumah opera akan mendapati diri mereka berada dalam suasana yang berbeza... mereka pasti lupa seketika kesibukan hidup dan menghayati sepenuhnya dunia seni yang ada di depan mata mereka," katanya.

Muzium sejarah

Sementara itu, bagi yang meminati bidang kebudayaan, sejarah dan kesenian, mereka boleh mengunjungi muzium yang diberi nama Presidential Center of Culture.

Muzium lima tingkat dan berbumbung biru itu mempamerkan evolusi dan pembangunan sejarah Kazakhstan. Mereka yang mengunjungi muzium itu berpeluang memahami kisah silam dan masa sekarang negara itu.

Muzium itu menempatkan kira-kira 150,000 artifak berkait dengan arkeologi, sejarah, kebudayaan serta kesenian termasuk memaparkan era kehidupan nomad serta sejarah Islam dan agama lain.

Ia juga mempamerkan barang kemas dan perhiasan tradisional Kazakh, pakaian kebangsaan, peralatan kuda, buku-buku yang sukar ditemui, peralatan senjata, gambar, replika pahlawan Kazakhstan.

Koleksi hadiah yang diterima oleh Presiden daripada ketua-ketua negara serta kerajaan negara-negara lain turut dipamerkan di muzium itu.

Di Astana juga terdapat 'Oceanarium' yang terletak di Duman Entertainment Centre. Ia satu-satunya akuarium marin di dunia yang terletak lebih 3,000 km dari laut. Oceanarium ini mempunyai lebih daripada 2,000 kehidupan marin, mewakili kira-kira 100 spesies fauna laut dari pelbagai bahagian dunia.

Masjid terbesar

Satu lagi seni bina yang mengagumkan di Astana ialah Masjid Hazrat Sultan, masjid terbesar di Asia Tengah yang boleh menampung 12,000 jemaah pada satu-satu masa.

Terletak di kawasan seluas kira-kira 17,000 meter persegi, pembinaan masjid ini mengambil masa kurang dari dua tahun dan mula dibuka untuk pengunjung termasuk bukan Muslim pada Julai 2012.

Masjid yang putih berkilat ini adalah sebuah daripada tujuh buah masjid di Astana, dibina dengan gaya klasik Islam dengan barang perhiasan serta hiasan tradisional Kazakh.

Ia mempunyai empat menara, masing-masing setinggi 77 meter. Ketinggian kubah utamanya ialah 51 meter dengan garis pusat 28 meter.

Setiap sudut masjid begitu menakjubkan dengan perincian tertentu, daripada bahagian luar hingga ke bahagian dalam termasuk pancutan air, permaidani mewah serta candelier, batu mar-mar berwarna-warni di dinding, kaligrafi serta kubahnya.

Imam Masjid Hazrat Sultan, Bahytzhan Ottelbai berkata, meskipun suhu di luar jatuh sehingga bawah kosong darjah, para pengunjung masih boleh merasa kehangatan di dalam masjid itu. Ini kerana masjid itu dilengkapi dengan sistem pemanas moden di bawah permaidaninya.

Kira-kira 70 peratus daripada 17 juta penduduk Kazakhstan beragama Islam fahaman Sunnah berasaskan Mazhab Hanafi.

Astana adalah bukti kejayaan Kazakhstan bukan sahaja berjaya muncul sebagai negara berdaya maju daripada keruntuhan Soviet Union tetapi paling makmur dan stabil daripada segi wawasan dan naluri politik yang betul. - BERNAMA

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.