VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 Ogos 2014 / 24 Syawal 1435  
  Carian Arkib
PELANCONGAN

ARKIB : 10/03/2013

Antara alam,sejarah & islam di China

KEINGINAN merasai pengalaman baru dan mencabar menyebabkan penulis dan empat rakan ke negara yang terkenal dengan Tembok Besar - China. Pertengahan tahun lalu, kami berlima tiba di Lapangan Terbang Cheng Du pada pukul 11.30 malam dan disambut mesra oleh pemandu pelancong, Haba yang kami hubungi melalui Internet.

Sebaik sahaja tiba di hotel, kami merehatkan badan untuk perjalanan esoknya. Seawal pukul 7 pagi, kami bergerak menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) menuju ke Jiuzhaiguo yang terletak kira-kira 450 kilometer (km) dari Chengdu.

Taman Negara Jiuzhai terletak di utara wilayah Sichuan di barat laut China, berada di banjaran gunung MinShan. Perjalanan menempuh kawasan pergunungan gersang dan berliku melalui lebih 10 terowong.

Kami melintas wilayah Sichuan yang teruk terjejas akibat gempa bumi pada 12 Mei 2008 sehingga meragut lebih 68,000 nyawa. Di daerah Wenchuan, pusat gempa, kelihatan rangka kereta tertimbus dan jambatan runtuh.

Walaupun awal musim bunga, cuaca amat sejuk. Dalam perjalanan, kami berpeluang melawat kampung kaum Qiang di pergunungan.

Kami meneruskan perjalanan dan berhenti makan di sebuah restoran Muslim kepunyaan etnik China. Restoran ini menghidangkan daging yak (lembu berbulu panjang di pergunungan) dan sayuran berminyak bagi kami yang kesejukan.

Perjalanan diteruskan dan kami berhenti di sebuah masjid yang terletak 3,000 meter dari paras laut. Angin dingin yang bertiup menyebabkan kami menggigil apabila anggota badan terkena air.

Kami terharu dan berterimakasih kepada ahli jawatankuasa masjid yang bersusah payah menyediakan air panas bagi kami berwuduk.

Semakin menghampiri Jiuzhaiguo, kelihatan puncak gunung dilitupi salji dengan pohon menghijau serta salji memenuhi kiri kanan jalan. Haba memberhentikan kenderaan bagi membolehkan kami merasai salji.

Lewat senja kami tiba di hostel penginapan yang kecil tetapi selesa. Malam itu kami tidur lena. Walau suhu mencecah 4°C, pemanas bilik dan tilam menghangatkan tubuh kami.

Berjalan

Esoknya kami berjalan kaki ke pintu masuk Taman Negara Jiuzhai. Pagi itu baru kami sedar pekan Jiuzhaiguo dan hostel kami terletak di lembah yang dikelilingi gunung-ganang.

Jiuzhaiguo meliputi kawasan seluas 720 km persegi terkenal kerana tasiknya yang hijau kebiruan. Untuk masuk ke sana, kami dikenakan bayaran tiket 80 RMB (luar musim 16 November hingga 31 Mac) dan 220 RMB (musim puncak).

Jiuzhaiguo bermaksud Lembah Sembilan Kampung, dinamakan sempena kampung Tibet di sini dan diwartakan sebagai warisan dunia UNESCO pada 1992.

Di sini terdapat 17 air terjun, 47 mata air dan 114 tasik. Pemandangan tasiknya menakjubkan dengan air jernih dan pantulan cahaya matahari serta mineral di dasar tasik menyebabkan airnya berwarna biru kehijauan.

Khabarnya taman ini paling indah ketika musim luruh apabila kita dapat menyaksikan pelbagai warna di permukaannya. Menurut Haba, ketika itu keadaan sangat sesak dan sukar untuk mendapatkan hotel penginapan berdekatan.

Soal mendapatkan makanan halal tiada masalah kerana di kawasan pergunungan terdapat banyak restoran Muslim. Kami hanya membeli nasi putih kerana kami membawa bekalan makanan.

Seawal 6 pagi esoknya, kami siap memulakan perjalanan kembali ke Chengdu. Lebih kurang 11 pagi kami singgah di Songpan, sebuah pekan kecil tetapi bersih dan teratur.

Kami dibawa ke Muslim Street - satu komuniti orang Islam yang mempunyai kemudahan kedai, masjid dan tempat sembelihan.

Di sana kami bertemu seorang wanita Muslim, Chah dengan anak kecil yang mempelawa kami makan di rumahnya tetapi kami menolaknya dengan baik kerana tidak mahu menyusahkannya.

Kami makan tengahari di sebuah restoran, mencuba mi sup yang agak banyak dan berminyak.

Haba memberitahu, minyak dan lemak amat penting dalam diet penduduk Tibet untuk mengekalkan kehangatan tubuh.

Kami tiba di Chengdu menjelang Asar dan Haba mencari masjid bagi kami bersolat dan menyegarkan diri, malangnya masjid berkenaan sedang dibaik pulih.

Haba membawa kami ke masjid Huangchen. Selesai solat kami membeli kebab dan sate kambing daripada pemuda Uighur yang menjual di depan masjid.

Kemudian kami ke stesen kereta api Chengdu. Tepat pukul 9.20 malam, kami menaiki koc soft sleeper K6 menuju Xi’an - destinasi kedua.

Apabila kami bangun esoknya, kereta api masih meneruskan perjalanan ke Xi’an sejauh 727 km dan mengambil masa 15 jam dengan bentuk muka bumi berbeza dari satu wilayah ke wilayah lain.

Kami tiba di stesen keretapi Xian pukul 11.15 pagi. Xi’an di wilayah Shaanxi adalah antara bandar raya tertua di China dan amat sibuk.

Lawatan

Tumpuan lawatan kami tentunya Terracota Army Museum yang dibina oleh Maharaja Qin Shih Huang. Beliau membina kubu bawah tanah bagi menempatkan replika ribuan tenteranya sekitar 2,000 tahun lalu sehingga menarik jutaan pengunjung dari seluruh dunia.

Sebelah malam kami mengunjungi Masjid Besar Xi’an, masjid tertua dan terkenal di China. Ia terletak berhampiran Drum Tower (Gu Lou) di Huajue Lane, dibina pada tahun 742 Masihi dan masih digunakan oleh etnik Hui.

Ruang solat wanita terletak di deretan kedai, berjauhan dari masjid utama tetapi dihubungkan dengan jemaah lelaki menggunakan radio dan pembesar suara.

Malam itu kami makan malam di restoran halal di Muslim Street dan bersiar-siar pasar malam halal yang terkenal di sana.

Selera melihat pelbagai makanan halal menyebabkan kami mencuba walaupun perut telah penuh.

Hari keenam kami ke lapangan terbang Xi’an. Melalui laman web e-long kami membeli tiket penerbangan domestik dari Xi’an ke Beijing dengan diskaun 70 peratus.

Di Beijing, kami mendapatkan perkhidmatan pemandu pelancong Lily, bagi tiga hari berikutnya. Setibanya di Beijing, Lily membawa kami ke Dataran Tiananmen dan Forbidden City.

Kami bersolat di masjid Niujie yang menjadi tumpuan pelancong sebelum menyaksikan persembahan akrobatik China.

Hari kedua di Beijing kami dibawa ke Silk Factory, hampir semua pembantu jualan mampu bertutur dalam bahasa Malaysia.

Terpikat dengan keramahan mereka, kami berhabis memborong kain sutera. Perjalanan diteruskan ke Tembok Besar China!

Walau kelihatan mudah, tetapi untuk ke satu satu menara memerlukan kekuatan fizikal yang bukan sedikit. Kami bangga dapat menakluki menara Juyong Pass dan diberikan kad ‘Hero’.

Dalam perjalanan pulang kami menempuh kesesakan di bandaraya Beijing. Kami kecewa kerana hasrat membeli-belah di Pasar Hongqiau, Beijing terbantut kerana Lily hanya memperuntukkan kurang satu jam kepada kami.

Sampai di bilik hotel, kami berkemas kerana esoknya akan bertolak ke Tianjin bagi menaiki pesawat pulang.

Kami menyimpan hasrat untuk membeli-belah di Tianjin. Malangnya hasrat kami tidak tercapai. Kami hanya sempat ke sebuah Muslim Hot Pot Restaurant yang menghidangkan stimbot enak.

Tepat pukul 3 petang, kami menaiki pesawat pulang ke Kuala Lumpur, meninggalkan kenangan indah di negara yang penuh sejarah, kaya alam semulajadi dengan kehidupan penduduknya yang berwarna-warni!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.