VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
PELANCONGAN

ARKIB : 19/07/2012

Mencabar usia ke puncak Rinjani

Dua pendaki wanita dari Malaysia bergambar berlatarbelakangkan gunung rinjani di desa sembalun.

FAKTOR usia bukang penghalang untuk wanita terus aktif dalam aktiviti yang diminati. Jika ada kemahuan dan keazaman yang tinggi apa sahaja aktiviti lasak masih mampu dilakukan.

Malah ada wanita yang berusia lebih pantas dan cergas berjalan berbanding dengan peserta yang jauh lebih muda, misalnya dalam aktiviti mendaki gunung.

Justeru, apabila tiga wanita ‘berusia’ berjaya menakluk puncak gunung berapi tertinggi di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia baru-baru ini, ia tidaklah mengejutkan. Ketiga-tiga mereka berjaya menakluk puncak Gunung Rinjani di ketinggian 3,726 meter (12,221 kaki) dari paras laut pada tarikh 1 Julai lalu.

Lebih mengujakan apabila mereka mampu berjalan antara sembilan hingga 15 jam sehari tanpa masalah.

Namun realitinya, untuk menamatkan pendakian ke puncak Rinjani memerlukan kesabaran dan ketahanan mental serta fizikal yang tinggi.

Saya yang turut mengikuti ekspedisi ini bersama Kamariah Ismail (Kay), 50, dan Siti Khadijah Mohd. Yusof (Siti), 44, bersyukur kerana berjaya mengharung cabaran mendaki selama tiga hari dua malam.

Menariknya, pemandu arah kami juga adalah wanita iaitu Muslimatul Jannah Kurniawati (Atun), 31, manakala adiknya, Mustika Sri Wahyuni (Ika), 28, membantu kami menyediakan pengangkutan dan tempahan hotel di Mataram yang merupakan ibu kota Pulau Lombok.

Cabaran mendaki gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu bermula pada 30 Jun dari Desa Sembalun yang terletak di Lombok Timur dan turun mengikut laluan Desa Senaru di Lombok Utara. Jarak Desa Sembalun dari Mataram adalah kira-kira tiga jam memandu kereta.

Kami memulakan pendakian pada pukul 8 pagi dan tiba di tapak perkhemahan Plawangan Sembalun pada pukul 5.45 petang. Turut sama adalah Edi Rahman, 27, jejaka Lombok yang pemalu dan dua pendaki dari Semarang, Jawa Tengah, Aqustiono (Pak Agus), 52, dan anaknya, Luthfi Sufyaan Abdillah, 17.

Sebelum mendaki, kami telah membuat persiapan mental, fizikal, pakaian yang sesuai dan lain-lain. Paling penting adalah membawa ubat-ubatan peribadi.

Persiapan itu penting demi keselamatan. Jika setiap perkara dipandang remeh, tidak mustahil kejadian lapan sahabat meninggal dunia di Gunung Rinjani pada Mac 2007 boleh berulang.

Kesemua pendaki malang itu meninggal dunia kerana terdedah pada suhu sejuk melampau.

Ketika ditemui oleh seorang kaki pancing, kesemua mereka hanya memakai seluar dan baju T tanpa jaket tebal bagi melindungi diri daripada hipotermia.

Laluan panas terik

Untuk sampai ke puncak Gunung Ranjani, para peserta terlebih dahulu akan melalui laluan padang menghijau yang saujana mata memandang.

Ini membuatkan kami terasa seperti berada di dalam ‘ketuhar’. Tiada pokok yang boleh dijadikan teduhan. Yang ada hanya kawasan rumput luas terbentang.

Sepanjang perjalanan, kami berselisih dengan ramai pendaki termasuk dari Eropah.

Selepas makan tengah hari di satu kawasan lapang, kami meneruskan perjalanan ke Pos 1, Pos 2 dan Pos 3. Kami berhenti rehat kira-kira 10 minit di Pos 3 sebelum meneruskan ‘perjuangan’ menempuh dua bukit yang tinggi.

“Ini bukit penyesalan," ujar Atun. Apa yang kami daki adalah tebing kawah Gunung Rinjani. Uniknya Gunung Rinjani mempunyai ‘anak’ yang lahir daripada letusan pada tahun 1944 dan dikenali sebagai Gunung Barujari.

Ia terletak di dalam kawah Gunung Rinjani dan merupakan gunung berapi aktif. Kali terakhir ia meletus pada 2 Mei 2009 dengan mengorbankan 31 orang.

Ketika asyik mendaki, tiba-tiba mata tertancap pada sebuah gunung yang cantik. Apabila ditanya, Edi memberitahu: “Oh...itu Gunung Anak Dara."

Mendengar itu, saya tersenyum sambil berkata: “Nama gunung itu sesuai untuk kita bertiga. Tahu-tahu saja yang kita semua ini masih anak dara."

Kami bertiga ketawa sambil Kay berkata: “Bukan anak dara lagi..tapi dah mak dara."

Siti pula menyampuk dengan berkata: “Allah telah buat sebaik-baik kejadian. Jadi mengapa kita perlu bimbang tentang jodoh, lebih baik kita bimbang tentang amalan yang hendak dibawa apabila kembali kepada-Nya."

Menyentuh tentang hal itu, ramai juga kawan-kawan bertanyakan tentang jodoh. Ada yang bertanya, adakah hobi mendaki gunung menghalang kami mendapat jodoh.

Itu bukanlah jawapannya. Jawapan yang tepat adalah jodoh, ajal dan maut adalah urusan Allah SWT. Sebagai umat-Nya, kita perlu reda dengan setiap ketentuan-Nya.

Justeru, untuk menghilangkan kebosanan kerana hidup bersendirian, kami memilih untuk aktif mendaki gunung. Sekurang-kurangnya kami dapat melihat indahnya alam ciptaan Ilahi, sekali gus mendekatkan lagi diri kepada-Nya.

Trek menggelongsor

Kay yang pernah beberapa kali mendaki bersama saya nampaknya sekadar mampu mengatur langkah yang perlahan.

Biasanya, saya tertinggal di belakangnya untuk jarak yang jauh. Namun kali ini, kami berjalan beriringan.

“Kak Kay...kenapa dah tak laju macam dulu?"Soal saya kepadanya.

“Entahlah...tak larat rasanya. Mungkin faktor usia," jawab Kay ringkas.

Namun, segala kepayahan berakhir tatkala kami tiba di Plawangan Sembalun. Khemah kami didirikan di bawah pohon cemara yang menghadap lereng Gunung Rinjani yang gersang tanpa pokok. Warna pasir hitam mendominasi tebing gunung.

Kami tidur awal kerana subuh esok, kami perlu mendaki ke puncak. Pendakian dilakukan pada waktu subuh untuk melihat panorama matahari terbit.

Sedang diulit lena, terdengar suara Atun memanggil nama kami. Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi.

Kami bingkas bangun dan mengenakan pakaian tebal. Sempat juga kami bersarapan lempeng pisang yang disediakan oleh porter.

Tepat pukul 2.45 pagi, kami meredah kedinginan pagi menuju ke satu tebing. Dari situ, bermulalah laluan berpasir yang licin dan menggelongsor.

Memijak pasir dan batu-batu kecil gunung berapi benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal pendaki.

Setapak melangkah ke hadapan, dua tapak menggelongsor ke belakang. Bukan itu sahaja, jika tidak sabar, maka tak tibalah kami ke puncak. Apatah lagi melihat seorang demi seorang pendaki lain berpatah balik kerana tidak mampu meneruskan pendakian.

Ketika saya dan Edi berjalan beriringan, kami ternampak Siti menapak di atas lereng kiri yang berbahaya.

Melihat itu, Edi menjerit: “Kak Siti...kanan...masuk kanan!" Namun, tiupan angin kencang menenggelamkan suara Edi. Kami akhirnya menjerit serentak dengan sekuat hati, barulah Siti dapat mendengarnya, sekali gus masuk semula ke laluan kanan yang selamat.

Kami bertiga berjalan bersama sehinggalah laluan berpasir berakhir. Segala kepayahan, perasaan cemas dan kelelahan mendaki hilang bak ditiup angin.

Tepat pukul 8.18 pagi tanggal 1 Julai 2012, saya dan Siti tiba di puncak, manakala Kay tiba sekitar pukul 8.30 pagi.

Dari puncak Rinjani, kami dapat melihat pemandangan indah kawah dan Gunung Barujari yang dikelilingi air danau yang membiru.

Dari puncak juga, kami dapat melihat Gunung Agung yang terletak di Bali dan Gunung Tambora di Pulau Sumbawa. Hampir satu jam kami berada di puncak dan sempat bergambar dengan sekumpulan pendaki tempatan dari Malang. Tepat pukul 9.05 pagi kami meninggalkan puncak dengan penuh kesyukuran.

Kami tiba di Plawangan Sembalun pada pukul 12.30 tengah hari. Seperti malam sebelumnya, keletihan membuatkan kami hilang selera makan.

Kami tertidur sekitar setengah jam di dalam khemah dan kurang 15 minit sebelum pukul 3 petang, kami memulakan perjalanan turun ke tapak perkhemahan Danau Segara Anak.

Laluan yang ditempuh menjunam turun kerana kami perlu menuruni dinding kawah setinggi kira-kira 700 meter.

Berjalan sejak awal subuh memang melelahkan, namun kami gagahkan juga diri untuk terus berjalan. Langkah kami perlahan dan hanya tiba di danau pada pukul 6.10 petang. Keseluruhan perjalanan hari itu adalah 15 jam 30 minit.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.