VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Ogos 2014 / 26 Syawal 1435  
  Carian Arkib
PELANCONGAN

ARKIB : 08/07/2012

Cerita terbaru dari Tono

Pemandangan sakura berkembang indah boleh dinikmati di Tono, Jepun pada bulan Mei dan hanya berlaku paling lama 10 hari.

LAZIMNYA jika mahu melawat Jepun, destinasi atau lokasi yang jadi pilihan jika tidak Tokyo, pelawat akan ke Osaka atau Hokkaido. Ketiga-tiganya menjadi lokasi kegemaran bukan sahaja kerana pemandangannya yang cantik, udaranya yang nyaman dan hidangannya yang memikat selera.

Sememangnya, tidak dapat dinafikan Tokyo, Osaka dan Hokkaido destinasi yang istimewa.

Menurut seorang rakan yang jatuh cinta dengan negara Jepun, percutian tahunannya tidak sah jika tidak ke ketiga-tiga lokasi berkenaan.

Jadi, adakah wilayah lain di Jepun tidak istimewa atau menarik?

Berkesempatan berada di Jepun kerana menjadi peserta Program Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (Jenesys) anjuran Pusat Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICE) baru-baru ini, bukan sahaja Tokyo dapat dilawati, bahkan berpeluang menikmati keindahan kampung sebenar Jepun iaitu Tono.

Tono, letaknya di dalam wilayah Iwate, antara wilayah terbesar, sama seperti Osaka dan Hokkaido.

Iwate, merupakan kawasan pesisir pantai dan terkenal dengan pulau serta pantainya yang indah.

Tetapi sayang, bencana berganda tsunami dan gempa pada 11 Mac 2011 menyebabkan beberapa kawasan di Iwate jadi padang jarak padang tekukur.

Antara bandar yang terjejas termasuk Kamaishi, Rikuzentakata, Ofunato dan Miyako.

Secara keseluruhannya, 3,200 kematian dicatatkan di empat bandar berkenaan susulan tsunami lebih setahun yang lalu.

Perangkaan rasmi kerajaan mendedahkan, sejumlah 660 orang yang lain pula hilang dalam malapetaka itu.

Puluhan ribu rumah dan bangunan turut ranap angkara ombak tsunami yang melanda bandar Iwate.

Walaupun antara 22 bandar yang terletak dalam Iwate, Tono tidak terjejas akibat tsunami tahun lalu.

Bandar yang dihuni tidak sampai 30,000 penduduk ini hanya digegarkan gempa kecil pada waktu tersebut dengan skala kemusnahan juga minimum.

Menariknya Tono, ia sebuah perkampungan Jepun yang asli.

Terkenal dengan hasil pertanian dan penternakan kuda, Tono pernah diangkat ke pentas seni melalui karya terkenal berjudul Tono Monogatari atau A Tales of Tono oleh sasterawan Yanagita Kunio.

Di dalam bukunya itu, Kunio menceritakan mengenai kisah dongeng asal dari Tono di mana salah satu daripadanya legenda 'kappa' yang hidup di bawah air.

Mengikut kepercayaan masyarakat di Tono, sehingga kini semangat 'kappa' masih hidup .

Malahan generasi ketiga di bandar itu juga turut percaya 'kappa' pada bila-bila masa menunggu kanak-kanak untuk melemaskan mereka.

Sehingga kini, pada musim perayaan tertentu, masyarakat di Tono mengukir patung 'kappa' dan membuat tarian tradisonal khusus untuk 'kappa'.

Tarian yang kebiasaannya dilakukan pada bulan Februari itu menggamit ribuan pengunjung setiap tahun ke Tono, bagi menyaksikan sendiri keistimewaan tarian tersebut.

Selain keistimewaan 'kappa',Tono juga terkenal dengan produk pertanian.

Mengikut sejarah, bandar Tono yang lama dibangunkan untuk ternakan ulat sutera dan kapas bagi menyediakan pakaian sejuk lagi tebal kepada askar-askar yang berperang dengan Mongolia.

Oleh kerana Tono di Iwate letaknya paling utara berbanding wilayah lain di Jepun, cuacanya lebih sejuk. Musim saljinya lebih lama berbanding tempat-tempat lain di Jepun.

Disebabkan kelainannya, sayur-sayuran seperti kubis, kucai, daun bawang serta buah-buahan seperti epal dan beri dapat hidup subur di Tono.

HasilEpal dan beri yang dihasilkan di Tono antara yang terbaik atau paling bermutu di Jepun.

Begitu juga, sekali pun sakura tidak kelihatan lagi di Tokyo pada awal Mei, keistimewaan Jepun itu masih boleh dinikmati di Iwate, lebih khusus di Tono dan bandar-bandar lain di wilayah berkenaan.

Untuk rekod, sakura hanya muncul untuk tempoh seminggu sahaja iaitu selepas musim sejuk atau menjelang musim panas.

Keistimewaan Tono juga terletak pada pengeluaran padinya.

Mengikut sejarah, Tono yang moden dibangunkan untuk menjadi kawasan pengeluaran padi bagi dijadikan beras seterusnya menjana ekonomi Jepun sebagai negara pertanian.

Seorang rakan yang pernah belajar di negara matahari terbit itu mengakui bahawa beras yang asalnya dari Tono adalah beras terbaik pernah dinikmatinya.

Kata rakan itu "Beras dari Tono, teksturnya putih lembut, rasanya pula sedikit manis, tidak perlu lauk untuk menghabiskannya."

Sejarah juga mencatatkan beras dari Tono digunakan untuk hidangan istana yang hanya Maharaja dan Maharani sahaja boleh menikmatinya suatu ketika dahulu.

Namun kini, orang kebanyakan juga sudah boleh menikmatinya tanpa halangan.

Di Tono, setiap rumah penduduknya pasti ada sawah padi, kebanyakannya untuk diri sendiri dan keluarga, tetapi ada juga menjadikannya sebagai sumber rezeki.

Pasca gempa dan tsunami, Tono giat mempromosikan produk pelancongannya. Uniknya Tono, ia cuba mempopularkannya melalui inap desa atau homestay.

Pelancong boleh merasai kehidupan rakyat Jepun yang asli, baik dari segi komunikasi, budaya dan sosial atau makanan.

Keadaan rumah di Tono juga cukup memikat kerana masih mengekalkan ciri-ciri tradisi seperti tempat kediaman berbentuk L dan menyerupai istana semasa pemerintahan Maharaja Meiji.

Tono juga mempunyai lebih enam kolam air panas atau dipanggil Onsen untuk dinikmati pengunjung.

Kolam air panas banyak di Tono disebabkan terdapat beberapa gunung berapi di Iwate. Antaranya Gunung Iwate yang masih aktif sehingga kini.

Lahar yang dimuntahkannya sebelum ini mengalir sehingga ke empat buah bandar termasuk di Tono sekali gus membentuk kolam air panas.

Apa yang menarik, kolam air panas di Jepun, tanpa terkecuali di Tono, pengunjung tidak dibenarkan memakai baju.

Kepada yang pertama kali ke kolam air panas pasti terkejut dengan peraturan itu, tetapi perlu menghormatinya kerana itulah tradisi yang diamalkan sebelum ini sehingga sekarang.

Namun apa yang pasti, mandi di kolam air panas mengikut kepercayaan boleh mendatangkan kebaikan untuk kesihatan badan.

Tono, sebagai sebuah bandar di Iwate, tidak terkecuali membantu bandar jirannya yang terjejas kerana bencana.

Pasca tsunami dan gempa, melalui produk pelancongannya serta pertanian, ia digunakan bagi membolehkan bandar yang menjadi padang jarak padang tekukur bangkit semula.

Rumah penempatan sementara untuk mangsa tsunami dan gempa misalnya, menggunakan kayu kayan daripada Tono bagi pembinaannya.

Di sini, ia tidak memerlukan import dari luar Iwate untuk bahan asas pembinaan rumah.

Terdapat lebih 2,300 mangsa tsunami ditempatkan di rumah penempatan sementara di mana Tono menjadi pusat untuk menyelaraskan bantuan makanan dan motivasi serta sebagainya.

Tono, bandar kecil dengan cerita pelancongan yang menarik. Ia sebuah bandar yang ada segala-galanya jika mahu melihat cerminan wajah Jepun yang asli.

Orangnya peramah lagi baik hati; makanannya asli memikat; tidak terkecuali udaranya bersih, sebersih jalannya.

Begitu juga budayanya, amat menarik penuh dengan sejarah tetapi tetap berpijak kepada masa depan demi pembangunannya. Jadi, apa lagi, pilih untuk ke Tono, Iwate jika terfikirkan Jepun.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.