ARKIB : 23/06/2012
Sengkang mata demi masyarakat
JARUM jam sudah melewati detik 12 malam dan sebagaimana kebiasaan, suasana di bandar raya Kuching agak suram. Bagaimanapun dalam keheningan malam, kelihatan sebuah van berwarna putih dengan logo Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergerak pantas membelah laluan yang lengang menuju ke satu lokasi.
Ia kemudian memasuki kawasan perumahan di Blok C, Lorong 16, Kampung Haji Baki, Batu 7 dan sejurus tiba, lima lelaki berusia lewat 20-an pantas keluar daripada kenderaan berkenaan.
Kehadiran lelaki beruniform biru itu disambut oleh tuan rumah yang kelihatan gelisah dan sangat memerlukan pertolongan.
Ini kerana terdapat dua ekor ular iaitu tedung selar dan sawa sedang 'bersengketa' berhampiran rumahnya sehingga mengganggu ketenangan malam.
Lima anggota JPAM itu perlu meleraikan ular berkenaan kerana bimbang ia akan membahayakan keselamatan penduduk.
Mereka mengeluarkan peralatan asas seperti penyepit, galah, penyangkut, guni dan pita pelekat.
Selang 20 minit, ular tersebut berjaya ditangkap dan penduduk kejiranan itu tersenyum kelegaan.
Seorang daripada anggota JPAM, Koperal Mohd. Nor Julai, 27, berkata, walaupun hanya dibayar elaun RM4 sejam dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai bahaya, mereka gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat.
"Daripada berkumpul sambil 'berbual-bual kosong' di kedai kopi lebih baik kami menjadi anggota sukarela JPAM, sekurang-kurangnya dapat juga kami menyumbang tenaga kepada masyarakat daripada duduk sahaja," katanya ketika ditemui S2, baru-baru ini.
Mohd. Nor merupakan salah seorang daripada 200 anggota Bahagian Kecemasan, JPAM Kuching yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam selepas menerima panggilan daripada orang ramai atau balai polis yang memerlukan bantuan sokongan.
Mereka akan bertugas secara bergilir-gilir selama lapan jam dengan pecahan tiga syif.
Sekurang-kurangnya 10 anggota bertugas daripada pukul 4 petang hingga 12 tengah malam sebelum menyerahkan tugas kepada kumpulan kedua untuk tempoh 12 tengah malam hingga 8 pagi sebelum diteruskan oleh kumpulan ketiga bermula 8 pagi hingga 4 petang.
Sementara itu, seorang lagi ahli JPAM, Asmadi Yat, 42, berkata, waktu kerja yang tidak menentu bukannya satu masalah kerana kepuasan yang diperoleh daripada tugas itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.
Justeru, beliau berharap lebih ramai golongan muda terutama 'mat rempit' menyertai pasukan sukarelawan itu bagi menyumbang bakti kepada masyarakat.
"Kewujudan pasukan JPAM sangat penting untuk membantu masyarakat di peringkat awal bencana sebelum kedatangan anggota polis atau ambulans," katanya.
Turut berkongsi pengalaman ialah Sarjan Sedik Padil, 55, yang merupakan anggota paling senior yang berkhidmat bersama JPAM Kuching.
Katanya, sepanjang 25 tahun perkhidmatannya, beliau sering mengendalikan kes-kes kebakaran dan menyelamatkan mangsa nahas jalan raya tanpa mengira waktu.
"Setakat ini, saya belum pernah mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana kesemuanya adalah kebakaran kecil dan saya sering menasihatkan anggota JPAM yang baru dalam pasukan ini sekiranya ada kebakaran besar, jangan sesekali tunjuk pandai sebaliknya tunggu pasukan bomba," kata bekas askar itu.
Dalam pada itu, Saiful Abdullah, 21, yang baru enam bulan menyertai JPAM berkata penglibatannya dalam pasukan itu memberi pengalaman yang amat bernilai berbanding pekerjaannya sebelum ini.
"Walaupun elaun yang diterima tidaklah lumayan, namun saya berasa puas apabila dapat menyelamatkan mereka yang berada dalam kesusahan.
"Waktu kerja mengikut shift juga menyeronokkan kerana suasana bertugas pada waktu siang, malam dan awal memberikan pengalaman yang berbeza," katanya.
Fishing Bay Resort gamit pengunjung
Pakej pelancongan terbaik Muslim
Khao San pusat backpacker
Berjumpa lagi di Dusseldorf dan Cologne
Beca selepas 70 tahun
Kini hanya jadi produk pelancongan popular
Waris seni pertukangan beca
Hiasan cecah ribuan ringgit
Amalan khurafat jadi 'pelaris'
Nasi lemak istimewa Anggun Fusion
Keindahan Gugusan Labian
Peserta Gerbang Cinta ke China
Istanbul Aku Datang!
Ros Thaif di kelambu Kaabah
Umpama berada di alam fantasi
Enaknya Nasi Arab 3 Rasa
Seronok bercuti bersama keluarga
Percutian penuh keinsafan
Merenda impian di United Kingdom
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









