VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
PAHANG

ARKIB : 10/05/2013

Casa Harapan bela nasib pesakit HIV

KUANTAN 9 Mei - Sejujurnya tidak ada seorang pun manusia mahu dilahirkan dalam keadaan kekurangan, apatah lagi terpaksa menanggung kesengsaraan daripada kekhilafan orang lain.

Menjadi insan terbuang sudah cukup menghibakan apabila dipinggirkan darah daging sendiri yang mana bukan berpunca daripada kesilapan sendiri.

Demikian peritnya liku-liku kehidupan yang terpaksa dilalui penghuni Rumah Perlindungan Kanak-Kanak dan Wanita Casa Harapan (Casa Harapan), Jalan Teluk Sisek di sini.

Cukup menghibakan, kebanyakan penghuni adalah kanak-kanak terpinggir dan wanita ditinggalkan suami, sebahagiannya merupakan penghidap HIV.

Casa Harapan dibina oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang dinamakan Drugs Intervention Community (DIC) bagi membantu anak-anak dan isteri golongan penagih dadah yang ditinggalkan.

Menurut Pengarah Projek DIC, Khalid Hashim, Casa Harapan ditubuhkan pada 2008 untuk membela anak-anak tidak berdosa yang terbiar dan isteri penagih dadah dipinggirkan masyarakat setelah berkahwin dengan penagih dadah dan disahkan mengidap HIV.

''Di Casa Harapan, kami bukan sahaja memberikan perlindungan, malah segala keperluan kehidupan termasuk asas-asas keagamaan seperti mengaji al-Quran.

''Kami juga mempunyai kaunselor terlatih untuk membimbing mereka terutama kepada wanita yang positif HIV agar cekal meneruskan kehidupan," katanya pada Majlis Penyerahan Tajaan Gas Memasak oleh National Gas Company Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Penghuni di rumah tersebut amat bertuah dengan kehadiran Presiden Majlis Aids Malaysia, Datuk Dr. Raj Karim dan penyanyi, Dayang Nurfaizah yang sanggup menghiburkan kanak-kanak di situ.

Di Casa Harapan, terdapat 15 kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun dan dua daripadanya merupakan pengidap HIV manakala empat ibu tunggal yang tinggal di sini turut menghidap HIV.

Sementara itu, Pengurus Casa Harapan, Noridani Norhadi berkata, setiap penghuni di sini diterapkan di minda mereka supaya menjadikan Casa Harapan sebagai rumah sendiri.

''Kita tidak mahu mereka merasakan Casa Harapan sebagai pusat perlindungan tetapi kita terapkan agar golongan ini berasa seperti rumah sendiri dan bebas melakukan apa-apa sahaja seperti orang lain apabila berada di rumah masing-masing.

''Dalam masa yang sama, mereka bersekolah seperti kanak-kanak lain dan akan diadakan kelas tambahan serta mengaji di Casa Harapan," ujarnya yang berkhidmat selama lima tahun.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan mereka masih mempunyai keluarga dan saudara-mara terdekat.

''Justeru, apabila cuti sekolah dan hari raya kita akan lebih menggalakkan mereka bersama keluarga serta sanak-saudara dan ada antara mereka diterima dengan baik," katanya.

Bagi seorang penghuni, Ziela (bukan nama sebenar), 35, ibu beranak tiga itu disahkan mengidap HIV sebaik sahaja berkahwin dengan suami yang merupakan penagih dadah ketika berusia 19 tahun.

''Saya sangka selepas berkahwin, saya mampu mengubahnya, namun impian saya terkubur apabila giannya bertambah sehinggakan dia sanggup mengambil dadah di hadapan anak-anak yang sedang membesar.

''Selepas bercerai, saya disahkan positif HIV kerana berjangkit dengan suami. Bertambah malang apabila keluarga dan masyarakat mula memandang serong dan saya mengambil keputusan untuk menetap di Casa Harapan," katanya.

Tambahnya, Casa Harapan membuka lembaran kehidupan yang baharu kepadanya bersama anak-anak.

''Saya lebih tenang di sini dan bahagia dapat meneruskan kehidupan bersama anak dan rakan-rakan yang senasib," katanya.

Dia memberitahu, tiga anaknya yang berusia lima hingga 12 tahun bebas daripada HIV.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.