VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
LUAR NEGARA

ARKIB : 07/05/2012

Ketegangan China, Filipina membimbangkan

Ketegangan antara China dan Filipina berhubung pertikaian wilayah di kepulauan Spratly, Laut China Selatan dilihat seperti tiada 'redanya'.

Ramai bimbang konfrantasi itu boleh mencetuskan perang apabila kedua-dua negara bertegas meuntut kedaulatan ke atas wilayah yang kaya dengan sumber semula jadi di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

Hujung bulan lalu, sebanyak 7,000 askar Amerika Syarikat (AS) dan Filipina terlibat dalam satu latihan bersama selama dua minggu di pulau Palawan, berdekatan Scarborough Shoal, sebuah daripada pulau yang menjadi perbalahan.

Tindakan itu dilihat meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara.

Menurut Komander Tentera bahagian Barat Filipina, Jeneral Leftenan Juancho Sabban, latihan itu hanya bertujuan memperbaiki kemahiran pasukan keselamatannya dan China tidak dijadikan bayangan serangan dalam latihan tersebut.

Seminggu sebelum itu, Beijing memberi amaran sebarang latihan ketenteraan hanya akan mewujudkan konfrontasi bersenjata di wilayah itu, yang dilihat sebagai amaran keras China, selepas beberapa minggu ketegangan berlarutan.

Tidak cukup dengan itu, pasukan komando Filipina turut menjalani latihan digugurkan dari helikopter milik tentera AS, di pelantar minyak Palawan.

Filipina menyatakan latihan perang tahunan tersebut merupakan sebahagian daripada Perjanjian Pertahanan Bersama 1951 (MDT), satu daripada jaringan perikatan keselamatan AS bersama negara-negara Asia dan wilayah Pasifik yang ditanda tangani ketika Perang Dingin.

Banyak pihak percaya, latihan terbaru tentera itu merupakan pelan kedua-dua negara sekutu bagi menangkis sebarang kemungkinan serangan ke atas wilayah Filipina.

Beratus-ratus kilometer di bahagian utara, pula kapal pengawal perairan Filipina dilihat melakukan kawalan berdekatan wilayah yang dipertikaikan di Scarborough Shoal.

Dengan tindakan kedua-dua negara tidak mahu beralah, ketegangan dilihat semakin menemui jalan buntu.

China terkenal dengan sikapnya yang tidak berkompromi terutama membabitkan soal kedaulatan negara itu.

Republik itu pernah menggunakan kekuatan tentera lautnya pada 1995 untuk menawan semula Terumbu Mischief yang diduduki tentera Filipina.

Tentera laut China juga pernah bertempur dengan tentera laut Vietnam pada 1988 berhubung perebutan ke atas kepulauan Spratly di Johnson Reef. Dalam insiden itu, bot tentera laut China menenggelamkan beberapa buah kapal pengangkut Vietnam yang membawa tentera Vietnam menyebabkan 64 tentera Vietnam terbunuh.

Malah China juga pernah menempatkan beribu-ribu askarnya di kawasan perbalahan di wilayah Tibet, yang menjadi pertikaian antara negara itu dengan India.

Ekoran insiden tersebut, China dikatakan berusaha menyekat pinjaman India berjumlah AS$2.9 bilion (RM12 bilion) daripada Bank Pembangunan Asia yang disasarkan bagi tujuan pembangunan di wilayah terlibat.

Malah China pernah berperang dengan India berhubung kawasan sempadan di Kashmir.

Dalam krisis melibatkan kepulauan Spratly, China enggan menyelesaikan pertikaian tersebut dengan negara yang tidak terlibat, terutamanya AS, yang mahu ia diselesaikan secara aman kerana melibatkan kepentingan antarabangsa.

Beijing mahu rundingan secara langsung hanya diadakan dengan negara-negara terlibat.

China dilihat seakan-akan tersepit, selain mempertahankan apa yang didakwanya sebagai kedaulatannya, republik itu juga perlu memikirkan hubungannya dengan negara-negara yang membuat tuntutan, kesemuanya adalah negara jirannya termasuk Malaysia.

ASEAN adalah badan serantau yang paling berkesan dan layak untuk menjadi perantara bagi membantu menyelesaikan pertikaian di kepulauan Spratly.

Seorang senator daripada parti pemerintah Filipina menyarankan kedua-dua negara bekerjasama meneroka sumber semula jadi di wilayah yang menjadi perbalahan kerana ia dilihat sebagai satu-satunya penyelesaian praktikal yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Senator Ralph Recto berkata, ketegangan hanya merugikan kedua-dua negara, sebaliknya kerjasama bagi meneroka sumber di wilayah yang dipertikaikan itu tidak akan menjejaskan kedaulatan wilayah masing-masing.

Beliau juga tidak mencadangkan Filipina menunggu keputusan ASEAN, memandangkan kebanyakan negara anggota pertubuhan serantau itu turut mempunyai pertikaian bertindih dengan China di wilayah perairan itu, selain hubungan perdagangan.

Menurutnya, satu polisi usahasama patut diwujudkan agar kedua-dua negara boleh manfaatkannya.

Katanya, kedaulatan Filipina tidak terjejas melalui usahasama tersebut, sambil memberi contoh kes yang sama berlaku di mana kedua-dua negara terlibat meneroka sumber gas asli di Malampaya, tidak jauh dari Palawan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.