VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
LAPORAN KHAS

ARKIB : 06/11/2012

Kita ketandusan pelari pecut

ERA Watson Nyambek, Nazmizan Muhammad dan Azmi Ibrahim pada lewat 90-an boleh dianggap kemuncak kepada kecemerlangan sukan olahraga negara khususnya dalam acara pecut.

Ketika itu kecemerlangan bukan hanya dirasai dalam acara individu tetapi acara 4x100 meter berganti-ganti turut menerima tempias tuah kejayaan pelari pecut yang dimiliki negara.

Setiap kali mereka bersatu, pastinya mereka tidak pulang tangan kosong (pingat), paling tidak pun akan memecahkan rekod kebangsaan.

Kini semuanya tinggal kenangan. Selepas Watson dan rakan-rakan seperjuangannya bersara lebih sedekad lalu tiada lagi berita kejayaan daripada pelari 4x100m negara.

Soalnya, apakah Malaysia sudah ketandusan manusia terpantas atau sudah tiba masanya untuk kita mengambil ‘anak angkat’ dari negara lain seperti yang dilakukan banyak negara Eropah.

Menerusi laporan khas dua bahagian ini, Wartawan Utusan Malaysia, ZAZALI JAMIAN mengupas persoalan ini yang telah membelenggu untuk sekian lamanya.

KUALA LUMPUR - Suatu ketika dahulu kuartet olahraga yang beraksi dalam acara 4x100 meter lari berganti-ganti disegani di Asia Tenggara.

Jika tidak membutirkan pingat sekalipun, kelibat mereka tetap menjadi perhatian pesaing-pesaing dalam trek mahupun peminat-peminat di luar.

Gandingan hebat Watson Nyambek, Nazmizan Muhammad, Azmi Ibrahim dan R. Ganeshwaran boleh dianggap sebagai yang terbaik pernah dimiliki negara.

Antara kejayaan terbesar mereka ialah mencipta rekod baru kebangsaan dengan catatan 39.83 saat pada Sukan SEA 2001 sekali gus menjadi bukti kejayaan olahraga Malaysia dalam acara 4x100m lelaki kira-kira 11 tahun lalu.

Catatan masa itu juga telah meleburkan rekod lama kebangsaan 40.06s yang dibuat oleh rangkaian Tan Kok Lim, Hamberi Mahat, Ganeshwaran dan Watson di Fukuoka, Jepun pada tahun 1998.

Namun, selepas lebih sedekad, olahraga melalui zaman turun dan naik, masih belum ada lagi kuartet 4x100m lelaki yang berupaya memperbaiki catatan masa tersebut.

Lebih membimbangkan selepas gandingan jaguh pecut tersebut meninggalkan acara reben biru, catatan masa yang hampir mengatasi rekod kebangsaan hanya berupaya dilakukan pada Sukan SEA 2007 iaitu 39.90s untuk pingat gangsa menerusi Arif Naim Jeffry, Mohammad Noor Imran A.Hadi, Muhammad Latif Nyat dan Mohd. Zabidi Ghazali.

Selepas itu, gandingan yang ada hanya berupaya membuat catatan masa sekitar 41 hingga 40 saat.

Terbaru pada Sukan SEA 2011 Indonesia, kuartet negara hanya mencatatkan masa 40.41s untuk membawa pulang pingat gangsa melalui Mohammad Noor Imran, Mohd. Zabidi, Mohd. Azhar Mohd. Ismail dan Mohd. Ikhwan Noor.

Pada kejohanan peringkat kebangsaan seperti Sukan Malaysia 2012 di Kuantan Pahang, rangkaian pingat emas dari Negeri Sembilan yang dibarisi Mohd. Nur Azli Azmi, Mohd. Hakim Rosli, Mohd. Aizat Mokhtar serta Mohd. Shahmim Azmi sekadar mencatat 41.79s.

Ketika ini rekod 4x100m Sukan Malaysia masih lagi belum tercabar iaitu 41.04s milik kuartet Sabah yang dilakukan pada temasya sama 2008 di Terengganu.

Andai dahulu pesaing dari Singapura dan Indonesia terlalu sukar untuk mengejar gandingan 4x100m negara, kini catatan dua negara tersebut sudah pun berada di bawah 40s selain sering mendominasi acara tersebut di peringkat Asia Tenggara.

Kegemilangan lalu seolah-olah tiada pewarisnya dan rentak larian kuartet terus sumbang.

Begitu juga yang berlaku dengan kuartet wanita yang sehingga kini masih sukar untuk dijelmakan.

Pada 2010, bekas ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Harun Rasheed pernah menghasilkan kuartet wanita yang cemerlang.

Norjannah Hafizah Jamaluddin, Siti Zubaidah Adabi, Yee Yi Ling dan Nurul Sarah Abdul Kadir tidak mengecewakan apabila berjaya mencipta rekod baru kebangsaan 45.33s ketika menyertai Grand Prix (GP) Poland 2010.

Rekod lama kebangsaan dalam acara 4x100m wanita sebelum ini dipegang selama 21 tahun melalui rangkaian Anita Ali, G. Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Datuk Mumtaz Jaafar yang melakukan catatan 45.37s pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Kejayaan mereka itu turut mendapat perhatian Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan mereka dijadikan sebagai sandaran utama untuk menghadiahkan pingat buat negara dalam kejohanan besar disertai.

Namun, harapan untuk melihat gandingan tersebut menghadiahkan pingat emas pada Sukan SEA 2011 tidak kesampaian apabila kesemua mereka berpecah selepas dikaitkan dengan isu atlet lari ujian doping pada Mei tahun lalu.

Disebabkan isu itu juga persefahaman antara mereka mula pudar hingga menyebabkan ada pelari lebih selesa memberi tumpuan dalam acara individu.

Persoalannya, sampai bila keadaan itu akan berterusan?

Tambahan pula negara masih mempunyai pelari pecut yang boleh untuk digandingkan selain berpotensi melangkah jauh seperti Mohammad Noor Imran A. Hadi, Mohd. Zabidi Ghazali, Ambrose Jilom, Mohd. Shahmim Azmi dan Harith Ammar Mohd. Sobri.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.