VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KOTA

ARKIB : 26/09/2013

PPKMHL minta penjelasan

Sebahagian daripada pengusaha kios makanan Melayu di sekitar Hulu Langat mengadakan bantahan di perkarangan ibu pejabat MPKj berhubung notis meroboh struktur tambahan premis mereka di Kajang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KAJANG 25 Sept. - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diberi tempoh selama dua minggu dari sekarang untuk memberi penjelasan berhubung notis yang dikeluarkannya kepada 60 pengusaha kios makanan di sekitar Hulu Langat agar merobohkan struktur tambahan di premis masing-masing atau bantahan besar-besaran akan diadakan.

Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Kios Melayu Daerah Hulu Langat (PPKMHL), Mohammad Hanapiah berkata, ahli-ahli persatuannya tidak berpuas hati dengan pengeluaran notis itu kerana struktur tambahan yang mereka bina tidak menimbulkan gangguan terhadap mana-mana pihak.

Mengikut notis berkenaan, pengusaha-pengusaha kios makanan itu diberikan tempoh hingga Isnin lalu untuk merobohkan binaan tambahan berkenaan.

"Perjanjian dahulu memang perniagaan berkonsepkan kios tetapi sekarang pelanggan kami bertambah ramai. Jadi, kami mengambil inisiatif untuk membina struktur tambahan berkenaan menggunakan wang sendiri.

"Kami mahu berniaga dan menjaga pelanggan. Kami berasa hampa dan tidak berpuas hati apabila MPKj ingin merobohkannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bersama-sama seramai 100 peniaga kecil, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak MPKj di hadapan bangunan MPKj dekat sini hari ini.

Memorandum itu diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman.

Dalam perkembangan sama, Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada MPKj dengan meminta supaya gerai-gerai berkenaan tidak diroboh.

"Kami minta 60 gerai yang menerima notis itu supaya jangan diroboh. Difahamkan, ia akan dirobohkan kelmarin jadi kami minta tangguh dan berbincang supaya beri tempat yang sesuai sebelum kios itu dirobohkan.

"Peniaga gembira jika gerai-gerai mereka mahu dinaik taraf. Ini belum bagi tempat, terus nak roboh," katanya.

Tambah Mohd. Ridzuan, pihaknya mahu memastikan supaya peniaga bumiputera tidak ditindas selain ingin mengumpulkan semua peniaga-peniaga kecil seluruh negeri Selangor untuk mengadakan bantahan besar-besaran di pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagi peniaga kios di Sungai Jelok, Norhayati Harun, 39, pula berkata, dia mahu memfailkan saman terhadap MPKj bagi menuntut ganti rugi yang dialaminya setelah gerainya dirobohkan pada Jun lalu.

"Biar saya mati kerana orang Melayu. Saya salah seorang yang sudah jadi mangsa, jangan peniaga lain juga menjadi mangsa. Pihak terbabit sewenang-wenangnya meroboh gerai saya ketika anak saya sedang memasak ketika itu.

"Semalam, saya telah membuat laporan polis dan mahu saman MPKj. Mereka tidak sedikit pun berasa simpati terhadap peniaga golongan ibu tunggal yang terpaksa bersusah payah menyara keluarga. Pihak itu mendapat gaji bulanan berasa senang untuk tidur malam, kami ini?

"Ada yang membuat pinjaman bank selain program Kios Mikro MARA-MPKj," ujarnya kecewa.

Sementara itu, Kamarul Izlan menyatakan pihaknya akan membawa isu tersebut ke peringkat pengurusan tertinggi bagi melihat dan mengkaji semula memorandum berkenaan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.