VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 08/03/2013

Rahsia Nasi Lemak Ujang

Noraishah Mohd. Nor melayan pelanggan di Restoran Nasi Lemak Ujang, di Bandar Baru Selayang, Selangor.

NASI lemak pada masa kini bukan lagi hanya dimakan semasa sarapan pagi. Setiap masa sama ada pagi, tengah hari, petang, malam atau lewat malam, nasi lemak tetap disukai.

Jika anda merupakan penggemar tegar nasi lemak dan tinggal di sekitar Gombak, Batu Caves atau Selayang, Selangor, nama Nasi Lemak Ujang bukan sesuatu yang baharu.

Nasi Lemak Ujang sebenarnya sudah mencipta nama apabila memulakan perniagaan di Taman Greenwood, Gombak, Selangor, sejak tahun 1981.

Pastinya ada rahsia tersendiri bagaimana nasi lemak itu masih bertahan dan menawan hati penggemarnya walaupun kini telah menjangkau usia 32 tahun.

Perniagaan nasi lemak yang dimulakan oleh Juairiah Mohd. Sharif, 60, kini diteruskan oleh anak perempuannya, Noraishah Mohd. Nor, 43, setelah Juairiah kini uzur.

Noraishah yang ditemui di cawangan kedua Nasi Lemak Ujang di Bandar Baru Selayang (BBS) berkata, memandangkan sambutan yang tidak menang tangan di Taman Greenwood, beliau terfikir untuk membuka cawangan di BBS.

Sebelum itu, beliau pernah berniaga di belakang Hotel Concorde dan sambutan yang diterima juga terlalu amat menggalakkan. Malangnya gerai tersebut terpaksa di tutup kerana kekurangan pekerja.

''Saya tinggal di BBS dan apa yang saya lihat masih belum ada lagi orang yang menjual nasi lemak pada waktu malam di sekitar sini. Pada mulanya saya hanya membuka gerai sahaja dan kemudian menyewa ruang kecil di restoran ini.

''Bagaimanapun pemilik restoran ini mempelawa supaya saya menyewa keseluruhan restoran ini kerana dia sendiri melihat setiap hari ramai yang datang berbaris untuk membeli nasi lemak. Dia sendiri penggemar Nasi Lemak Ujang,'' kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Menurut Noraishah yang pernah bekerja di sebuah hotel di ibu negara, memang sejak muda lagi dia selalu membantu ibunya membuat nasi lemak.

Apabila keadaan kesihatan ibunya tidak mengizinkan, ibunya meminta dia untuk mengambil alih. Bagaimanapun ketika itu, dia masih bekerja.

''Suami (Mohamad Yusni Haron) yang banyak mendorong saya untuk meneruskan perniagaan Nasi Lemak Ujang ini.

''Setahun saya belajar memasak dan kemudian mengambil alih sepenuhnya memandangkan adik-beradik lain tidak berminat.

''Suami yang turut berhenti kerja kini membantu sepenuhnya. Saya memasak semua lauk-pauk sementara suami memasak nasi,'' kata Noraishah yang turut dibantu oleh enam orang pekerja.

Setiap hari dia memasak sehingga 100 kilogram beras untuk nasi lemak di gerai di Taman Greenwood dan restoran di BBS.

Cara memasak nasi lemak itu amat rumit di mana beras akan direndam selama setengah jam, ditos, dikukus separuh masak, kemudian direndam pula dalam air panas, dikacau sekejap, ditos semula, disiram air sejuk hingga beras sejuk.

Beras kemudian dikukus semula dan setelah itu dituang santan yang telah dimasak dahulu ke atas nasi dan dibiarkan 15 minit sehingga santan dan nasi mesra.

Inilah rahsia kelazatan Nasi Lemak Ujang. Walaupun cara pembuatannya rumit, namun hasilnya sehingga licin pinggan.

Nasi Lemak Ujang boleh dimakan dengan lauk nasi lemak biasa tetapi terdapat juga beberapa jenis lauk-pauk yang memang menyelerakan seperti sambal sotong, sambal udang, sambal kerang, rendang ayam, rendang daging, rendang limpa, paru goreng berlada, ayam masak merah, ikan keli goreng, ayam goreng dan bergedil.

Dalam sehari, lima hingga enam tong nasi lemak habis dijual di mana setiap satu tong adalah untuk 100 orang. Selain mempunyai pelanggan tetap, Nasi Lemak Ujang amat disukai oleh kaum Cina.

''Banyak permintaan untuk francais terutamanya daripada pelanggan Cina tetapi saya rasa cukuplah dua ini sahaja kerana hendak memfrancais perniagaan ini bukannya senang. Takut pula jika rasanya nanti tidak sama,'' ujar Noraishah yang memberitahu, terbaharu dia menerima katering daripada sebuah restoran di Hotel Genting Highlands untuk nasi lemaknya.

Noraishah boleh dihubungi di 017-3337791 atau facebook Nasi Lemak Ujang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.