VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 02/03/2013

Duit 10 sen penyambung kasih

SETELAH 17 tahun melayari bahtera perkahwinan, keluarga Afizal dan Nor Izzati semakin bahagia.

CINTA yang tulus dan kasih yang teguh merupakan antara 'azimat' untuk mana-mana pasangan yang ingin berkahwin atau dalam erti kata lain, jika mahu 'sehidup semati' melayari alam rumah tangga.

Memang ada kebenarannya kerana keharmonian rumah tangga tidak semestinya bergantung kepada wang berjuta, sebaliknya nilai-nilai murni seperti kejujuran dan keikhlasan.

Kedua-dua elemen itu cukup penting dalam membina kehidupan bahagia, selain pegangan agama menjadi teras dalam kehidupan seharian.

Itulah yang dibuktikan oleh pasangan Afizal Abu Othman, 40, dan Nor Izzati Otsa Abdullah, 37, yang mempunyai jalinan kisah percintaan menarik sehingga membawa mereka ke jenjang pelamin.

Afizal yang merupakan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), menyifatkan jodohnya dengan Nor Izzati kuat seperti magnet walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dalam menjalin hubungan.

"Apa tidaknya, kami cuba untuk berkawan secara serius sejak zaman persekolahan tetapi ada halangan termasuk perbezaan agama kerana isteri saya ketika itu masih beragama Buddha, sedangkan saya beragama Islam, tentulah agak sukar tetapi kami tetap berkawan.

"Benarlah kalau dah jodoh tidak ke mana. Ini kerana halangan seumpama itu menjadi cabaran untuk kami meneruskan hubungan walaupun tidak disedari oleh rakan-rakan sekolah," kata Afizal yang juga merupakan bekas pemain tenis kebangsaan dalam era 1990-an.

Antara pencapaian Afizal adalah pernah memenangi pingat gangsa Sukan Sea di Singapura pada 1993 sebelum mewakili negara ke temasya yang sama di Chiangmai, Thailand pada 1995, selain beraksi dalam banyak lagi kejohanan antarabangsa.

Menceritakan lebih lanjut tentang kisah cinta mereka, kata Afizal, pertemuan dengan isterinya bermula di gelanggang sukan ketika sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, Kangar. Kedua-duanya ketika itu mewakili Perlis dalam acara sukan, termasuk Sukan Malaysia (Sukma).

Afizal ketika itu berada di tingkatan enam rendah dan aktif bermain tenis, manakala Nor Izzati di tingkatan empat mewakili sekolah dan negeri dalam sukan bola jaring, selain olahraga.

"Saya tertarik dengan Nor Izzati kerana perwatakannya yang mungkin tidak terlalu lembut, malahan dia aktif bersukan, sama dengan minat saya dalam bidang ini (sukan) tetapi ketika itu, kami sekadar saling bertukar senyuman dan berbual biasa," tambahnya.

Katanya, ketika itu jika hendak berjumpa pun, mereka akan berjumpa secara beramai-ramai dengan rakan-rakan lain, sehinggalah satu hari, dia memberanikan diri memberikan Nor Izzati nombor telefon rumah kepadanya. Ini kerana ketika itu belum ada kemudahan telefon bimbit sebagaimana sekarang.

"Saya agak hampa kerana tidak mendapat respons daripadanya. Selama berhari-hari saya menunggu dan memikirkan bahawa Nor Izzati hanya mahu berkawan dan sudah pasti hasrat saya untuk menjadikannya teman istimewa mungkin ditolak," katanya.

Nor Izzati yang tersenyum mendengar celoteh suaminya mencelah, memang dia tidak terlintas untuk mendail nombor yang diberikan Afizal ketika itu. Ini kerana dia belum memikirkan untuk berkawan secara serius walaupun tertarik dengan keperibadian suaminya.

"Kata orang, kalau dah jodoh tak ke mana. Tentu ada jalannya kerana tanpa disengajakan pada suatu hari, ketika menyeluk kocek seluar, saya dapati kertas yang tertulis nombor telefon Afizal masih ada di dalam kocek. Ketika itu, saya cuma ada 10 sen.

"Saya memberanikan diri untuk menelefonnya dan siapa sangka duit 10 sen itu, rupa-rupanya menjadi penghubung kasih kami. Ini kerana sejak itu, hubungan kami kembali bertaut sehingga membawa ke jenjang pelamin," jelas Nor Izzati yang merupakan seorang Eksekutif Perunding di sebuah syarikat insurans terkemuka.

Menetap di Taman Ira, Kangar, rumah tangga pasangan bahagia itu diserikan dengan kehadiran tiga cahaya mata iaitu Afidah, 11, Afifah, 14 dan Afwan, 15.

Walaupun kenangan manis itu telah lama berlalu, namun kata Nor Izzati, tidak mungkin dia dapat melupakannya. Ini kerana duit 10 sen itulah yang menjadi pencetus kehidupan bahagianya sehingga ke hari ini.

Ternyata, percintaannya dengan Afizal cukup unik kerana ketika itu, mereka masih diselubungi perasaan malu biarpun jika dilihat dari segi fizikal, kedua-duanya agak 'kental' kerana berstatus atlet.

"Walaupun hubungan bertambah rapat, perasaan malu menyebabkan rakan-rakan lain tidak menyedari kisah cinta kami.

"Kadang-kadang kelakar bila mengingati kisah kami pada masa itu. Rakan-rakan pula, tidak tahu kami bercinta kerana kami seperti kawan biasa, dating pun secara beramai-ramai seperti keluar makan dan sebagainya.

"Cuma kalau hendak menyatakan sesuatu rahsia antara kami berdua, kenalah bercakap sembunyi-sembunyi atau menggunakan bahasa isyarat yang hanya kami sahaja tahu, itu pun jika ada ruang," ujarnya sambil ketawa.

Namun, ibarat kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga, hendak disorok sampai bila kerana rakan-rakan sudah dapat 'menghidu' perhubungan cinta Afizal dan Nor Izzati.

Kembali menyambung ceritanya, Afizal berkata, setelah mengenali hati budi masing-masing, barulah mereka berani keluar berdua seperti pasangan bercinta yang lain.

"Itupun sekadar keluar makan dan pernah juga kami menonton wayang di Kangar yang pada ketika itu mempunyai sebuah pawagam," katanya.

Selepas tamat sekolah menengah, Afizal melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Kuala Lumpur dan telefon sekali lagi menjadi penghubung ketika mahu melepaskan rindu.

"Sewaktu di universiti, sekitar tahun 1995 ke atas, saya kerap mewakili Malaysia menyertai kejohanan tenis di luar negara dan sewaktu berjauhan, telefon menjadi teman setia untuk menghubungkan kami, itupun tidak boleh bercakap lama kerana caj dikenakan mahal," katanya.

Di samping itu, katanya, ketika di luar negara, dia tidak lupa untuk mengirimkan surat atau poskad sebagai tanda ingatan kepada kekasihnya itu di tanah air.

"Malahan, pada ketika itu juga, orang yang saya sayangi telah pun memeluk Islam dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin pada 1996 iaitu ketika saya berada dalam tahun kedua pengajian di universiti," katanya.

"Dengan bantuan ibu bapa saya, Abu Othman Mohamad dan Ruzuan Mahmud serta ibu bapa angkat yang menjaga Nor Izzati ketika dia memeluk Islam, dikenali sebagai Pak Din dan Mak Esah, kami berkahwin tanpa mengikat tali pertunangan terlebih dahulu," katanya.

Cukup istimewa kisah percintaan antara Afizal dan Nor Izzati yang bukan sahaja masih tersemai, malah semakin bertaut sehingga kini.

"Syukur...,alhamdulillah, kini setelah 17 tahun melayari bahtera perkahwinan, keluarga kami semakin bahagia.

"Semuanya berpunca daripada jodoh yang telah ditetapkan dan saya berdoa semoga ia berkekalan selamanya," kata Afizal.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.