VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 28/11/2012

Kecewa hidup gelandangan

Haikal tidak pernah menduga hidupnya kini merana sebagai orang gelandangan akibat mahu kebebasan hidup. - Gambar hiasan.

TIDAK pernah sekali pun terfikir oleh Haikal (bukan nama sebenar), dalam usia yang baru berusia 21 tahun, dia telah bergelar orang gelandangan.

Dia tidak pernah menyangka, jalan yang di pilih membawa dirinya ke kawasan hitam di ibu kota dan terbelenggu dalam masyarakat terpinggir yang terlibat dengan najis dadah.

Tambahan, dia kini terpaksa meneruskan hidup sebatang kara di tengah bandar raya Kuala Lumpur selepas melarikan diri dari rumah beberapa tahun lepas.

Hidupnya kini tidak terurus. Lorong-lorong gelap di Jalan Haji Taib, Chow Kit dan Jalan Tunku Abdul Rahman menjadi tempat menghabiskan masa sebagai orang gelandangan.

Sekitar kaki-kaki lima jalan dan ruang-ruang kosong di Jalan Chow Kit menjadi rumahnya. Hidupnya hanya banyak bersandarkan kepada simpati orang ramai sahaja.

Begitupun, dia masih bernasib baik kerana mendapat bantuan sumbangan untuk orang-orang gelandangan sepertinya.

Pertemuan saya dengan Haikal ketika mengikuti program sumbangan makanan anjuran pelajar Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Perlindungan Sinar Salam di Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman baru-baru ini, membuka sedikit kisah hidupnya sehingga terjebak dengan najis dadah.

Bercerita lanjut tentang dirinya, Haikal berkata, dia mula berjinak-jinak dengan najis dadah ketika berusia 17 tahun.

"Ketika di kampung, kehidupan saya dikelilingi oleh rakan-rakan kaki ponteng sekolah dan penghisap dadah.

"Sejak berumur 15 tahun saya telah berhenti belajar kerana tidak minat dan menghabiskan masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti melepak dan merokok,' katanya.

Jelasnya, dia ke Kuala Lumpur semata-mata untuk bebas dari kongkongan ibu bapa dan keluarga dan sehingga ke hari ini keluarganya tidak tahu dia berada di mana.

"Saya pun tidak menghubungi mereka, biarpun sebenarnya saya ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan, namun, setelah bertahun di sini saya tidak mendapat sebarang kerja yang tetap. Tambahanpula saya tiada kelayakan untuk mendapat pekerjaan yang baik.

"Suatu masa dahulu saya pernah rasa bangga dan seronok kerana dapat merasai hidup bebas dari tekanan dan kongkongan keluarga, sehingga sanggup melarikan diri dari rumah untuk mencapai kebebasan itu," katanya.

Ujarnya, ketika itu dia tidak pernah menyesal dengan tindakan yang diambil kerana apa yang difikirkan ialah mendapatkan kebebasan yang mutlak.

Namun,semua rancangannya tidak berjalan dengan lancar. Dia sendiri kecundang dan tidak menyangka hidup di kota besar seperti ini tanpa sebarang ilmu amat memeritkan.

"Hidup di Kuala Lumpur sememangnya banyak dugaan dan cabarannya. Ternyata kehidupan di sini sangat susah," katanya.

Kata Haikal, pada awalnya apabila nekad untuk ke Kuala Lumpur, dia membayangkan akan melupuskan keinginannya terhadap dadah dan cuba membina hidup baru.

Namun, sebaik sahaja dia ke sini, dia terbelenggu dengan pelbagai cabaran termasuk terperangkap dengan cabaran rakan-rakan sendiri apabila cuba meminta tolong daripada mereka untuk mencarikan pekerjaan.

"Mula-mula saya enggan terjebak dengan dadah lagi. Tetapi apabila kawan-kawan selalu memerli mengatakan saya bukan anak jantan kalau tak menghisap dadah, semangat saya mula berkobar semula. Tambahan najis dadah itu memang telah saya ambil dari dulu.

"Kerana tercabar dengan usikan mereka akhirnya saya telah menghisap dadah semula. Padahnya kepada diri sendiri apabila tidak mampu berhenti dari mengambil dadah selepas itu," katanya.

Ujarnya, apabila mula terjebak dengan dadah jenis heroin, hidupnya semakin tidak terurus. setiap hari hidupnya tidak tenang jika tidak mengambil dadah itu.

"Saya penah diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan, apabila ada masalah di tempat kerja, saya akan mengambil dadah untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi.

"Bekalan dadah diperoleh melalui kawan-kawan di sekitar Chow Kit. Ada kalanya, jika tiada wang untuk membeli bekalan dadah ada rakan yang akan memberinya kepada saya dengan berhutang dahulu," katanya.

Katanya, selepas majikannya mengetahui dia terlibat dengan dadah, Haikal telah dibuang kerja dan hidupnya semakin teruk apabila terpaksa merempat di jalanan.

"Kadang-kadang untuk mendapatkan wang membeli dadah saya terpaksa bekerja sementara sebagai pencuci pinggan di gerai-gerai makan di tepi jalan.

"Wang tersebut hanya cukup untuk membeli dadah sahaja. Mujurlah pasal makanan saya tidak risau sangat kerana bagi saya keutamaan saya adalah dadah," katanya.

Apabila ditanya tidak pernahkah dia merindui kedua orang tuanya, Haikal menambah, dia pernah berharap untuk pulang ke pangkuan mereka dan menjadi anak yang baik.

Haikal berkata, dia amat merindui kedua orang tuanya di kampung, namun, setelah apa yang dilakukannya kepada mereka berdua dahulu menyebabkan dia terasa malu untuk pulang

"Saya berharap suatu hari nanti saya dikurniakan keberanian untuk berjumpa ibu dan bapa serta memohon keampunan daripada mereka.

''Tapi sebelum itu saya berharap saya akan pulih daripada najis ini," katanya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.