VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 04/11/2012

Aliff Syukri Kumbang antara bunga

ALIFF Syukri mampu berbangga dengan pencapaiannya membangunkan D'Herbs Healthy dalam usia muda.

RANGKAIAN produk kosmetik D'Herbs Healthy Sdn. Bhd. (D'Herbs) sudah jauh dikenali di seluruh Malaysia bahkan di luar negara.

Pergi saja ke mana-mana kedai jamu mahupun farmasi bebas, pasti terlihat produk-produk gaya hidup lengkap untuk pelbagai lapisan usia itu.

Ditambah pula dengan promosi yang baik di media cetak dan televisyen, produk D'Herbs yang baru dipasarkan secara komersial kira-kira dua tahun lalu boleh dikatakan setaraf dengan produk-produk tempatan yang lebih lama daripadanya.

Lebih 35 jenis produk dipasarkan merangkumi pelbagai kategori terutamanya produk kecantikan dan kesihatan wanita dan sebanyak enam buah kedai di seluruh negara.

Lebih mengagumkan, pengasas merangkap Pengarah Urusan D'Herbs ialah seorang lelaki dan baru saja berusia 25 tahun!

Menurut Aliff Syukri Kamarzaman, membangunkan syarikatnya ini bukan mudah memandangkan usia yang terlalu muda selain berada dalam industri yang didominasi oleh golongan wanita.

"Ramai yang salah tanggapan mengatakan saya mengusahakan perniagaan daripada duit yang disalurkan oleh ibu bapa atau mewarisi syarikat keluarga. Sedangkan, saya yang mengusahakan sendiri menggunakan duit hasil titik peluh sendiri.

"Saya bermula daripada berniaga jamu di pasar-pasar malam sahaja ketika berusia 16 tahun sehinggalah saya mampu mencapai ke tahap ini," ujarnya ketika ditemui di Pejabat Urusan D'Herbs yang terletak di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.

Berniaga di pasarCeritanya, minat dalam bidang perniagaan timbul seawal usia tujuh tahun lagi dengan menjual jeruk dari kelas ke kelas bagi mencari duit poket harian ke sekolah.

Kemudian, bermodalkan hanya RM400, Aliff Syukri menjual produk-produk kecantikan dan kesihatan terutamanya jamu dari pelbagai jenama di pasar tani dan pasar malam.

"Hasil keuntungan daripada perniagaan kecil saya di pasar-pasar, saya menyimpannya sedikit demi sedikit sehingga mampu membuka sebuah kedai jamu yang kecil pada usia 18 tahun.

"Ketika itu, saya sudah mula memperkenalkan produk D'Herbs cuma belum memasarkannya secara komersial.

"Sehinggalah dua tahun lalu, saya nekad memasarkannya secara meluas walaupun tahu saingan amat tinggi dan didominasi oleh golongan wanita.

"Bagi saya, duit tidak banyak pada awal perniagaan bukan masalah asalkan ada niat, usaha serta perancangan yang betul," ceritanya yang juga Setiausaha Persatuan Industri Kosmetik Bumiputera Malaysia.

Dalam tempoh tersebut, Aliff Syukri pernah melakukan pelbagai pekerjaan lain demi mencari modal membina syarikat seperti menjadi model dan bekerja sebagai pegawai pemasaran dan jualan.

Cabaran lelakiMengenang kembali awal penubuhan syarikatnya dua tahun lalu, pelbagai rintangan terpaksa dihadapinya bagi meloloskan diri dalam industri yang didominasi oleh golongan wanita.

Walaupun produknya tidak mempunyai kumpulan sasaran yang spesifik, namun ia boleh dikatakan lebih disasarkan kepada golongan wanita.

Pada mulanya, stokis dan pelanggan amat susah untuk menerima produknya memandangkan dia seorang lelaki.

Soal mereka, bagaimana seorang lelaki dapat memahami apa yang wanita perlukan terutamanya dalam penjagaan kesihatan dan kecantikan.

Lalu dia membuat satu keputusan yang menyebabkan dia kehilangan ratusan ribu dua tahun lalu tetapi hasilnya produk D'Herbs mampu diterima ramai seperti hari ini.

"Ketika itu, saya memuatkan produk D'Herbs ke dalam kereta saya lalu memberi kepada stokis-stokis untuk dipasarkan tanpa meminta mereka wang.

"Saya memandu dari Selangor, Johor, Terengganu dan negeri-negeri lain bagi memastikan produk saya dipasarkan mereka.

"Ketika itu memang malu sangat kerana kita yang merayu meminta stokis memasarkan produk D'Herbs sedangkan selalunya mereka yang mencari produk.

"Alhamdulillah, walaupun saya kerugian ratusan ribu ketika itu, produk saya kini diterima ramai hasil pemasaran sebegitu," ujarnya yang bakal menimang anak ketiga tidak lama lagi hasil perkahwinannya dengan Nur Syahidah Mohd. Rashid.

Produk wanitaMengulas tentang produk terbarunya, D'Herbs kini dalam proses mengeluarkan Set Bersalin Mak Bidan khas buat mereka yang berpantang selepas melahirkan anak.

Set tersebut merangkumi barangan seperti tungku herba, pencuci wanita berherba, bengkung, krim panas kapsul jamu dan minyak telon.

Menggunakan selebriti terkenal sebagai jurucakap produk tersebut, ujar Aliff Syukri, istimewanya bahan-bahannya 100 peratus menggunakan produk daripada herba dan ia juga murah berbanding set bersalin lain di pasaran.

Selain set bersalin, pelbagai lagi produk D'Herbs yang menjadi buruan ramai seperti pelembap bibir kolagen, maskara Arab, pencuci wanita Perawan Herbal, Premium Diet, Gamolex Gold, Gel Berherba Aloe Gamat dan pelbagai lagi.

produk D'Herbs boleh didapati di setiap lokasi tumpuan ramai termasuk kedai-kedai runcit, pasar malam dan pasar tani, farmasi bebas, kedai jamu dan salon serta pusat jualan D'Herbs sendiri.

Harga produk D'Herbs yang rendah bermula dari RM15 menjadi faktor utama yang menarik minat pelanggan terhadap jenama itu.

Misinya, menjadikan D'Herbs sebagai sebuah syarikat gaya hidup yang setanding dengan jenama-jenama terkemuka.

Produk-produknya dihasilkan di kilangnya sendiri iaitu Aliff Herbs Manufacturing yang terletak di Selangor.

Dia menjelaskan banyak kilang di luar sana yang mengambil kesempatan mengatakan produknya dikilangkan di tempat mereka bagi mengaut keuntungan dengan meraih kepercayaan syarikat lain.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.