ARKIB : 01/09/2012
Tiada lagi cerita Pok Embong
PADA usia yang kini mencecah 84 tahun, keadaan Abdullah Said, bapa kepada lapan anak itu sangat uzur dan sudah tidak mampu menguruskan diri. Malah, ada ketikanya dia sudah tidak mengenali sesiapa lagi.
Ketika wartawan S2 berkunjung ke rumahnya di Kampung Matang, Kuala Terengganu, lelaki itu hanya berbaring dalam keadaan mengerekot tanpa memakai baju sambil cuba membuka matanya untuk melihat tetamu yang datang.
Menurut menantunya, Abdullah Said, 49, kesihatan bapa mertuanya itu mulai terjejas teruk sejak kematian isterinya, Saadiah Ibrahim kira-kira dua tahun lalu.
Abdullah berkata, dia lebih banyak menyendiri dan lama kelamaan semakin uzur serta menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan orang ramai termasuk anak-anaknya sendiri.
"Keadaan itu jauh bezanya ketika ayah yang lebih dikenali dengan nama Pok Embong masih sihat dahulu kerana dialah yang akan memasak setiap kali ada kenduri-kendara di kampung ini.
"Pok Embong juga masih boleh bercerita dengan jelas apa yang berlaku ketika dia bekerja sebagai buruh paksa membina landasan maut itu," kata Abdullah.
Kira-kira enam tahun yang lalu, Pok Embong menceritakan kepada media pengalamannya dibawa oleh tentera Jepun dari Terengganu menuju ke Burma.
Dari kampung halamannya, dia yang baru meniti usia remajanya dan tidak memahami pergolakan sebenar dibawa ke Palekbang, Kelantan menggunakan bot sebelum menaiki kereta api ke Thailand dan seterusnya ke Burma.
Semasa sampai di sana, beliau melakukan pelbagai kerja seperti mengangkat batu untuk membina landasan di tengah-tengah panas terik dan hujan dengan dikawal ketat oleh tentera Jepun.
"Ada juga pekerja yang 'curi tulang'. Tetapi, apabila diketahui oleh tentera Jepun, mereka akan didera," katanya.
Setelah lebih tiga tahun, dia yang awalnya membayangkan hayatnya akan berakhir di situ bernasib baik kerana fizikalnya masih dapat bertahan dan dihantar pulang hingga ke Perak dan seterusnya ke Terengganu.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai kisah Pok Embong, Abdullah berkata, selain bapa mertuanya, hampir 10 pemuda di kampung itu diangkut ke dalam sebuah lori untuk dibawa ke Burma.
"Kalau tak salah saya, ayah (Pok Embong) selalu sebut mengenai Pok Leh iaitu seorang rakannya yang sama-sama dipanggil bekerja sebagai buruh paksa oleh tentera Jepun ketika itu.
"Katanya, Pok Leh pada masa itu bukan sahaja pandai menyanyi dalam bahasa Jepun tetapi juga fasih bercakap dalam bahasa Jepun," katanya sambil memberitahu bahawa bapa mentuanya merupakan satu-satunya pekerja buruh paksa yang masih hidup di kampung itu.
Dalam pada itu, anak ketiga Pok Embong, Mariam Abdullah, 51, berkata, dia dan adik-beradiknya jarang bercakap dengan ayah apatah lagi bertanya mengenai pengalaman menjadi buruh paksa dahulu.
"Saya rasa mungkin dia tak nak anak-anaknya tahu kesengsaraan yang dialami.
"Apa yang saya tahu, masa bekerja sebagai buruh paksa dahulu, ayah bernasib baik kerana ada ketikanya dia turut menjalankan kerja-kerja dalam pejabat atau budak pejabat berbanding rakan-rakannya yang lain.
"Kalau tak silap, ayah menjadi buruh paksa hampir lima tahun dan sebaik pulang, dia dinikahkan ketika berusia 20 tahun," ujarnya.
Jelas Mariam, sepanjang pengetahuannya, lelaki itu juga kerap berulang-alik ke Kota Bharu, Kelantan ketika masih sihat kerana aktif sebagai ahli Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam ke Burma 1942-1946 Malaysia.
"Ayah pernah mengeluh kepada saya dulu. Walaupun kerap kali menghadiri mesyuarat, namun, dia masih belum sempat merasa wang pampasan yang dijanjikan oleh pihak yang berkenaan.
"Ayah cakap, kalau dapat duit tu, kami tak akan hidup susah lagi," katanya di akhir perbualan kami.
Tipu kerana nak kahwin
Percumakah kehidupan kita?
Innanie Ariffin, Gadis Analogi
Hidangan ala Barat
AKRAB sentiasa mekar
Herba paling berharga
Bayi sihat, aktif
Menangani anak bermasalah
Rungutan ibu beri ilham
Dugaan kasih ibu, anak
Finalis hadapi tugasan akhir
Solekan untuk ibu
Berkahwin atau menunjuk?
Ukur baju di badan sendiri
Bib's Florist kedai cenderamata
Ibu angkat 1,800 bayi
Anjakan bidang seni lukis
Harry tidak mahu tertipu lagi
Anak kecil mangsa buli
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









