VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Ogos 2014 / 28 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 23/08/2012

Arfidah bela wanita terpinggir

Arfidah Abdul Latif menyerahkan sumbangan makanan kepada golongan gelandangan dan pekerja seks di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.

JIKA disingkap perjalanan hidup wanita ini di masa lalu, lebih banyak pahit daripada manisnya. Pengalaman hidup bergelumang dengan najis dadah menjadikan Arfidah Abdul Latif, 58, wanita keras hati.

Siapa sangka, Pengasas Rumah Sinar Salam ini menghabiskan separuh usia mudanya menghambakan diri kepada dadah yang menjadikan kehidupannya terumbang-ambing.

Berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur, anak keenam daripada 12 adik-beradik ini terbabit dengan dadah ketika di peringkat remaja.

"Usia muda saya sangat sukar, tidak terurus. Sakitnya waktu itu Tuhan saja yang tahu. Saya hidup tanpa pedoman.

"Waktu itu saya sudah berumah tangga kemudian bercerai dengan tiga orang anak. Dek kerana enggan meneruskan kehidupan yang semakin sukar, saya benar-benar berazam kembali ke pangkal jalan.

"Tetapi waktu itu saya tidak tahu bagaimana caranya. Tiada tempat untuk mendapatkan bimbingan. Ibu membantu mencari jalan agar saya boleh berhenti menghisap dadah," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kata Arfidah, akhirnya pada usia 38 tahun, dia secara sukarela memasuki Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Bachok, Kelantan, pada tahun 1994 dan setahun kemudian dibebaskan.

Seumpama mendapat kehidupan baru, kira-kira dua tahun, Arfidah cuba menyesuaikan diri dengan pandangan masyarakat terhadap bekas penagih dadah sepertinya yang tiada pekerjaan.

"Masa itu baru saya rasa segala perbuatan yang saya buat selama ini sia-sia dan bermula dari situ saya berniat membantu insan yang senasib dengan saya keluar dari belenggu najis dadah agar mereka tidak terus terjebak dengan gejala sosial lain.

"Saya mula menyediakan diri dengan melakukan kerja-kerja amal di P.T Foundation pada tahun 2001, Pusat Aktiviti Kanak-kanak di Chow Kit di bawah Jabatan Kebajikan masyarakat pada tahun 2003, menjadi Pembimbing Rakan Sebaya 2004 dan pernah menerima Anugerah Wanita Bebas Dadah pada tahun 2004 oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," katanya.

Arfidah juga menjadikan rumahnya di Kampung Baru sebagai rumah perlindungan kepada bekas atau penagih dadah, masyarakat gelandangan dan bekas pelacur yang dinamakan Pondok Harapan pada tahun 1998.

"Masa itu saya membantu mereka tanpa dana dan peruntukan daripada mana-mana pihak. Saya menyediakan kelengkapan dan makanan apa yang termampu dengan duit hasil kerja-kerja kebajikan yang saya lakukan.

"Sudah tentulah apabila saya menjadikan rumah sebagai pusat perlindungan, bila balik kerja saya dapati banyak barang saya hilang," katanya.

Namun kerana ingin melihat golongan ini semakin pulih dalam kehidupan, Arfidah berusaha sedaya upaya membimbing mereka.

Jelasnya, masa itu dia mula menjejakkan kaki ke masjid. Oleh kerana ingin menebus dosanya yang lalu, dia membasuh tandas atau menyapu sampah di Masjid Kampung Baru tanpa meminta upah.

"Orang kata saya gila, tapi lama-kelamaan apabila saya membawa bersama 'jemaah' saya dari Pondok Harapan, ramai yang melihat saya benar-benar berazam membimbing rakan-rakan lain," katanya.

Kehidupan Arfidah semakin lengkap, apabila pada tahun 2004, dia berkahwin dengan Raja Azizan Suhaimi Raja Abdul Latiff, 53, seorang sukarelawan di Yayasan Salam pada masa itu yang sebelumnya juga merupakan penagih dadah tegar.

Kini, perjalanan Arfidah untuk mengadakan temu seru (outreach) dengan golongan sasaran dibantu suaminya dengan cara mereka sendiri.

Pada tahun 2005, Arfidah kemudian dipertemukan dengan saya yang kemudian melaporkan pendedahan demi pendedahan kisah persundalan yang berlaku di sekitar Chow Kit, Lorong Haji Taib, kisah anak-anak lorong, anak-anak Chow Kit, wanita dan HIV, gelandangan dan sebagainya yang diterbitkan di dalam Utusan Malaysia, seterusnya diikuti media-media lain.

Kuasa media memang terbukti, selepas pelbagai pendedahan yang membuka mata masyarakat, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) akhirnya tampil memberikan bantuan dan geran sehingga tertubuhnya Rumah Sinar Salam di Lorong Haji Taib 3, Kuala Lumpur, pada tahun 2008.

Pihak AADK turut menawarkan bantuan memberikan geran kepada setiap program yang bakal dijalankan oleh rumah perlindungan ini. Selain itu, banyak pihak kini turut menyumbang termasuk orang-orang perseorangan.

Rumah Sinar Salam dibuka khusus menempatkan penagih dadah tegar yang mahu kembali ke pangkal jalan, memberi bantuan kepada masyarakat gelandangan, bekas pelacur dan HIV dengan mengadakan outreach, menyelamatkan anak-anak lorong dan cuba membendung masalah sosial yang berlaku di persekitarannya.

"Jika dahulu rumah perlindungan ini dibuka satu tingkat kini bertambah jadi tiga tingkat kerana pertambahan penghuni. Hakikatnya, peruntukan yang ada perlu ditambah untuk menampung kos . Rumah ini juga perlu mempunyai van sendiri untuk menghantar penghuni yang sakit atau mahu bersalin ke hospital," katanya yang sering dijemput sebagai penceramah di bengkel-bengkel anjuran AADK di seluruh negara.

Arfidah juga katanya, berminat dengan bantuan dana 1 Malaysia For Youth (1M4U) dari kerajaan untuk digunakan Rumah Sinar Salam kerana rumah berkenaan memberi tumpuan terhadap permasalahan wanita, kanak-kanak serta remaja.

Selepas beberapa tahun penglibatannya, Arfidah kini mampu berpuas hati dengan penurunan kadar jenayah sosial di sekitar Chow Kit.

"Kita dapati, aktiviti dadah berkurangan sehingga 65 peratus, masalah anak-anak lorong juga sudah terbela, yang tiada kad pengenalan dan surat beranak serta tidak bersekolah sudah diuruskan. Masalah persundalan menurun sehingga 80 peratus, kalau yang ada sekarang golongan pondan masyarakat pendatang.

"Masalah sekarang aktiviti jenayah dan persundalan dilakukan orang-orang luar, sedangkan aktiviti berkenaan memang sudah sedia ada di sini," katanya.

Jelasnya, bukan mudah melakukan aktiviti sukarela seperti ini selain memerlukan kesabaran, berhabis duit dan masa, ramai daripada golongan sasaran menganggapnya 'penyibuk'.

Apabila ditanya mengapa perlunya rumah-rumah seperti ini, dia berkata, jika tiada rumah seperti Rumah Sinar Salam ini, mungkin masalah sosial terus berkembang kerana golongan seperti ini memerlukan tempat rujukan untuk hala tuju mereka.

Biarpun masih mencari pelapis untuk meneruskan usaha-usahanya, Arfidah yang kini tidak berapa sihat, masih bergiat aktif biarpun terpaksa melakukan outreach secara bertatih.

Wajahnya sering terpapar di kaca televisyen dan dada akhbar sebagai insan yang amat komited membantu masyarakat terpinggir.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:18
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.