VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Julai 2014 / 24 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 15/08/2012

Teruja sambut Aidilfitri

Mohd. Firdaus dan Nor Syafiqah teruja sambut raya sebagai suami isteri.

Aidilfitri tahun ini pasti berbeza dan penuh bermakna kepada dua pasangan pengantin baru ini.

Tatkala inai masih merah di jari dan mood bulan madu masih dirasai, kedua-dua pasangan nyata tidak sabar menanti ketibaan Syawal yang pertama setelah diijabkabulkan.

Baik Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi, 27, dan Nor Syafiqah Syahirah Mohamed, 25, mahupun Leftenan Mohd. Zaidi Mohd. Bishan, 26, dan Kapten Zazalina Ghazali, sememangnya masing-masing tidak menyangka dapat beraya sebagai pasangan suami isteri sebegitu cepat.

Ini kerana, ikut rancangan kedua-dua pasangan itu hanya akan berkahwin pada penghujung tahun ini.

Namun takdir tuhan mengatasi segala-galanya apabila rezeki berpihak kepada mereka terpilih sebagai pemenang pertama dan kedua dalam Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3.

Menoktahkan zaman hidup bujang pada Jun lalu, masing-masing masih diulit rasa teruja dengan dunia baru yang dilalui.

“Seronok campur berdebar sebenarnya. Maklum saja pertama kali berpuasa dan berhari raya bersama-sama.

“Masa bujang dulu persiapan raya sekadar apa yang ada saja. Tetapi sekarang apabila sudah berkahwin perlu fikir keperluan isteri pula," kata Mohd. Firdaus membuka bicara.

Ujarnya, dek terbawa-bawa dengan rasa teruja, segala persiapan Syawal dibereskan sejak sebelum Ramadan lagi termasuk membeli pakaian raya.

“Dua pasang baju raya berwarna biru firus dan ungu menjadi pilihan kami untuk tampil sedondon di pagi hari raya nanti. Kedua-dua warna baju yang dipilih adalah warna kesukaan kami berdua," katanya.

Mohd. Firdaus berkata, sambutan hari raya pertama dan kedua mereka akan berada di rumah ibu bapa sebelah isteri di Kampung Parit Kemang Tengah, Senggarang, Batu Pahat, Johor.

“Hari raya ketiga baru kami akan pulang beraya di rumah ibu bapa saya di Perlis. Kami membuat keputusan tersebut kerana pada hari raya ketiga baru semua adik beradik sebelah ibu dan ayah akan berkumpul di Perlis," katanya.

Sementara itu Nor Syafiqah berkata, persiapan untuk sambutan Aidilfitri tahun ini dilakukan lebih awal kerana mereka mahu memberi tumpuan untuk beribadat di bulan Ramadan.

“Selain persiapan baju, banyak juga kuih -muih dan biskut raya ditempah. Ada juga beberapa jenis biskut moden yang dibuat sendiri.

“Biskut tat nenas wajib ada kerana ia antara biskut kegemaran suami. Saya telah mempelajari cara untuk membuat biskut ini khas untuk suami," katanya.

Tambah Mohd. Firdaus, dia tidak sabar untuk beraya di rumah isteri kerana ingin berkongsi kemeriahan berkumpul beramai-ramai bersama-sama ahli keluarga besarnya.

“Saya sudah dapat bayangkan kemeriahan dan kegembiraan pada hari raya nanti di sebelah rumah bapa mertua. Ini dapat dirasai dengan kehadiran lebih 300 ahli keluarga sebelah ibu mertua yang mempunyai 20 orang adik beradik.

“Namun, sambutan raya di sebelah Perlis juga tidak kurang meriahnya kerana setiap tahun sanak-saudara akan berkumpul beramai-ramai di kampung," katanya.

Ujarnya lagi, dalam tempoh ini juga dia sedang mempelajari budaya dan menyesuaikan diri dengan keluarga sebelah isteri.

“Tambahan, saya merupakan menantu sulong dalam keluarga menyebabkan semua aspek dan perkara yang melibatkan keluarga perlu diberi keutamaan.

“Saya anggap rahmat dari Allah apabila berpeluang beraya dalam keluarga yang ramai dan besar. Cuma saya perlu bersedia menyesuaikan diri dan mengawal keadaan," katanya.

Selain kelainan adat dan budaya di Johor, dia juga mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jenis makanan yang popular di kalangan masyarakat di sana.

“Sambutan raya di Perlis sedikit berbeza dengan Johor. Di Perlis, juadah hari raya yang menjadi kegemaran adalah ketupat pulut dengan rendang dan laksa. Sedangkan di Johor mereka lebih kepada ketupat nasi dan lodeh.

“Walaupun sedikit berbeza, tetapi bagi saya ia adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat mempelajari adat dan budaya negeri Johor. Selain itu, ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kami," katanya.

Sementara itu, Nor Syafiqah juga mengakui sedang belajar untuk menyesuaikan diri dengan semua ahli keluarga sebelah suaminya.

“Peluang untuk berjumpa dengan sanak-saudara di hari raya nanti akan digunakan sebaik mungkin untuk membina ukhuwah dengan keluarga sebelah suami.

“Sebelum ini, saya tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan mereka secara beramai-ramai kerana masing-masing tinggal berjauhan," katanya.

Ujarnya, kelebihan mempunyai keluarga besar tidak menjadi masalah untuk dia beraya bersama-sama keluarga sebelah suami yang juga ramai.

“Sambutan raya di Johor sedikit berbeza dengan kampung suami kerana di Johor ada acara alunan marhaban yang dilakukan secara beramai-ramai.

“Juadah yang menjadi kegemaran saya adalah ketupat dan lepat pulut yang wajib disediakan setiap kali tiba hari raya," katanya.

Raya di Sungai Petani

Sementara itu, bagi Mohd. Zaidi dan Zazalina, mereka memilih untuk pulang beraya pada tahun ini di kampung sebelah keluarga Mohd. Zaidi di Sungai Petani, Kedah.

Mereka mengakui sangat bersyukur kerana berpeluang beraya bersama-sama kerana jodoh mereka dipercepatkan Allah daripada tarikh yang sebenar.

“Asalnya kami merancang untuk berkahwin pada bulan November ini. Tetapi apabila rezeki memihak kepada kami sebagai naib juara Peraduan Gerbang Cinta, kami menganggapnya sebagai rezeki," ujar mereka.

Zazalina sangat teruja untuk pulang beraya di kampung suaminya. Tambahan ketika itulah berpeluang mengenali dengan lebih dekat sanak-saudara yang datang beraya.

“Walaupun timbul sedikit perasaan sedih kerana pertama kali beraya tanpa keluarga di sisi, tetapi saya kena terima keadaan ini selepas bergelar isteri.

“Kami akan beraya sampai hari raya ketiga sahaja kerana pada hari raya keempat saya sudah mula bekerja," ujarnya.

Ujar Mohd. Zaidi, kerana kesibukan bekerja, mereka hanya akan membuat persiapan akhir hari raya seminggu sebelumnya.

“Kami akan beraya dengan tiga pasang baju warna yang sedondon. Warna pilihan kami pada tahun ini adalah biru firus, ungu dan merah.

“Untuk persiapan kuih dan biskut raya pula kami hanya menempah melalui kenalan sahaja kerana tidak sempat untuk membuat sendiri,’ katanya.

Ujarnya lagi, menu kegemarannya setiap kali tiba hari raya adalah lontong yang dimasak oleh air tangan ibunya sendiri.

“Selain itu, aktiviti wajib yang pasti diingati setiap kali tiba hari raya adalah membakar lemang dan sate secara beramai-ramai dengan ahli keluarga," katanya.

Bagi Zazalina pula, rendang ayam yang dimasak oleh ibunya merupakan menu wajib yang menjadi kegemaran.

“Rasa rendang yang dimasak oleh ibu berbeza dengan rendang lain. Sebab itu, kalau hari raya saya mesti wajibkan ibu masak rendang tersebut," katanya.

Sempena hari raya ini juga, pasangan merpati dua sejoli ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua sanak saudara dan seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.