VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Ogos 2014 / 26 Syawal 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 14/08/2012

Memori kian terpadam

Potret keluarga jins. (Dari kiri) putera hang nadim, jins, isterinya halijah, menantu dan Putera hang Jebat.

SAYA menelefon isterinya, Puan Seri Halijah Abdullah, memohon izin untuk memotret gambar keluarga mereka bagi meraikan Aidilfitri kali ini.

Sungguh, saya tahu, permintaan ini tidak akan dilayan sama sekali, jika keadaan Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin masih sihat seperti dahulu.

Kami kalangan media sangat maklum akan prinsip Jins yang tidak akan mengizinkan kehidupan peribadinya dijadikan bahan tontonan umum.

Rakam saja gambarnya waktu di pejabat, di Finas atau di majlis-majlis yang dihadirinya. Mahu ke rumah? Janganlah bermimpi sama sekali.

"Tan Sri sudah tak sihat sangat. Nanti Khalidah jangan terkejut pula kalau tengok keadaan dia ya," begitu pesanan awal yang disampaikan si isteri.

Lewat petang yang rembang, tanggal 19 Ramadan 1433, buat pertama kalinya saya hadir ke istana milik legenda yang masih hidup ini di Kampung Pasir, Hulu Kelang, Selangor.

Rumah kediaman rekaan seperti istana kecil dengan ciri Melayu lama itu tidak jauh dari Perbadanan Filem Nasional (Finas), lokasi terakhir Jins mengabdikan diri sebagai anak seni sebelum daya ingatannya diragut Alzheimer.

Hati sangat berdebar-debar, bagaimanakah keadaan sang seniman yang ketika zaman mudanya terkenal dengan sikap sangat tegas, tinggi integriti diiring disiplin diri yang mantap.

Saya mengaku, sepanjang menulis tentang dunia seni dan hiburan, individu yang paling saya dan beberapa rakan geruni untuk ditemubual ialah beliau.

Jangan salah tanya soalan, jawapannya mudah saja: "Tolong balik dan buat kajian dulu sebelum temu bual saya."

Atau kalau bertanya soalan yang tidak ada kaitan, sebagai contoh tentang tahap kesihatan beliau, terkulat-kulat wajah kala mendapat jawapan berbunyi: "Oh, itu kena tanya doktor peribadi saya."

Kehadiran Utusan Malaysia bersama Pengerusi Finas, Datuk Md. Afendi Hamdan disambut isteri dan dua anak lelakinya, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Turut menanti dengan senyuman, si menantu yang bakal menghadiahkan cucu pertama buat seniman itu sekitar Oktober ini, Azzwin Adzham, isteri kepada Jebat.

Hampir 10 minit kami menanti, dia akhirnya muncul dengan memberi salam.

Gerak langkahnya perlahan, diawang-awangan. Perkara pertama yang terfokus pada mata saya ialah beberapa tompok kecil bedak putih yang melekat di pipinya. Ya, seperti kita melihat seorang bayi kecil.

Di sebalik kehilangan sebahagian memorinya, dia masih sihat, bertenaga dan kelihatan seperti tidak banyak yang berubah.

Pandangannya kekal tajam dan maaf... tidak begitu mesra. Keningnya kekal bergaris seperti bulan sabit sekaligus menghadiahkan wajah kekal kasar dan serius. (Saya cuak tetapi dalam waktu sama gembira kerana itulah seorang Jins).

Beliau duduk di sofa menghadap Afendi. Selepas Afendi memperkenalkan diri sebagai Pengerusi Finas ketika ini, pantas meluncur dialog dari bibirnya: "Oh ya, saya dulu pun Pengerusi Finas. Tiga tahun saya di Finas. Zaman Datuk Shafie (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sekarang Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah adalah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika zaman Jins di Finas)."

Kemudian dia menyambung lagi: "Saya hari-hari ke Finas. Hidup saya hanya di Finas. Hari-hari, tak pernah tak pergi ke Finas kecuali hari Ahad. Dulu di situ ialah Shaw Brothers, saya bagi tahu kerajaan jadikan tempat tu sebagai Finas.

"Saya juga Penasihat Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem. Saya dengan Dewan Negara enam tahun, Pengerusi Finas tiga tahun. Umur saya sekarang 72 tahun." beritahunya lagi dengan kekal semangat.

Pada ketika itu, si isteri pantas membetulkan kenyataan.

"Ayah sekarang sudah 77 tahun, bukan 72 lagilah," katanya kemudian disambut dengan anggukan Jins dengan wajah yang juga serius.

Seperti mana dalam pertemuan ini, hari-hari sang seniman akan bercerita perkara yang sama. Tidak banyak perkara tajuk yang dibualkan.

Dunianya kini hanya seputar kisah-kisah Studio Jalan Ampas di Singapura, Studio Merdeka di Finas, Persatuan Seniman, Shaw Brothers dan itu-itulah juga.

Sesekali dia bercerita tentang P.Ramlee yang dianggap sebagai guru lakonannya.

Topik paling disukai sudah tentu kala diajak bersembang tentang Jeffri Zain, watak hero James Bond Melayu yang tidak asing lagi kepada peminat filem generasi terdahulu. Dialah pelakonnya.

"Jeffri Zain ada tiga filem. Satu buat di Singapura, dua lagi buat di Hong Kong. Anak sulung saya pun nama Jeffri Zain, dia duduk di Singapura sekarang (Anak sulung hasil pernikahan dengan seniwati Rahmah Rahmat)," beritahunya, satu demi satu.

Alzheimer merampas ingatan

Alzheimer telah memusnahkan sebahagian besar sel-sel otak sang seniman. Meskipun dia kelihatan masih gagah pada usia yang melewati senja, namun sebenarnya dia memang tidak sihat.

Terserlah beliau sedang melalui episod kehidupan yang tenat dalam garis-garis akhir kesenimannya.

Petanda awal Alzheimer sudah kelihatan semenjak dua tahun lalu, tidak lama selepas dia memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2010.

Pada Februari 2011 ketika di Singapura sewaktu meraikan Anugerah Seri Temasik dan sekaligus menerima Anugerah Gemilang Seri Temasik bersama Datuk Mustapha Maarof dan Datuk Aziz Sattar, keadaan beliau mula serius.

Pun ketika itu, tidak banyak yang tahu apa penyakit yang berada dalam darah seniman kebanggaan negara ini.

"Melihat ingatan ayah yang semakin merosot hari ke hari, kami bawa bertemu pakar dan memang disahkan mengalami Alzheimer.

"Kata doktor ia berpunca daripada rasa tertekan apabila ayah tidak lagi bekerja.

"Kehidupannya berubah selepas hanya duduk di rumah dan tidak berbuat apa-apa. Lama kelamaan ingatannya terjejas teruk," beritahu Putera Hang Jebat.

Menurut Jebat lagi, keluarganya sudah menerima ketentuan dan bersedia untuk sebarang kemungkinan jika keadaan Jins tidak membaik.

"Kata doktor juga, semakin hari, sel-sel otak ayah akan mati. Pada akhirnya dia mungkin tidak akan mampu mengenali kami lagi," katanya memberitahu situasi.

Halijah pula memberitahu, selain Alzheimer, Jins tidak berhadapan dengan masalah kesihatan lain. Disiplin diri yang kuat terhadap gaya hidup sihat, mengekalkan tahap kesihatannya.

Kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya, tidak mendekat, apatah lagi beliau bukan seorang perokok.

"Kami sekeluarga menerima dugaan ini. Meskipun sebahagian ingatan Tan Sri sudah terjejas, perlu bersyukur kerana kesihatan dia masih baik.

"Dia masih boleh berjalan-jalan, naik turun tangga dengan baik. Dia masih berselera untuk makan.

"Dia masih menjalani ibadah macam biasa walaupun kadang-kadang sudah lupa akan beberapa bacaan dalam solat," kata Halijah dengan tenang.

Kala jurugambar saya, Noor Asrekuzairey Salim berkali-kali memberi 'arahan' kepada beliau untuk memberikan aksi yang lebih baik, barulah kelihatan garis senyuman pada wajah sang seniman.

Barangkali, ketika itu dia berasa seperti berada di lokasi penggambaran drama atau filem.

Diberi arahan oleh pengarah dia sangat patuh dan tidak sesekali cuba 'melawan' malah senyuman lebar mula tersungging pada wajah tuanya.

Jurugambar cuba berlagak sebagai tuan director' dan dia kelihatan semakin banyak memberikan senyuman sambil bibirnya berkali-kali berkata: "Oh, boleh-boleh, saya tak ada masalah."

Disiplin sebagai seniman sewaktu di lokasi yang menerima apa juga arahan si pengarah, masih menebal dalam diri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:19
Asar 4:33
Maghrib 7:25
Isyak 8:35

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.