ARKIB : 09/08/2012
Ramadan yang sayu
“Saya sebenarnya insan yang paling rapat dengan arwah ibu, selain adik bongsu, Nor Hanini. Saya yang menjaganya sepanjang dia dirawat di hospital dan di rumah," katanya yang kelihatan tenang ketika ditemui di Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur.
Menyentuh kenangan ketika menjaga arwah ibunya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Nor Diana atau mesra dengan panggilan Ina berkata, dia tidak pernah menyangka bahawa penyakit ibunya sudah berada pada tahap kritikal.
Walaupun dilahirkan cacat tanpa mempunyai tangan yang sempurna, namun kekurangan itu tidak menghalangnya untuk menguruskan arwah ibunya sepanjang menjalani rawatan di hospital.
“Boleh dikatakan setiap hari saya terkenangkan arwah ibu, senyumannya, pesanannya, sakit perit yang ditanggungnya sepanjang berada di hospital, semuanya saya ingat tetapi saya pasrah dengan ketentuan Tuhan.
“Pesanan ibu supaya saya menjaga adik dan rumah dengan baik tidak akan saya abaikan dan saya akan ingat sampai bila-bila," katanya yang sehingga sekarang masih menangis setiap kali terkenangkan arwah ibunya.
Nor Diana merupakan anak kedua daripada lima beradik iaitu Mohd. Razaly Rosely, 28, Mohd. Fadly, 22, Mohd. Hariz, 19, dan Nur Hanini, 14, yang kesemuanya kini tinggal sebumbung bagi memudahkan menguruskan hal adik-beradik.
Tambahnya lagi, sejak ketiadaan ibunya, hidup sedikit kekok dan sunyi. Semua kasih sayang sekarang tertumpah kepada adiknya, Nor Hanini dan anak saudara tunggalnya, yang baru berusia tiga tahun .
Namun kesedihan bukanlah alasan baginya untuk mengelak daripada melakukan kerja-kerja rumah yang selama ini diuruskan bersama ibunya meskipun mempunyai kakak ipar dan adik-beradik lain.
Malah jelasnya, dia kini membantu kakak iparnya memasak untuk berbuka.
Kini rutin hariannya, selepas berbuka dan solat Maghrib, dia dan Nor Hanini biasanya akan mengaji dan membaca yasin untuk disedekahkan kepada kedua-dua arwah.
Apabila ditanya mengenai persiapan raya, Nor Diana terdiam seketika.
Katanya, sebelum ibunya meninggal dunia, arwah sempat membelikan beberapa helai kain untuk dijahit sebagai baju raya.
Namun sehingga hari ini kain itu masih belum dijahit.
“Saya rasa biarlah kain ini kekal begini sebagai kenangan," tambahnya yang memberitahu baru-baru ini dia sempat membeli baju raya bersama abang sulungnya secara ala kadar.
Satu lagi yang menjadi kenangan kepada Nor Diana ialah, seminggu sebelum menjelang lebaran bersama arwah ibu dan adiknya, mereka akan sibuk membuat kuih-muih untuk dihidangkan kepada tetamu.
“Nampak gayanya, Aidilfitri kali ini hanya saya, adik dan kakak ipar yang akan membuat kuih apa yang terdaya dibuat. Aidilfitri kali ini pun rasanya kami tidak sambut seperti biasa. Lain rasanya kalau tiada ibu di sisi. Hari raya nanti saya dan adik-beradik akan melawat ke rumah ibu dan bapa saudara kami.
“Apa yang pasti pada pagi Aidilfitri kami adik-beradik akan melawat dua pusara serentak di Cheras, berbanding hanya pusara ayah sahaja selama ini," katanya yang bergenang air mata.
Biarpun begitu, dia seringkali mengingatkan dirinya bahawa kematian itu tidak boleh diratap berpanjangan sebaliknya doa anak-anak soleh yang akan membantu arwah ayah dan ibunya dalam keadaan sejahtera di alam sana.
Jika anda ingin berkongsi cerita dengan Ina boleh menghubungi talian 013-6785286.- NUR SYUHADA IBRAHIM
'Bahtera' berantakan salah siapa?
Apabila benang, jarum bertemu
Nur Sarah lawan leukemia
Pakaian comel untuk bayi
Cabaran jadi suri rumah
Guna produk solekan halal
Tipu kerana nak kahwin
Percumakah kehidupan kita?
Innanie Ariffin, Gadis Analogi
Hidangan ala Barat
AKRAB sentiasa mekar
Herba paling berharga
Bayi sihat, aktif
Menangani anak bermasalah
Rungutan ibu beri ilham
Dugaan kasih ibu, anak
Finalis hadapi tugasan akhir
Solekan untuk ibu
Berkahwin atau menunjuk?
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









