VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Ogos 2014 / 4 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 04/08/2012

Ujian Ramadan di rantau orang, negara populasi Muslim kecil

Berbuka puasa beramai-ramai bersama rakan kuliah di rantau orang memberikan pengalaman berharga buat anak muda di rantau orang.

CABARAN terbesar menjalani ibadah puasa di negara yang mempunyai populasi Muslim yang kecil seperti di Korea Selatan (Korea) bukan terletak pada tempoh waktu berpuasa dan suhu yang berbeza dengan tanah air.

Sebaliknya, cabaran yang perlu dihadapi adalah bagaimana menjelaskan kepada bukan Islam termasuk rakan-rakan kuliah tentang keperluan umat Islam menjalani ibadah puasa.

Begitulah yang dijelaskan oleh pelajar tahun akhir program ijazah Kejuruteraan Kimia di Universiti Sungkyunkwan, Seoul, Muhamad Amirrudin Zakaria (Amir), 24, kepada S2.

Menurutnya, kebanyakan penduduk Korea jarang bersemuka dengan orang Islam dan merekalah yang kerap bertanya pelbagai soalan mengenai puasa.

Apatah lagi, ada kalangan mereka menganggap puasa merupakan satu jenis penyeksaan atau penderaan kepada orang Muslim.

"Inilah cabaran sebenar kami di rantau orang. Kami perlu menerangkan kepada mereka tentang bulan Ramadan dan juga 'fungsi' atau 'kegunaan' bulan mulia ini kepada umat Islam.

"Kami juga menjelaskan bahawa ibadah yang dilakukan ini bukan satu penyeksaan, sebaliknya satu tuntutan agama yang wajib dipatuhi,"katanya yang sedaya upaya menyampaikan kefahaman tentang Islam kepada mereka yang bukan Muslim.

Amir yang berpeluang menjalani ibadah puasa pada tahun ini di kampung halamannya di Kedah berkata, para pelajar Muslim juga perlu banyak bersabar apabila dikelilingi ramai orang yang makan dan minum di hadapan mereka seperti hari-hari biasa.

Beliau mula mengikuti pengajian di Korea pada awal 2007 dan kali pertama berada di negara itu, katanya Ramadan jatuh pada musim luruh.

"Tempoh berpuasa pada musim luruh tidak banyak bezanya dengan tempoh berpuasa di Malaysia iaitu 12 hingga 13 jam.

"Manakala pada musim panas pula, tempoh berpuasa lebih panjang iaitu 16 hingga 17 jam," katanya sambil memberitahu tahun ini Ramadan di Korea jatuh pada musim panas.

Sebagai anak bujang di rantau orang, Amir cuba mencari masa untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa.

"Biasanya, kami bergotong-royong menyediakan juadah berbuka bersama rakan untuk mendapatkan mood bulan Ramadan," ujarnya.

Memandangkan beliau dan rakan-rakan gemar menikmati masakan Melayu, maka mereka sedaya upaya mencari bahan untuk menyediakan nasi lemak, kari dan gulai lemak cili api.

"Kami masak berbekalkan apa yang kami dapat dari pasar dan juga stok-stok bahan mentah yang dipos dari Malaysia," katanya.

Mengenai tarawih pula, katanya, pelajar yang tinggal berkumpulan biasanya melakukan solat sunat itu secara berjemaah, diikuti moreh dan tazkirah di kediaman pelajar.

"Pihak kedutaan juga menyediakan tempat untuk tarawih, manakala kesatuan pelajar menganjurkan majlis keagamaan yang diisi dengan ceramah dan forum termasuk tarawih,"katanya.

"Terdapat juga mini bazar Ramadan yang dianjurkan oleh kesatuan pelajar di lokasi yang disewa khas," tambahnya.

Menyentuh tentang pengalaman yang sukar dilupakan semasa berpuasa dan beraya di Korea, katanya, pernah hari raya jatuh pada hari minggu dan beliau terpaksa menghadiri kelas seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa perayaan yang disambut, sedangkan ketika itu Aidilfitri disambut meriah di Malaysia.

"Memang sangat sedih ketika itu, terasa seolah-olah tidak ada siapa tahu apa yang berlaku pada hari tersebut," katanya.

Namun, katanya, apabila berjauhan dengan keluarga, tentu sekali rakan-rakan dan rakyat Malaysia yang menetap di bumi Korea akan dianggap sebagai 'keluarga' sendiri.

"Kami saling bermesra pada hari raya seperti satu keluarga yang baru, lebih ramai dan meriah. Pengalaman ini tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila kerana bagi saya ia adalah satu pengalaman yang amat berharga, yang tidak mungkin saya peroleh pada masa akan datang," kata Amir.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:26
Maghrib 7:21
Isyak 8:31


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.