VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Oktober 2014 / 7 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 04/08/2012

Cabaran berpuasa 20 jam di Finland

Anak Mohamad Ezral Baharudin, Erysssa Nur Iman (kiri) bersama tiga rakan yang merupakan anak-anak Somalia yang tinggal berjiran dengan keluarganya di Lappeenranta, Finland.

FINLAND merupakan negara yang terletak di Eropah Utara. Negara itu kini sedang mengalami musim panas, sekali gus memberikan satu cabaran kepada umat Islam untuk menjalani ibadah puasa di sana.

Ini kerana pada musim panas, waktu siang sangat panjang dengan matahari bersinar sehingga 20 jam sehari.

Keadaan itu menyebabkan umat Islam di negara tersebut perlu menahan lapar dan dahaga hampir sehari suntuk.

Sungguhpun demikian, musim panas di negara yang terletak di bahagian utara planet Bumi ini tidaklah terik, sebaliknya nyaman.

"Alhamdulillah, walaupun umat Islam di sini (Finland) berpuasa sehingga 20 jam pada musim panas, namun panas pada tahun ini tidak seperti tahun lalu.

"Hujan juga kerap turun menyebabkan keadaan di luar agak sejuk sekitar 10 hingga 20 darjah Celsius.

"Ini menyebabkan kami tidaklah terasa sangat haus dan lapar kerana keadaan cuaca yang tidak terlalu panas," kata seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di negara berkenaan.

Pelajar tersebut, Mohamad Ezral Baharudin (Ezral), 32, kini sedang mengikuti pengajian dalam program ijazah doktor falsafah dalam bidang Rekabentuk Mesin Maya, Kejuruteraan Elektrik di Lappeenranta University of Technology.

Beliau bersama isteri, Norismiza Ismail, 32, dan anak perempuan berusia tiga tahun, Erysssa Nur Iman mula menetap di Lappeenranta, Finland sejak Oktober 2011.

Memandangkan Ramadan jatuh pada musim panas, maka Ezral bersahur pada pukul 1.45 pagi (6.45 pagi waktu Malaysia) kerana waktu solat Subuh masuk sekitar 2.30 pagi (7.30 pagi waktu Malaysia).

Waktu berbuka pula katanya adalah pada kira-kira pukul 10.15 malam (3.15 pagi waktu Malaysia), sekali gus memberi cabaran kepada umat Islam di negara tersebut menjalani ibadah puasa.

"Memandangkan ini kali pertama kami sekeluarga berpuasa di sini, maka cabaran utama yang dihadapi adalah menahan lapar dalam tempoh yang sangat lama.

"Cabaran lain adalah kami tinggal agak jauh dari komuniti Melayu dan Muslim yang majoritinya tinggal di ibu negara Finland iaitu Helsinki," katanya sambil memberitahu jarak antara Helsinki dan Lappeenranta adalah kira-kira 250 kilometer.

Menurutnya, keluarga Ezral juga merupakan satu-satunya keluarga Melayu dari Malaysia yang tinggal di bandar tersebut.

Katanya, dengan jumlah orang Asia dan Islam amat sedikit, maka kedai yang menjual bekalan bahan makanan yang sesuai dengan selera orang Asia atau Melayu amat terhad dan jika adapun, harganya terlalu mahal.

"Bekalan bahan mentah seperti rempah ratus, kicap, sayuran dari Asia, daging (ayam atau lembu) halal tidak terdapat di kawasan ini. Jika adapun amat terhad dan mahal. Jadi, kami akan ke Helsinki sekitar dua hingga tiga bulan sekali untuk membeli stok bekalan dalam kuantiti yang banyak.

"Untuk Ramadan ini, kami telah membeli bekalan memasak sehingga Aidilfitri ini," ujar anak kelahiran Parit Buntar, Perak ini.

Isterinya yang berasal dari Ipoh, Perak pula dijangka melahirkan anak kedua pada bulan ini.

Justeru, ibunya, Sofiah Che Embi, 58, dan bapanya, Baharudin Ahmad, 68, berada bersama mereka sejak 15 Julai lalu untuk tinggal bersama selama dua bulan bagi menjaga isterinya berpantang.

Menurutnya, sungguhpun jauh dari tanah air, namun beliau masih dapat menghayati Ramadan dengan bertarawih, iftar dan bertukar-tukar juadah dengan jiran dan rakan-rakan Muslim dari Singapura, Somalia, Iran, Afghanistan dan Rwanda.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno berkata, umat Islam di negara yang waktu siangnya lebih panjang wajib berbuka puasa mengikut hukum iaitu berbuka puasa apabila matahari terbenam.

"Tak kiralah kalau waktu siang di sesebuah negara melebihi 20 jam sehari. Kena ikut hukum. Tak boleh berbuka sebelum matahari terbenam," katanya ketika dihubungi S2.

Beliau bagaimanapun kurang pasti tentang pendapat yang menyatakan boleh berbuka puasa mengikut negara terhampir atau berjiran dengan negara terbabit.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.