VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 03/08/2012

Rintihan anak yatim

Dalam usia yang masih muda, kanak-kanak kecil ini terpaksa melalui dugaan yang sangat berat iaitu membesar tanpa kasih sayang ibu dan bapa.

SEBAK. Begitulah perasaan yang timbul di hati penulis sebaik tiba di perkarangan rumah Anak Yatim dan Asnaf al-Solihin, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Terharu melihat telatah kira-kira 40 anak yatim dan asnaf di rumah kebajikan itu yang kelihatan ceria menerima kunjungan anggota 'Salam Sahur' anjuran Islamic Aid Malaysia (AIM) bersama krew media.

Masing-masing tidak menunjukkan raut wajah sedih atau tidak selesa, malah bersifat ramah dan mudah didekati walaupun jam menunjukkan pukul 2 pagi.

Berselindung daripada kemesraan itu memperlihatkan seperti tiada langsung kesedihan yang ditanggung oleh kanak-kanak kurang bernasib baik itu.

Malah, rata-rata pelajar yang ditemui sedia memberikan maklum balas baik ketika ditemui dan sudi berkongsikan pengalaman pahit manis hidup mereka kepada pemberita.

Ketika anak kecil lain sedang gembira meluangkan masa bersama keluarga, namun berbeza dengan kanak-kanak yang dilahirkan, membesar dan membina hidup tanpa mendapat kasih sayang kedua-dua orang tua ini.

Dugaan yang perlu diharungi adalah terlalu berat bagi kanak-kanak seawal usia itu. Hanya kenangan indah menjadi ingatan menguatkan semangat untuk melepaskan rindu bersama ibu bapa mereka. Lebih-lebih lagi menjelangnya bulan Ramadan dan hari raya Aidilfitri.

Sebatang kara

Berkongsi kisah hidup, seorang penghuni rumah kebajikan tersebut, Mariah Musain, 15, berkata, pengalaman berpuasa kira-kira 10 tahun lalu merupakan ibadah puasanya yang terakhir dilakukan bersama ibu bapanya.

Anak kelahiran dari Kemboja itu dihantar ke rumah Anak Yatim dan al-Solihin apabila kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat nahas letupan bom di negara itu.

Lebih menyedihkan dia sendiri pada asalnya tidak mengetahui punca kematian ibu dan bapanya kerana masih terlalu kecil. Malah, bacaan surah yasin dan tahlil yang dibacanya rupa-rupanya adalah untuk arwah ibu bapanya sendiri.

Mariah berkata, walaupun sedih menjalani ibadah puasa tanpa orang tersayang, dia reda dan bersyukur ditempatkan di sini kerana mendapat didikan dan berkongsi kasih sayang daripada penjaga rumah anak yatim tersebut.

"Saya tetap bersyukur walaupun ditakdirkan menerima nasib tidak sebaik kanak-kanak lain kerana saya yakin pasti ada hikmah di sebalik ketentuan Allah SWT ini.

"Malah saya sangat gembira ditempatkan di sini kerana berpeluang merasai nikmat bulan puasa bersama rakan-rakan lain, mempelajari pelbagai ilmu baru dan mengenali erti hidup," katanya yang dimasukkan ke rumah kebajikan itu pada usia 12 tahun.

Mariah yang hidup sebatang kara itu mengakui sukar baginya untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan dan juga memahami mata pelajaran di sekolah disebabkan masih belajar memahami bahasa Malaysia.

"Saya sangat gembira bercampur terharu dengan keprihatinan masyarakat di negara ini yang banyak memberikan sumbangan dan tidak pernah mengabaikan golongan tidak bernasib baik seperti kami.

"Mungkin inilah antara hikmah yang Allah SWT berikan selepas peristiwa kematian kedua ibu bapa yang membolehkan saya belajar menimba pengalaman dan mengerti erti hidup sebenar," katanya.

Terkenangkan ibu

Dalam pada itu, Qurratul Nur Husna Ahmad Fauzi, 15, berkata, terkenang kisah indah bersama emaknya membuatkan air matanya tiba-tiba mengalir.

Dia yang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik diuji dengan pelbagai dugaan selepas ayahnya menghilangkan diri semasa emaknya melahirkan adiknya yang keempat.

Tidak terhenti di situ, dugaan hidupnya sekeluarga tanpa merasai kasih sayang ayah terus diuji Allah SWT, apabila baru-baru ini emaknya pula dipanggil mengadap ilahi akibat mengidap penyakit asma.

Hanya rumah anak yatim tersebut menjadi tempat bagi Husna dan tiga adiknya untuk berteduh dan berlindung serta membina kehidupan seperti kanak-kanak lain.

"Walaupun hidup sederhana, tetapi kehidupan kami sekeluarga pada asalnya baik. Hinggalah kira-kira empat tahun lalu sewaktu emak hampir melahirkan adik bongsu, ayah tiba-tiba menghilangkan diri tanpa diketahui puncanya.

"Kami sekeluarga hidup dengan hanya mendapat kasih sayang daripada emak yang tidak pernah jemu membesarkan kami. Pelbagai aktiviti kami lakukan bersama-sama. Apa yang paling sukar untuk dilupakan adalah merasai juadah laksa hasil air tangan emak.

"Ramadan adalah bulan yang paling menyedihkan bagi saya dan adik-adik. Saya selalu berdoa agar dapat berjumpa dengan emak kembali walaupun di dalam mimpi. Saya ingin memeluk emak erat dan ucapkan "Saya sayang dan rindu sangat pada emak," kata Qurratul Nur Husna dengan suara tersekat-sekat.

Selain dibesarkan di rumah Anak Yatim dan Asnaf as-Solihin, Qurratul Nur Husna sekeluarga turut mempunyai keluarga angkat yang selalu menjemput pulang dan memantau keadaan mereka di rumah jagaan anak yatim tersebut.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.