VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 02/08/2012

Kuih lama jadi rebutan

Kuih bangkit santan diterap menggunakan acuan berbentuk hati.

Tidak ada yang lama maka tidak adalah yang baru. Ayat tersebut mungkin agak klise tetapi tetap relevan lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri seperti sekarang apabila muncul semula kuih-kuih Melayu lama.

Kuih seperti bangkit, baulu, putu kacang, sepit (kapit), tumpi dan rempeyek, biarpun sesetengahnya hanya dapat ditemu setahun sekali, cukup untuk menceriakan lagi suasana raya.

Malah kuih-kuih lama ini tetap dicari orang biarpun lambakan pelbagai jenis kuih moden seperti tat nanas, samperit, almond London dan sebagainya.

Menyedari kuih-kuih lama masih mendapat sambutan apabila tiba musim perayaan, pembuat kuih tradisional, Zaharah Mat Bakri, 70, masih meneruskan aktiviti pembuatan kuih warisan ini biarpun pada usia semakin lanjut

“Mak cik mula buat kuih ni waktu muda-muda dulu. Sekarang dah masuk 26 tahun mengusahakan kuih lama ini secara tradisional.

“Masa mula-mula dahulu buat secara kecil-kecilan seorang diri di rumah. Hanya pada bulan Ramadan sahaja kami terima tempahan dari sekitar kampung," katanya.

Tambahnya, sekarang kuih tradisional yang diusahakannya bukan sahaja tertumpu pada hari raya sahaja bahkan jika ada pelanggan yang menempah untuk majlis kenduri dan sebagainya dia akan membuatnya.

“Tambahan sekarang mak cik dapat bantuan bengkel dan mesin mengisar tepung dan alatan membakar dari Industri Kecil Sederhana (IKS).

“Walaupun mendapat alatan membuat kuih secara moden, tetapi cara membuat dan membakar kaedah tradisional masih dikekalkan," katanya.

Menurut Zaharah, pelbagai jenis kuih tradisional dihasilkan seperti putu kacang, kuih bangkit santan, bangkit kelapa, dan bangkit kacang.

“Kuih-kuih ini masih mengekalkan pembuatan cara tradisional dan penghasilan memerlukan proses yang teliti dan lama.

“Kuih bangkit kelapa, bangkit santan dan bangkit kacang misalnya, lebih enak rasanya apabila dibakar dengan cara lama. Kuih yang siap dibentuk dengan acuan akan dibakar di atas api menggunakan sabut sehingga ia masak kekuningan," katanya.

Tambahnya, bentuk kuih yang dihasilkan adalah berbentuk hati, daun dan bunga-bungaan.

Katanya, kuih putu kacang antara yang paling mendapat sambutan dari pelanggan biarpun ia memerlukan masa sekurangnya tiga hari untuk siap.

“Proses untuk membuat putu kacang perlu melalui beberapa langkah yang rumit berbanding kuih-kuih lain. Sebab itu ia mengambil masa lama untuk disiapkan.

“Kacang hijau yang telah dikisar perlu digoreng tanpa minyak. Kemudian ia akan dijemur sehingga betul-betul kering sebelum diayak buat kali kedua," katanya.

Tambahnya, selepas kacang siap dijemur, ia akan digaul rata bersama gula untuk menghasilkan adunan kuih tersebut sebelum dijemur sekali lagi di bawah embun pada waktu malam sehingga pagi.

“Selepas dibiarkan semalaman di bawah embun, kacang akan menjadi sedikit lembap kemudian barulah proses membentuk kuih dalam acuan khusus dilakukan.

“Untuk kuih ini kami menggunakan acuan corak daun. Selepas kuih siap dibentuk, ia akan dijemur semula sebelum dibungkus untuk dijual," katanya.

Menurut Zaharah, kuih putu yang sedap dimakan apabila rasanya gebu, lembut dan manis.

Seperti kuih-kuih lain, kuih putu ada cabaran tersendiri untuk membuatnya lebih-lebih lagi proses menjemur secara semula jadi memerlukan keadaan cuaca panas.

Jika hujan kuih tidak dapat dikeringkan dengan cepat.

Terus kekal

Tambahnya, kuih bangkit dan putu kacang berbeza dengan kuih moden kerana boleh disimpan lama sehingga mencapai tempoh enam empat hingga lima bulan.

“Jika tidak habis dimakan, kuih ini perlu disimpan dalam bekas bertutup supaya tahan lama dan boleh dimakan lagi di lain masa," katanya.

Ujarnya, untuk menyiapkan tempahan pelanggan pada bulan Ramadan dia mendapat bantuan daripada empat orang pekerja.

“Tidak menang tangan nak siapkan tempahan pada bulan Ramadan. Pelanggan yang membuat tempahan selalunya pelanggan tetap sekitar kampung, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Selalunya tempahan dibuat dua bulan sebelum Ramadan bagi memastikan tempahan dapat disiapkan sebelum hari raya," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.