VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 14/06/2012

Seni grafiti di sekolah

Pelukis grafiti perlu fokus dan pandai menonjolkan karya agar bakat mereka dilihat dan diterima.

MENGHASILKAN sebuah karya lukisan di dinding sekolah untuk ditinggalkan kepada guru dan generasi pelajar seterusnya pasti mengundang rasa bangga kepada si pelukis.

Lebih manis lagi apabila segala idea, kreativiti yang dicurahkan untuk menghasilkan lukisan itu mendapat pengiktirafan.

Bagi sepuluh pelajar perempuan tingkatan lima, Sekolah Menengah Perempuan Asunta, Petaling Jaya, Selangor, lukisan grafiti yang dihasilkan di dinding bangunan galeri seni di sekolah adalah kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Ia juga bukti kecintaan mereka kepada sekolah yang bakal ditinggalkan tidak lama lagi.

Persekitaran positif

Usaha kali pertama menghasilkan lukisan grafiti itu melayakkan Sekolah Menengah (P) Asunta memenangi pertandingan seni grafiti, Gempaknya My School anjuran Bumblebee Consultancy bersama Sony Malaysia baru-baru ini.

Merupakan satu-satunya sekolah perempuan yang menyertainya, lukisan grafiti yang bertajuk Sony Memuaskan Citarasa Semua, berjaya menewaskan tujuh buah sekolah lain di Lembah Klang antaranya, Sekolah Menegah Kebangsaan Taman Desa, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Buloh.

Pengarah Projek Gempaknya My School, Christine Ngh, berkata pertandingan melukis grafiti itu bertujuan mendedahkan pelajar mengenai seni grafiti secara positif untuk lebih mengenalinya selain meningkatkan hubungan baik antara pihak sekolah dan pelajar.

"Ia juga bagi membina keyakinan diri pelajar, kepimpinan dan komunikasi serta bekerja dalam satu pasukan selain berpeluang untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada mereka yang terlibat secara profesional dalam bidang itu," katanya.

Kaji selidik yang dilakukan di lapan buah sekolah yang menyertai pertandingan kali pertama ini mendapati, 68 peratus menyatakan seni grafiti telah membuatkan persekitaran sekolah mereka menjadi lebih positif dan ceria.

"Sebanyak 71 peratus pula bersetuju agar program seumpama dijalankan lebih kerap lagi," katanya yang berharap program berkenaan akan menjadi titik permulaan mengembangkan kreativiti pelajar dalam bidang seni.

Kali pertama berpeluang bermain dengan semburan cat menghasilkan lukisan grafiti telah membuatkan Nor Fatin Nabila Rosli, 17, jatuh cinta.

Tidak pernah mengenali seni grafiti sebelum ini, ia adalah pengalaman baru yang sangat mengujakan, tambahan berpeluang bekerjasama dengan pelukis grafiti terkenal tanah air, Bone Alfie.

"Sangat menarik..., ia satu pengalaman baru yang cukup manis bersama kawan-kawan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Ini juga sebagai tanda kenangan kami sebelum meninggalkan sekolah," katanya.

Walaupun sangat mencabar kerana tidak biasa menggunakan semburan cat yang memerlukan penelitian rapi, namun segalanya berjaya diatasi hasil kerjasama rakan yang lain.

Sokongan sekolah

Bermula sebagai ekspresi meluahkan perasaan melalui tulisan dan lukisan di dinding, pagar mahupun di tembok-tembok, seni grafiti yang pernah dikaitkan sebagai aktiviti vandalisme dalam kalangan anak muda, kini mula berubah wajah.

Perkembangannya yang bermula pada akhir 1990-an, kini melalui fasa baru apabila ia diiktiraf menjadi sebahagian daripada cabang seni kreatif yang mempunyai nilai estetik yang tinggi.

Menurut Bone Alfie yang terlibat dalam seni grafiti lebih enam tahun lepas, pendedahan kepada pelajar sekolah boleh membawa mesej positif tentang seni itu agar ia tidak disalah ertikan.

Sebagai seorang yang bekerja dan berkarya sepenuh masa dalam seni grafiti, beliau berkongsi pengalaman yang ada dengan pelajar sekolah yang terlibat dalam pertandingan Gempaknya My School.

"Saya antara pelajar yang lebih menjurus dalam bidang kreatif berbanding akademik. Minat telah ada sejak sekolah, cuma kurang mendapat pendedahan ketika itu.

"Bermula dengan lukisan mural, kemudian mencari dan mendalami bidang grafiti sendiri hanya melalui Internet dan pembacaan. Mencuba aplikasikannya, berkongsi dengan kawan-kawan dan akhirnya, ia menjadi satu kerjaya saya sekarang," kata Bone.

Semua kisah dan pengalaman itu serba sedikit dikongsi dengan para pelajar, agar mereka lebih memahami seni grafiti dan tidak menyahlahgunakan teknik seni jalanan dengan melakukan aktiviti kemusnahan atau vandalisme.

Penerimaan positif pihak sekolah yang menyokong usaha memartabatkan seni grafiti mampu mencungkil bakat baru.

"Ada pelajar yang memang sangat berbakat. Sekali ajar sahaja mereka sudah faham teknik dan boleh buat. Ditambah pula dengan sokongan guru di sekolah.

"Saya yakin jika terus diberi peluang, lebih ramai lagi bakat muda dalam seni grafiti akan dihasilkan dan penerimaan masyarakat juga akan menjadi lebih terbuka," katanya.

Seni grafiti sebagai kerjaya

Sehingga kini terdapat kira-kira 100 individu dan berkumpulan yang terlibat aktif dalam seni grafiti di Malaysia dan ia dijangka terus berkembang hasil sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan mahupun pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ruang di tebing Sungai Klang berdekatan Stesen LRT Pasar Seni antara kawasan yang dikhaskan untuk pelukis grafiti berkarya. Selain itu pelbagai platform seperti pameran, pertandingan seni grafiti diadakan bagi mencungkil dan mengembangkan bakat baru.

"Karya grafiti dipamer secara terbuka di dinding-dinding kepada orang ramai bagi mengetengahkan hasil karya masing-masing. Ia juga antara usaha bagi meletak dan memperkenalkan Malaysia dalam kalangan pelukis grafiti di luar negara yang kini telah mengiktiraf karya rakyat tempatan," katanya.

Mengulas mengenai masa depan seorang pelukis grafiti, Bone berkata, penerimaan masyarakat terutama, institusi pendidikan dan syarikat-syarikat korporat telah meletakkan seni grafiti setara dengan cabang seni lain.

"Selain mempamerkan karya, banyak syarikat korporat telah menggunakan khidmat pelukis grafiti untuk penjenamaan, iklan, program dan sebagainya yang membolehkan kami mencari makan dalam bidang ini," ujarnya yang menyatakan pendapatan seorang pelukis grafiti agak lumayan sekiranya dilakukan secara serius.

Seorang pelukis grafiti perlu fokus dan pandai menonjolkan karya agar bakat mereka dilihat dan diterima. Bukan itu sahaja, mereka juga harus mempelbagaikan kebolehan, tidak hanya pada lukisan di dinding, sebaliknya dalam bentuk lain seperti melukis di kasut.

"Bidang grafiti boleh berkembang luas asalkan kita kreatif, rajin dan pandai memasarkannya," ujarnya sebelum mengakhiri perbualan. - BERNAMA

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.