VERSI : Mobile | Akhbar Digital
27 Julai 2014 / 29 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
JOHOR

ARKIB : 27/09/2012

Pendapatan daripada tunggul kayu

MOHD. Yunus Ismail menyiapkan ukiran bingkai kayu yang ditempah oleh pelanggan di bengkel kraf tangannya di Felda Tenang, Labis, baru-baru ini.

LABIS 26 Sept. - Tunggul kayu hanyut atau terbiar di kebun selalunya akan dibuang atau dibakar dan tidak ramai yang tahu ia sebenarnya boleh memberi pendapatan lumayan jika dijadikan barangan kraf tangan sehingga mencecah ribuan ringgit.

Menyedari peluang dan potensi besar produk kraf berasaskan tunggul kayu, seorang pemuda dari Felda Tenang, dekat sini mengorak langkah menghasilkan produk kraf tangan berasaskan tunggul kayu sejak enam tahun lalu.

Biarpun ramai yang kurang yakin dan mempersendakan hasratnya untuk memperkenalkan konsep hiasan tersebut pada peringkat awal, namun bagi Mohd. Yunus Ismail, 42, semua itu dianggap sebagai cabaran untuk berusaha lebih gigih.

Kini dia bersyukur kerana kesabarannya dalam menghasilkan produk kraf berasaskan tunggul kayu mampu menyediakan platform terbaik kepada golongan belia yang berminat untuk menimba pengalaman terutamanya yang tinggal di kawasan sekitar.

"Selain faktor minat, kesukaran mendapatkan kerja ekoran peluang pekerjaan yang begitu terhad di kawasan ini menjadi pendorong kepada saya mengambil keputusan menceburkan diri dalam bidang kraf ini.

"Memang saya berdepan dengan pelbagai rintangan terutamanya penerimaan masyarakat setempat yang belum nampak potensi bidang ini ketika mula menghasilkan produk tersebut enam tahun lalu di belakang rumah," kata bapa kepada enam orang anak ini semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mohd. Yunus mula menghasilkan barangan kraf dengan melakukan kerja secara bersendirian di belakang rumah menggunakan peralatan asas seperti tukul, gergaji dan pahat tanpa bantuan sebarang mesin.

Takdir bagai menyebelahinya kerana tidak lama selepas itu, Felda menganjurkan satu pertandingan menghasilkan produk tempatan untuk warga Felda.

Dia terpilih mewakili Felda Tenang serta muncul johan pertandingan tersebut.

Sebagai galakan terhadap usahanya, pihak pengurusan Felda Tenang memberikan sebuah rumah kakitangan yang tidak dihuni untuk dijadikan bengkelnya empat tahun lalu.

Di samping itu, Jabatan Kraftangan Malaysia turut membantu mempromosi produk keluaran Mohd. Yunus.

Antara barangan kraf yang dihasilkan ialah mangkuk, pasu bunga, lampu tidur serta pelbagai perhiasan lain yang diperbuat daripada tunggul kayu daripada spesies kayu cengal, medang, kulim dan merbau, selain kayu hanyut yang diperoleh dari kawasan sekitar.

Menurutnya, seseorang memerlukan daya imaginasi dan kesabaran yang tinggi kerana setiap bahan asas yang diperoleh harus diteliti dari pelbagai sudut seperti bentuk, saiz dan spesies kayu yang bersesuaian untuk dibentuk menjadi sesuatu produk tertentu.

"Selalunya saya akan membawa balik semua tunggul kayu yang ditemui semasa keluar mencari bahan dan mengumpulkannya di bengkel. Kerja-kerja membentuk produk hanya dilakukan apabila mendapat ilham yang sesuai.

"Setiap bentuk yang dihasilkan selalunya tidak sama antara satu sama lain mengikut kesesuaian dan adakalanya memakan masa yang agak lama sebelum dapat disiapkan sepenuhnya bergantung kesukaran membentuk bahan asas," katanya yang bercita-cita untuk menjadikan Labis sebagai pusat kraf tangan berasaskan tunggul kayu suatu hari nanti.

Selain menghasilkan produk kraf, Mohd. Yunus juga giat menurunkan segala pengalaman dan ilmu dalam bidang tersebut kepada golongan belia serta lepasan sekolah dari kawasan sekitar yang berminat dan hingga kini lebih 50 orang telah mengikuti beberapa siri bengkel anjurannya.

Dia juga kini giat mengusahakan tanaman orkid liar sebagai hiasan taman yang digabungkan dengan produk kraf tunggul kayu sebagai satu lagi produk yang berpotensi untuk dimajukan.

Pada masa terluang, dia akan mencari pelbagai spesies orkid yang tumbuh meliar untuk dijadikan tanaman hiasan dan menyemai benih beberapa spesies tertentu terutama yang sukar diperoleh bagi memastikannya tidak pupus.

Pada mulanya, dia hanya menanam orkid liar sebagai hobi, tetapi apabila mendapat sambutan baik daripada peminat tanaman itu, Mohd. Yunus mengambil keputusan mengusahakannya dengan serius.

Dia berharap golongan muda lebih kreatif meneroka bidang baru dengan mempelbagaikan produk daripada bahan asas yang banyak terdapat di kawasan sekitar.

"Kejayaan tidak datang sekelip mata, setiap apa yang diusahakan selalunya diiringi pelbagai cabaran yang mematangkan kita. Sehubungan itu, kita harus membimbing dan menyediakan peluang kepada golongan remaja menentukan bidang pilihan mereka untuk dijadikan kerjaya," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.