VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
JOHOR

ARKIB : 06/09/2012

Tauke rempah ratus cekal berniaga

NAZOHA Hashim menunjukkan mesin khas memproses rempah keluaran syarikatnya sambil diperhatikan suaminya, Osman Hassan di Senggarang, Batu Pahat, Johor.

BATU PAHAT 5 Sept. - Sikap tidak mudah putus asa menjadi kunci kejayaan pemilik syarikat berteraskan perniagaan rempah ratus, Nazoha Enterprise, Nazoha Hashim, 45.

Kegagalan demi kegagalan pada awal pembabitan dalam bidang perniagaan tidak menyebabkan beliau putus asa sebaliknya pengalaman itu dijadikan ‘guru’ yang paling berguna untuk mengejar kejayaan.

Kini, beliau boleh menarik nafas lega berikutan syarikatnya mencatatkan jualan kira-kira RM800,000 pada tahun lalu.

Nazoha berkata, antara produk utama syarikat itu yang beroperasi di Parit Kemang, Senggarang di sini, adalah rempah soto, rempah mi bandung, rempah mi rebus dan rempah asam pedas.

Menurutnya, pada Ramadan lalu, sebanyak 40,000 paket rempah soto berjaya dijual sekali gus menjadi produk terlaris syarikatnya diikuti rempah mi bandung.

Berbanding rempah konvensional yang disediakan dalam bentuk basah, Nazoha Enterprise menghasilkan rempah yang telah diproses menjadi kering dalam bentuk serbuk yang dibungkus dan dilabel dengan menarik.

Penggunaannya yang lebih mudah dan tahan lama menjadikan produk Nazoha berjaya menambat hati pengguna hampir di seluruh negara termasuk Singapura menerusi rangkaian pengedarnya.

Syarikat itu turut membungkus rempah ratus yang belum diproses dengan memperoleh bahan mentah daripada pembekal setianya untuk dijual kepada para pelanggan selain perniagaan menjual pokok bunga dan tumbuhan hiasan.

Premis pemerosesan syarikat itu terletak di Kampung Parit Kemang, Senggarang manakala kedai serbaneka Hentian Parit Karjo yang menjual pelbagai produk terutama keluaran syarikat tersebut terletak berhampiran iaitu di Kampung Parit Karjo.

Bagaimanapun, kejayaan yang diperoleh tidak datang bergolek sebaliknya kegagalan demi kegagalan terpaksa ditempuh Nazoha dan suaminya, Osman Hassan, 47, sehingga menghadapi kesukaran menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak ketika awal penglibatan dalam bidang perniagaan.

Pasangan itu memulakan perniagaan dengan membuka kedai makan di Sungai Suloh, Senggarang tetapi terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mendapat sambutan dan kemudiannya membuka kedai runcit yang juga tidak memberikan keuntungan.

Menyedari kelebihan dimiliki suaminya yang dahulunya bekerja sebagai tukang masak restoran dan mempunyai kemahiran dalam menyediakan rempah ratus, Nazoha mengambil keputusan menceburkan diri dalam perniagaan pemerosesan rempah ratus moden dalam bentuk kering yang diyakini mempunyai pasaran luas.

“Sekali lagi, cabaran hebat terpaksa dihadapi apabila 80 peratus daripada produk rempah ratus kami tidak laku dan dipulangkan semula oleh pelanggan yang belum mempercayai produk baru tersebut," katanya.

Dengan semangat kental dan kajian produk yang lebih teliti, beliau dan suami yang hanya tamat pendidikan sehingga tingkatan lima terus bertahan dan setelah hampir tiga tahun, barulah produk mereka dapat diterima di pasaran.

Menurutnya, cabaran yang datang tidak berakhir di situ apabila syarikat yang semakin berkembang mengambil keputusan menukar label pembungkusan produk kepada bentuk yang lebih menarik.

Namun katanya, tindakan itu menyebabkan penurunan jualan sehingga 40 peratus kerana pelanggan masih mencari produk dengan label lama dan tidak mempercayai keluaran label baru sebagai produk asli.

Bagaimanapun, Nazoha terus bertahan dan berkat ketabahan, produk syarikat itu kini berkembang luas.

“Daripada menggunakan antan untuk menumbuk bahan mentah, mesin pengisar rumah untuk mengisar dan mengeringkan bahan-bahan itu dengan kuali dapur rumah, kini syarikat kami mempunyai premis pemerosesan yang dilengkapi mesin khas industri.

“Jika pada peringkat awal, 80 peratus produk syarikat dipulangkan semula, namun kini jumlah itu berkurangan hanya kira-kira lima peratus dan kami dapat menggaji 12 pekerja," katanya.

Pada masa sama, Nazoha Enterprise turut mempunyai perancangan membuka premis pemprosesan yang lebih moden satu hari nanti dan tapak untuk membina premis itu telah pun diperoleh.

Ditanya bagaimana beliau mampu bertahan menghadapi badai cabaran yang melanda, Nazoha memberitahu, dia sentiasa bersangka baik dan menganggap setiap kejadian yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.