ARKIB : 17/08/2012
Cabaran mencari buluh lemang
LABIS 16 Ogos - Setiap kali bulan Ramadan dan Syawal, pasti pelbagai juadah dijual untuk majlis berbuka puasa dan rumah terbuka.
Juadah seperti lemang, ketupat, rendang dan pelbagai biskut dan kuih-muih 'menu wajib' bagi umat Islam di negara ini.
Antara yang tidak pernah 'tertinggal' untuk hidangan tetamu ialah lemang.
Namun, di sebalik keenakan lemang, sebenarnya bukan kerja mudah untuk menghasilkannya terutama mencari buluh di hutan.
Walaupun ia bukan tugas mudah, bagi tiga beradik dari Kampung Tenang di sini, ia mampu meraih pendapatan lebih RM5,000 dalam masa 10 hari hasil menjual buluh lemang setiap kali tiba bulan Ramadan dan Syawal.
Dengan bermodalkan sebilah parang dan gergaji sejak lima tahun lalu, Suhaimi Mohd. Yusof, 30, dan Ahmad Fauzi, 25, serta Mohamad Faiz, 23, turut menerima tempahan seawal minggu kedua Ramadan daripada pengusaha lemang dari Muar, Batu Pahat, Johor Bahru dan Kuala Lumpur dengan harga RM1 seruas.
Menurut Ahmad Fauzi, kerja mencari buluh lemang tidak semudah yang disangka kerana bekalan semakin berkurangan akibat kebanyakan kawasan ditumbuhi pokok buluh di sekitar kampung mereka telah dibersihkan untuk tanaman getah atau kelapa sawit.
"Kini kami terpaksa masuk jauh ke dalam hutan untuk mendapatkan bekalan buluh yang sesuai sehingga adakalanya terpaksa berjalan beberapa kilometer selain terpaksa berdepan risiko terserempak binatang liar.
"Terserempak dengan ular berbisa, babi hutan dan kumpulan gajah liar bukan perkara asing, namun kami bersyukur tiada sebarang kejadian tidak diingini menimpa setakat ini," katanya yang pernah diserang tebuan tanah ketika mencari buluh dua tahun lalu.
Menurutnya, cabaran itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk meneruskan kerja-kerja mencari buluh lemang dan akan terus melakukannya selagi terdapat bekalan buluh dan permintaan daripada pelanggannya.
Abangnya, Suhaimi pula berkata, bukan semua jenis buluh sesuai dijadikan buluh lemang dan hanya dua yang selalu digunakan iaitu buluh akar dan buluh nipis.
"Buluh akar paling disukai oleh pelanggannya kerana tidak mempunyai banyak miang berbanding buluh nipis yang terdapat banyak miang dan boleh menyebabkan rasa gatal jika terkena kulit.
"Selain itu hanya buluh muda yang boleh ditebang kerana buluh yang sudah tua tidak sesuai dijadikan buluh lemang kerana akan pecah sewaktu proses pembakaran dilakukan, manakala buluh yang terlalu muda pula akan mengecut serta tidak tahan lama," katanya sambil memberitahu mereka mampu mengambil antara 500 hingga 600 ruang buluh lemang sehari.
Bagi Mohamad Faiz yang baru tahun kedua menyertai abangnya mencari buluh lemang menyifatkan hasil yang diperoleh setimpal dengan usaha yang dilakukan dan ia memerlukan kesabaran terutamanya semasa menjalani ibadah puasa.
Dia mengakui hampir menyerah 'kalah' semasa pertama kali mengikut abangnya masuk hutan mengambil buluh dahulu, namun selepas beberapa kali mula dapat menyesuaikan diri dan kini lali dengan rintangan dan cabaran yang menanti.
Harap perkhidmatan Siew Kiong tidak terjejas
Guru perkasa modal insan pewaris negara
Ibu tunggal 2 anak OKU disindir
Patuh peraturan prinsip Tokoh Guru Segamat 2013
Peminat 'mini explorace' dijemput ambil bahagian
Pendidik diseru hayati tema Hari Guru
Sasar bina rumah kos rendah
148 pelajar pendidikan khas sertai festival nasyid
KKBN turun ke desa berbakti
Reka cipta UTHM terus diiktiraf
UTM berjaya cipta yogurt guna santan kelapa
60 penuntut UiTM tabur bakti di Kg. Tenang
Harap dapat miliki rumah sendiri
PDK Labis bakal dapat bangunan baharu
2 penyamun dicekup, 35 kes selesai
Persatuan belia lesu akan diaktifkan
Projek tebatan atasi banjir di Air Hitam
Jangan lepaskan peluang di Fiesta Riuh Sakan Utusan/Kosmo
Kerajaan perlu bertegas - PPPMM
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









