VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 07/12/2012

Seminggu paling
lama tidak menyanyi

GAMBAR terbaru Salamiah Hassan yang dijemput mengadakan persembahan di Panggung Anniversary, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SIAPA kata penyanyi veteran seperti Salamiah Hassan sudah tidak laku lagi di atas pentas persembahan? Penyanyi berusia 61 tahun ini masih sihat dan kelihatan cukup bertenaga terutama apabila mikrofon sudah berada dalam genggamannya.

Meskipun kali terakhir merakamkan album berjudul Tirai Terakhir pada tahun 2005, namanya terus diingati ramai termasuk kalangan generasi muda hari ini.

Menurut Salamiah, sepanjang menjadi penyanyi selama 41 tahun, dia belum pernah putus-putus menerima undangan menyanyi daripada pelbagai pihak di merata-rata tempat di seluruh negara. Katanya, tempoh paling lama dia tidak menyanyi ialah selama seminggu.

"Seminggu adalah paling lama saya tidak menyanyi. Biasanya saya banyak mendapat tawaran menyanyi pada hujung minggu. Setakat ini, tawaran untuk saya menyanyi sudah ada sehingga Januari 2013. Tidak kiralah sama ada persembahan itu yang berskala besar ataupun pada majlis kecil-kecilan. Pokok pangkalnya saya masih menyanyi.

"Kalau saya pergi ke sesuatu majlis, masih ada peminat yang suruh saya menyanyikan satu atau dua lagu popular saya seperti Menghitung Hari atau Gelombang. Kadang-kadang saya tidak boleh tolak dan penuhi juga permintaan itu kerana kerjaya saya adalah penyanyi.

"Menyanyi sudah menjadi darah daging saya sejak menyertai pertandingan Bakat TV anjuran RTM pada tahun 1971. Ini adalah kerjaya yang saya pilih dan saya puas terbabit dalam bidang ini," katanya kepada Hits semasa ditemui di Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.

Biarpun masih aktif menyanyi tetapi anak kelahiran KL ini lebih suka menghabiskan masanya di rumah jika tiada tawaran mengadakan persembahan pentas. Banyak aktiviti yang dilakukan oleh penyanyi yang bersuara lantang ini sewaktu berada di rumah yang diibaratkan sebagai syurga kecilnya.

Ibu kepada dua anak ini antaranya suka membela kucing-kucing terbiar yang dipelihara di kediamannya di Taman Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu. Sehingga kini dia membela enam ekor kucing yang ada di antaranya mempunyai masalah kesihatan tersendiri.

"Membela kucing adalah antara hobi saya termasuklah kucing-kucing yang saya kutip di tepi jalan. Saya tidak sampai hati tengok kucing yang tidak makan ataupun sakit. Sebab itu, di antara kucing yang saya bela itu seekor daripadanya menghidap sakit buah pinggang.

"Saya selalu membawa kucing itu ke klinik dan doktor memberikannya ubat yang harus dimakan dua kali sehari. Itu adalah antara rutin saya sewaktu di rumah. Kalau saya tiada di rumah kerana mengadakan persembahan atau sebab-sebab lain pembantu rumah saya akan menjalankan tanggungjawab itu," ujarnya.

Selain suka dengan binatang peliharaan seperti kucing, anak keempat daripada 11 adik beradik ini juga gemar memasak sewaktu berada di rumah. Aktiviti memasak katanya, bukan sahaja boleh mengisi masa lapangnya.

Malah pada masa sama Salamiah yang telah lebih 20 tahun bergelar ibu tunggal menganggap aktiviti seperti itu mampu mengeratkan hubungannya dengan dua anaknya iaitu Raja Puteri Atilia, 38, yang juga merupakan seorang penyanyi dan Raja Ahmad Shah, 33.

"Saya suka memasak dan antara menu yang anak-anak saya suka seperti daging goreng berlada kicap, nasi bawang dan ayam masak merah. Selain itu, saya juga menghabiskan masa dengan beriadah seperti berjalan kaki di sekitar taman perumahan sama ada pagi atau petang," katanya.

Rahsia jaga suara

Tempoh menyanyi selama empat dekad bukan baru. Namun Salamiah tiada masalah untuk mengekalkan mutu dan gaya suara yang belum terjejas kerana faktor usianya kini. Penyanyi berbadan kecil ini masih mempunyai suara yang memukau setiap kali dia muncul di atas pentas.

Jelasnya yang turut popular menerusi lagu seperti Surat Terakhir dan Semut-Semut Di Titian Usang pada era tahun 70-an dan 80-an, dia tiada petua khusus bagi menjaga mutu suaranya.

"Saya tidak ada petua khusus untuk menjaga suara sejak saya mula menyanyi sehingga kini. Cuma yang saya amalkan ialah saya tidak minum minuman yang ada ais sebelum menyanyi di atas pentas. Selain itu, saya juga tidak merokok dan tidak pernah minum arak.

"Walaupun dulu saya banyak menyanyi di kelab-kelab malam tetapi sampai sekarang saya tidak merokok atau minum minuman keras. Semua itu penting kerana sedikit sebanyak boleh mempengaruhi mutu suara. Sebab itu, sampai sekarang saya tiada masalah vokal," jelasnya.

Pemenang tempat kelima Bakat TV tahun 1971 ini bukan setakat berjaya mengekalkan suara dan permintaan mengadakan persembahan nyanyian malah bakat itu secara tidak langsung turut diwarisi oleh anak sulungnya, Atilia yang kini antara penyanyi yang semakin menyerlah dalam bidang nyanyian tempatan.

Malah dua beranak ini juga sering diundang mengadakan persembahan bersama-sama di atas satu pentas. Apatah lagi, dia dan Atilia yang cenderung dalam membawakan lagu-lagu berentak jazz memudahkan mereka berkolaborasi pada sesuatu persembahan.

"Saya dan Atilia antaranya akan mengadakan persembahan bersama pada Mini Jazz Concert di KL pada 4 Januari ini. Ini bukan kali pertama kami menyanyi bersama-sama di atas satu pentas.

"Pada bulan Syawal yang lepas kami misalnya, pernah mengadakan persembahan bersama-sama di Hotel One World di Petaling Jaya, Selangor bagi menghiburkan ibu-ibu tunggal pada suatu majlis di sana.

"Atilia antara ahli keluarga saya terbabit dalam bidang muzik selain adik saya, Hadi Hassan iaitu pemain bass yang merupakan anggota kumpulan Carefree yang popular pada tahun 80-an. Selain itu, abang tiri saya, Ahmad Sharif yang kini berusia 78 tahun juga adalah bekas pemain piano dalam Orkestra RTM," katanya lagi.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.