VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 September 2014 / 29 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 13/11/2012

Terhebat terbaik di Kuantan

Poh Paleh Weh' barangkali ungkapan tepat bagi menggambarkan kepuasan penonton yang menyaksikan Konsert Datuk Siti Nurhaliza di Bukit Gambang Resort City (BGRC), Kuantan, Jumaat lalu.

Dalam loghat Pahang, 'Poh Paleh Weh' sering digunakan untuk menggambarkan rasa hebat atau terbaik dan pastinya itu yang dirasai kira-kira 5,000 penonton yang memenuhi Balllroom Arabian di BGRC termasuk tetamu diraja, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Bagi mana-mana penyanyi sekali pun, peluang menjayakan konsert di negeri kelahiran adalah satu detik yang cukup bermakna kerana menggamit nostalgia peribadi tersendiri.

Tidak terkecuali bagi Siti Nurhaliza biarpun telah beraksi di banyak negara termasuk yang paling diingati di Royal Albert Hall, London namun perasaan istimewa itu jelas tidak dapat disembunyikan beliau hingga berulang kali menyatakan rasa gembiranya dapat memenuhi impian melakukan konsert di bumi Pahang.

Malah penyanyi nombor satu negara itu juga mengimbau kisah hidupnya di Pahang yang mana beliau dilahirkan di Kampung Awah, Temerloh sebelum berpindah ke Mentakab dan kemudian dibesarkan di Kuala Lipis sekali gus mengukuhkan ikatan yang sedia terjalin antara beliau dengan penonton malam itu.

Beliau juga turut menceritakan pengalaman saat pertama kali membuat persembahan di hadapan Sultan Ahmad Shah ketika masih di tadika serta bangku sekolah. Dan Jumaat lalu, baginda bersama ribuan penonton lain menyaksikan transformasi penyanyi kesayangan rakyat Malaysia sebagai antara penghibur hebat di rantau ini.

Selain orang Pahang, konsert solo Siti yang pertama bagi tahun ini turut menarik kehadiran peminatnya yang datang dari seluruh pelosok negara dan tidak terkecuali dari Singapura dan Indonesia.

Malam itu, Siti nyata memberikan persembahan yang memahat memori indah kepada penonton terutama kepada peminat tegarnya termasuk Sultan Ahmad Shah sendiri yang begitu sporting berulang kali memberikan tepukan gemuruh kepada beliau.

Kemunculannya di pentas malam itu dengan diiringi lagu popular Korea, Oppa Gangnam Style pantas memaku mata dan tumpuan penonton kepada isteri Datuk Seri Mohamad Khalid Jiwa yang kekal jelita dan tubuh yang semakin langsing - susuk mantap yang diperlukan untuk menjayakan konsert solo selama lebih dua jam itu.

Selepas menyanyikan lagu rancak Destinasi Cinta, Siti kemudian bijak mengimbau penonton dengan lagu popular di peringkat awal kemunculannya yang pasti kekal segar di ingatan seperti Jerat Percintaan dan Wajah Kekasih hingga ramai terbuai mengenang detik yang seiring bersama lagu berkenaan.

Sengaja memilih lagu yang membangkitkan mood santai tanpa membahagikan segmen tertentu bagi mengelakkan penonton kehilangan meomentum, kehebatan Siti di atas pentas sememangnya bukan persoalan biarpun agak lama tidak menjayakan konsert solo setelah sibuk dengan urusan bisnes.

Membuktikan dirinya penghibur versatil, Siti malam itu menunjukkan kebolehan seninya dengan melontarkan alunan beatbox , satu cabang 'vocal percussion' diiringi artis beatbox, Kojie.

Turut menjadi bualan ramai ialah mengenai celoteh dan usikannya yang cukup mencuit hati penonton sekali gus semakin memperlihatkan sisi kematangan Siti - kualiti yang perlu ada kepada seorang penghibur legenda.

Tidak terkecuali, dendangan lagu medley Alleycats antaranya Sampaikanlah Salam dan Hingga Akhir Nanti yang dibawa dengan susunan muzik lebih segar turut mengasyikkan dan menggamit memori ramai kepada kumpulan legenda itu.

Kira-kira 5,000 penonton malam itu juga bertuah apabila beliau buat pertama kalinya menyanyikan lagu berjudul Galau ciptaan komposer Indonesia di khalayak umum yang nyata membuatkan ramai menantikan untuk single itu dilancarkan.

Kemuncak malam tersebut pastinya lagu Muara Hati yang membuatkan ribuan terpaku dan terbuai dengan lagu soundtrack siri drama popular Adam dan Hawa itu.

Biar pun menyanyikannya secara solo, kenikmatan penonton pada lagu itu sedikit pun tidak berkurang malah ada yang puas kerana berpeluang mendengar sendiri lagu itu dinyanyikan sepenuhnya oleh Siti.

Menerusi konsertnya itu, Siti telah mendendangkan 22 buah lagu popularnya termasuk lagu Inggeris, Falling in Love serta lagu Nirmala yang digubah dengan melodi lebih segar.

Biar pun keadaan kesihatannya sedikit kurang memuaskan sebelum persembahan, namun Siti tidak sedikit pun menampakan situasi berkenaan yang menurutnya bagi memberikan yang terbaik untuk konsert solo yang julung-julung kalinya diadakan di negeri kelahirannya selepas terlibat dalam bidang seni sejak 1996.

Menutup persembahan malam itu, Siti sekali lagi memperlihatkan identitinya sebagai anak Pahang apabila mendendangkan lagu Dendang Pahang, Poh Paleh Weh yang juga lagu tema sempena Sukan Malaysia Ke-15 yang berlangsung di bumi Tok Gajah Julai lalu.

Terbaik, hebat atau 'poh paleh weh' memang menepati apa yang dirasakan penonton.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.