VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 14/09/2012

Tidak sabar terima menantu

POSE terbaru Noorshila Amin yang kekal anggun seperti dulu biarpun usianya kini menghampir separuh abad.

LAMA juga tidak mendengar lagu-lagu terbaru nyanyian Noorshila Amin. Mana tidaknya, kali terakhir penyanyi ini merakamkan album ialah pada tahun 2003 yang berjudul Luahan Hati. Selepas sembilan tahun, dia memang mahu muncul semula dengan sebuah album terbaru bagi meneruskan kesinambungannya dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun menurut penyanyi berusia 48 tahun ini, perancangan untuk merakamkan album itu terpaksa ditangguhkan sehingga ke tahun depan. Ini kerana katanya, dia kini sedang sibuk membuat persiapan bagi mengadakan majlis perkahwinan anak sulungnya daripada empat beradik iaitu Nurrul Admiena Norrizan, 28, yang akan diadakan pada 15 Disember ini.

"Walaupun majlis perkahwinan anak perempuan saya itu akan diadakan beberapa bulan lagi tetapi saya telah mula mengadakan persiapan dari sekarang. Sebabnya kebanyakan persiapan seperti membuat pelamin, bilik pengantin dan barangan hantaran saya buat sendiri. Saya buat sedikit demi sedikit supaya majlis perkahwinan itu nanti akan berjalan dengan lancar.

"Maklumlah mahu menyambut menantu yang pertama dalam keluarga. Saya jadi agak teruja jugalah membuat persiapan perkahwinan ini. Tahun ini saya tidak mahu memikirkan soal rakaman album. Saya akan merakamkan album baru pada tahun depan selepas selesai kenduri perkahwinan anak saya ini," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hampir sedekad tidak tampil dengan album baru bukan bermakna Shila sudah meninggalkan bidang nyanyian. Sebaliknya, penyanyi yang popular dengan lagu Rambu Ramba ini masih menerima undangan menyanyi di merata-rata tempat di seluruh negara. Namun katanya tawaran menyanyi tidaklah semeriah seperti zaman kegemilangannya pada tahun 1990-an.

Selain minat menyanyi dan mahu meneruskan kerjayanya dalam bidang seni suara, permintaan untuk merakamkan album itu datang daripada para peminatnya. Jelas bekas penyanyi Orkestra Tentera Darat (OTD) itu, ramai peminat yang bertanyakan tentang lagu dan album barunya setiap kali dia mengadakan persembahan pentas terutama sejak kebelakangan ini.

"Selama ini saya hanya menyanyikan lagu-lagu lama seperti Kad Ucapan, Bukan Sengaja Aku dan Ahai Usahlah pada persembahan-persembahan yang saya adakan. Walaupun ia adalah lagu-lagu lama tetapi para peminat masih ingat dan meminatinya. Tetapi pada masa sama, saya sedar lagu-lagu terbaru juga penting kerana saya tidak boleh bersandarkan kepada lagu-lagu lama sahaja.

"Apatah lagi, saya tengok ramai penyanyi seangkatan saya seperti Ramlah Ram dan Nassier Wahab yang masih aktif menyanyi.Mereka juga terus menghasilkan lagu-lagu dan album-album baru. Sebagai permulaan saya mungkin akan muncul dengan album single. Kalau boleh saya mahukan lagu-lagu daripada komposer seperti Yasin (bekas anggota Brothers)," pintanya.

Jelas ibu kepada Nurrul Admiena, 28, Nurrul Nadia, 26, Mohd. Daniel Durrany, 19, dan Mohd. Banni Basyishar, 17, ini sepanjang sembilan tahun tidak merakamkan album baru, dia banyak mengisi masanya dalam dunia perniagaan secara talian. Perniagaan yang berteraskan pakaian dan aksesori itu banyak memberi pulangan pendapatan dan mengisi masanya di rumah.

Dia yang telah bertudung sejak awal tahun ini banyak dibantu oleh kawan-kawan dan anak-anaknya bagi menjalankan perniagaan itu. Statusnya sebagai suri rumah sepenuh masa memberinya kelebihan untuk menguruskan perniagaan itu biarpun secara kecil-kecilan tetapi semakin mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pelanggannya sejak akhir-akhir ini.

"Antara barangan yang saya jual ialah pelbagai jenis biskut dan aksesori wanita seperti kerongsang. Saya berniaga barangan ini sudah lama tetapi menjualnya secara online sejak tahun lepas. Saya juga menjual barangan perhiasan pengantin yang dibekalkan oleh kawan-kawan saya. Anak sulung saya juga membantu kerana dia boleh mereka perhiasan dan pakaian pengantin.

"Semua aktiviti itu banyak mengisi masa saya di rumah. Pada masa sama saya jarang menolak kalau ada tawaran mengadakan persembahan pentas. Cuma tawaran menyanyi sekarang tidaklah seperti pada tahun 1980-an dan 1990-an. Kalau dulu dalam seminggu saya biasanya ada di rumah sekitar dua hari sahaja manakala selebihnya sibuk menyanyi di luar," ujarnya.

Sewaktu ditanya sama ada dia mampu kembali dengan lagu-lagu dan album yang boleh menaikkan semula namanya dalam persada seni suara tanah air, Shila menganggap itu sebagai suatu cabaran. Sambil tidak menafikan teman-teman penyanyi seangkatannya yang masih menyanyi sehingga kini menjadi inspirasi dan bukti penyanyi lama sepertinya juga masih boleh diminati ramai.

Penyanyi berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini menambah, apa yang penting adalah kekuatan melodi sesebuah lagu yang disampaikan itu harus kuat bagi menarik perhatian para pendengar. Malah anak kesembilan daripada 10 orang adik beradik ini turut tidak menafikan faktor lain seperti publisiti yang berbau kontroversi juga boleh melonjakkan nama seseorang penyanyi itu.

"Artis di Malaysia tidak macam di Barat di mana lagi tua usia mereka makin mahal bayaran yang perlu dibayar kepada mereka. Sebab itu penyanyi di Malaysia kena selalu ada album baru supaya para peminat lebih dekat dan susah melupakan mereka. Kalau ada sesuatu kontroversi maka lebih cepatlah naik nama artis itu termasuklah penyanyi lama yang lama tidak ada publisiti.

"Pada masa sama setiap lagu dan album yang dihasilkan itu mestilah kena dengan selera sesuatu zaman itu. Contohnya Ramlah Ram masih kekal diminati ramai walaupun dia penyanyi era tahun 1980-an dan 1990-an. Dia (Ramlah) saya tengok ada menyelitkan elemen muzik seperti rap dan sebagainya dalam lagu-lagu terbarunya. Barulah orang muda boleh terima," jelasnya lagi.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.