ARKIB : 15/08/2012
Artis veteran semakin sikit
SELAIN artis-artis baru seperti penyanyi, komposer, pemuzik dan pelakon, artis-artis veteran era tahun 1950-an hingga 1980-an juga masih ramai yang aktif dalam bidang seni tanah air sehinggalah ke hari ini.
Namun ramai juga artis veteran yang tidak aktif lagi dalam bidang masing-masing kerana faktor umur dan kesihatan. Malah ada juga di antara mereka yang seorang demi seorang telah pulang ke rahmatullah.
Menurut pemilik Saloma Bisto, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir, bilangan artis veteran dilihat semakin berkurangan saban tahun.
Ia katanya berdasarkan jumlah mereka yang hadir pada majlis anjurannya di situ setiap tahun.
"Ini adalah kali kelapan saya menganjurkan majlis berbuka puasa dan meraikan golongan seniman dan seniwati tempatan. Saya dapati bilangan mereka setiap tahun semakin berkurangan kerana ramai yang telah meninggal dunia.
"Tahun ini sahaja beberapa artis telah kembali ke rahmatullah seperti Datin Orkid Abdullah, Osman Kering dan Bob Kuman. Tetapi saya bersyukur kerana masih ramai artis veteran yang hadir pada majlis anjuran saya pada malam ini.
"Dianggarkan tidak kurang 500 tetamu hadir pada majlis bagi meraikan golongan tersebut. Ini adalah salah satu penghargaan saya selagi mereka masih hidup. Saya akan meneruskan majlis ini pada tahun-tahun akan datang," ujarnya.
Syed Yusof meluahkan rasa sedihnya sewaktu ditemui pada majlis berbuka puasa dan meraikan golongan seniman dan seniwati tanah air itu di restoran Saloma Bistro miliknya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelasnya, majlis penghargaan itu bukan setakat dikhususkan kepada artis-artis veteran tempatan malah setiap tahun artis-artis veteran dari Singapura turut dijemput bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-duanya.
"Tahun ini saya menyediakan sebuah bas khas bagi membawa 13 artis veteran dari Singapura. Saya juga telah menyediakan bilik di Hotel Concorde, Kuala Lumpur selama tiga malam sepanjang mereka berada di sini.
"Saya seronok apabila dapat berjumpa dan meraikan mereka ini. Ini kerana, saya membesar dengan filem-filem lakonan dan lagu-lagu nyanyian mereka . Malah ramai peminat juga masih mengingati mereka hingga kini.
"Kesempatan setahun sekali berjumpa terutama buat artis-artis Singapura adalah peluang terbaik buat saya bertanya khabar tentang mereka. Saya berharap mereka ini akan terus sihat dan dipanjangkan umur oleh Allah," ujarnya.
Berkurangnya bilangan artis pada majlis pada malam itu juga tambah Syed Yusof dapat dilihat apabila ada artis-artis veteran yang tidak mampu hadir pada saat-saat akhir kerana masalah kesihatan dan semakin uzur.
Sungguhpun begitu, beliau tetap tidak patah semangat untuk meneruskan acara pada malam itu dengan pelbagai aktiviti seperti penyerahan sumbangan duit raya dan persembahan nyanyian artis-artis veteran terbabit.
"Contohnya pada malam ini, Tan Sri Jins Shamsuddin pada mulanya mahu hadir tetapi menarik diri kerana masalah kesihatan. Ini kali pertama beliau tidak dapat hadir pada majlis yang saya anjurkan sejak lapan tahun lalu.
"Saya turut dimaklumkan pelakon Kuswadinata tidak dapat datang kerana dia kurang sihat dan sedang berehat di rumahnya. Dia juga salah seorang artis veteran yang jarang tidak hadir pada majlis anjuran saya ini.
"Selain itu pelakon Latifah Omar juga sanggup hadir walaupun terpaksa pulang awal kerana kesihatannya tidak berapa baik. Ini adalah antara cabaran saya menganjurkan majlis ini," jelasnya.
Tambah Syed Yusof, biarpun majlis seumpama itu dianjurkan setahun sekali, tetapi ia tidak bermakna hubungan silaturrahim di antara mereka berakhir begitu sahaja. Sebaliknya ia berlanjutan masa-masa.
Beliau misalnya, masih terus berhubung dan berkawan rapat dengan ramai artis veteran terbabit bukan sahaja sebagai peminat tetapi pada masa sama turut berkongsi pengalaman hidup yang telah dilalui oleh golongan itu.
"Saya masih berhubung dengan ramai artis veteran seperti pelakon Mariani. Saya selalu menghubunginya melalui telefon bagi bertanyakan khabar. Saya amat kagum bukan sahaja dengan lakonannya tetapi petuanya menjaga kesihatan.
"Pada usia 79 tahun dia masih sihat dan boleh berlakon macam biasa. Daripada hubungan yang terjalin itulah saya banyak berkongsi rahsia orang seperti beliau dalam soal menjaga kesihatan. Saya bangga kerana mengenali mereka ini," ulasnya.
Pada majlis itu antara artis veretan yang hadir ialah Datuk Aziz Satar, Datuk Yusof Haslam, Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Maria Menado, Datuk Jamil Sulong, Datin Umi Kalsum, Norlia Ghani, Ruminah Sidek, Mat Sentol dan Wahid Satey.
Tidak kisah bawa watak komedi
Bukan sebab tak laku
Marsha buang keluarga?
Berhabis setengah juta demi P. Ramlee
Cinta & dakwah Aeril Zafrel
Hidup jangan ada tekanan - Umie Aida
Stubborn kekal ‘degil’ demi muzik
Ainul Aishah sibuk berniaga
Carbon Unplugged himpun band muda
Jaguh Olahraga
Teen Top sibuk konsert
Masih perlu belajar
DJ sekarang mesti lebih bagus
Mira Filzah tumpu pelajaran
Holly mahu kahwini Pasquale
Luna Maya masih berhubungan dengan Ariel
Ning Baizura lancar lagu terbaharu Pelangi Untukmu
Tidak mahu kontroversi
Jauh daripada kegelapan
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









