VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 01/08/2012

Bukan besar kepala

ELLIE SURIATY dan Umie Aida memberikan lakonan mantap dalam filem Embun.

PENAMPILAN Ellie Suriaty Omar amat sederhana jika dibandingkan dengan pelakon wanita lain yang sentiasa melawa di mana sahaja berada.

Namun namanya sentiasa mengatasi barisan pelakon wanita lain jika berkaitan lakonan kerana dia adalah antara yang terhebat. Beri apa sahaja watak, pasti Ellie dapat melakonkannya dengan berkesan.

Sampai sekarang peminat drama masih ingat dengan watak Pah Bedah, lakonannya dalam drama bersiri Orang Gaji 41, tidak kering gusi penonton dibuatnya.

Bagaimanapun dia berubah menjadi wanita berhati batu dalam drama Syurgamu Ramadhan menerusi watak Datuk Paduka Halimaton dan pada ketika lain, kesengsaraan Ellie yang sering dianiaya oleh suami menerusi drama Kaki pula mendapat simpati penonton.

Kali ini Ellie tampil meruntun hati penonton menerusi watak Suffiah, seorang ibu yang tidak dihargai oleh anaknya dalam drama yang hangat di saluran TV3, 7 Ramadan.

Lakonan Ellie yang pernah diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 untuk filem Soalnya Siapa? itu pasti membuat penonton menitiskan air mata.

Namun jelasnya, hampir setahun dia tidak terlibat dalam mana-mana penggambaran drama mahupun filem gara-gara sibuk dengan 'anak sulungnya', Penanggal.

Masakan tidak, filem Penanggal merupakan buah tangan sulungnya dalam berkarya di layar lebar.

"Saya tidak besar kepala atau sengaja menolak tawaran. Penolakan itu ada sebabnya," katanya yang bergelar pengarah bagi filem tersebut.

Tambah Ellie: "Saya tidak suka menyusahkan orang lain. Walaupun sudah selesai (penggambaran) di lokasi tapi kerja-kerja saya untuk filem Penanggal belum habis sepenuhnya.

"Andai kata saya terima tawaran kerana rindu nak berlakon, sudah pasti kerja-kerja pemerosesan filem itu tergendala.

"Untuk kerja-kerja offline saya perlu berada di sebelah penyunting. Sekarang ini kerja-kerja yang perlu dilakukan mengikut jadual, sudah saya lepasi," katanya.

Justeru isteri kepada pelakon Azri Iskandar itu berkata, dia bersetuju berlakon dalam 7 Ramadan kerana bukan sahaja kerja-kerja pemprosesan filemnya sudah selesai. Lebih penting dia mengagumi karya Shahrulezad Mohameddin yang bermutu.

Malah kata Ellie, jika pengarah dan penulis skrip tersebut menawarnya berlakon drama terbitan Radius One Sdn. Bhd., dia pasti tidak menolak.

"Saya yakin apa yang dihasilkan oleh Ezad berkualiti dan drama-dramanya banyak memberi pengajaran. Selain berlakon, saya pun rasa puas hati kalau hasil kerja yang ditonjol sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada penonton.

"Kebetulan, waktu dia menawarkan saya watak tersebut, kerja-kerja rumit untuk filem Penanggal telah selesai. Jadi dapatlah saya berlakon. Sekarang ini bila selesai penggambaran 7 Ramadan, saya akan tumpu kembali pada Penanggal," ceritanya.

Meskipun dalam 7 Ramadan, dia terus membawa watak ibu malang namun Ellie tidak kisah kerana yang penting cara pembawakan karakter tersebut.

Katanya, untuk melakonkan watak yang dapat menyentuh hati penonton bukanlah mudah. Sehingga kini, jika diberi watak sedemikian, Ellie sentiasa bersedia dan memberikan yang terbaik.

"Tanggungjawab saya adalah memuaskan hati pengarah. Kalau pengarah tidak dapat terima lakonan saya, macam mana pula dengan penonton.

"Sebelum orang lain tengok dan menilai, sebagai pelakon saya perlu mengenal pasti watak itu terlebih dahulu dan apabila berlakon nampak natural," katanya.

Penanggal bagai anak

SEPANJANG menjalani proses penggambaran filem pertama arahannya, pelbagai dugaan yang dialami oleh Ellie Suriaty. Biarpun begitu, dia tetap tabah bagi memastikan Penanggal selesai seperti yang dijadualkan.

Pengalaman pertama mengarah filem, membuatkan Ellie begitu berhati-hati dan cerewet dalam semua segi. Semua itu dilakukan demi mendapat hasil yang berkualiti.

"Memandangkan ini arahan pertama, macam bayi pertama, sudah pasti saya mahukan yang terbaik. Bagi saya apa yang berlaku adalah sebahagian daripada dugaan.

"Lagipun pihak Tayangan Unggul dan Grand Briliance Sdn. Bhd. sudah memberi kepercayaan kepada saya, jadi apa sahaja rintangan yang mendatang, kerja perlu disiapkan mengikut perancangan," katanya.

Semasa pembikinan filem bergenre romantik seram itu, Ellie juga telah mengalami keguguran ketika menjalani penggambaran di Kampung Sayong, Kuala Kangsar, Perak.

Tidak dinafikan Ellie mengalami tekanan bukan kerana bebanan kerja tapi sedih kerana anak keempat yang dikandungnya itu gugur ketika berusia empat bulan, Disember lalu.

Namun Ellie tidak mahu berduka lama. Selepas sihat dia kembali memberi tumpuan pada filem Penanggal yang membariskan pelakon seperti Ummi Nazeera yang membawa watak sebagai Murni, Azri Iskandar (Syed Yusof), Fasha Sandha (Sharifah Zaharah), Zul Ariffin (Syed Umar), Datuk Sharifah Aini (Sharifah Aminah) dan Normah Damanhuri (Mak Ajeng).

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.