ARKIB : 01/08/2012
Sumber manusia ke pengacara
Celotehnya yang bersahaja dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir membuatkan sesi temuramah berjalan dengan lancar dan mesra.
Ini ditambah lagi dengan perwatakannya yang lembut menyerlahkan lagi keanggunan serta keayuan Nurazidah Mohamed, 26, lebih-lebih lagi tatkala beraksi di hadapan lensa kamera.
"Dulu memang rasa janggal dan tidak selesa setiap kali beraksi di depan kamera. Tetapi dek tuntutan tugas kini ia jadi alah bisa tegal biasa," ujar pengacara rancangan Kampus Dunia terbitan stesen TV AlHijrah.
Berhijab dan mengenakan busana Muslimah kontemporari, Nurazidah nampak berseri-seri lebih-lebih lagi masih dalam mood bulan madu kerana baru kira-kira sebulan mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Shafez Adil, 26.
Mengimbas kembali penglibatan anak kelahiran Kuala Lumpur itu dalam dunia penyiaran, ia bukanlah semudah yang disangka lantaran sedari awal dia tidak mempunyai asas dalam bidang tersebut.
Ternyata pencapaiannya sebagai pengacara televisyen hari ini adalah hasil pengorbanan masa dan tenaga serta kesediaannya untuk sentiasa belajar.
"Saya memulakan pendidikan peringkat diploma di Institut Baitulmal dalam jurusan ekonomi. Kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sumber Manusia di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Selepas habis belajar, saya bekerja di sebuah syarikat pengedar kereta sebagai pegawai sumber manusia, selari dengan bidang yang dipelajari di universiti," katanya.
Walaupun telah bekerja dengan jawatan dan gaji tetap, cita-citanya yang satu iaitu menjadi wartawan penyiaran masih bersemarak di hati.
"Minat yang mendalam ini tersimpan sejak di bangku sekolah lagi. Ketika itu idola saya adalah penyampai berita terkenal, Azizah Ariffin.
"Namun minat tersebut terpendam begitu saja apabila tawaran sambung belajar yang saya terima lebih kepada bidang sumber manusia.
"Semuanya berubah apabila lulus temuduga kerja di TV AlHijrah. Itulah orang kata kalau dah rezeki tak ke mana," katanya tersenyum manis.
Bagi Nurazidah, untuk menjadi seorang wartawan penyiaran yang hebat paras rupa bukan ukuran sebaliknya kesediaan untuk belajar dari peringkat bawah.
Walaupun tiada asas dalam bidang kewartawanan, dia tidak menjadikannya sebagai kekurangan sebaliknya berusaha untuk belajar untuk memberikan yang terbaik setiap kali diberi peluang.
"Ketika mula menceburkan diri dalam bidang ini, saya ditugaskan sebagai wartawan penyiaran untuk program Assalamualaikum. Pada musim kedua baru diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai pengacara rancangan program Kampus Dunia.
"Dalam tempoh tersebut sebelum bergelar pengacara , saya banyak terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir. Tugas ini memerlukan saya menulis skrip, belajar mengendalikan sesi pengacaraan, mengenali sudut kamera untuk sesuatu rancangan dan sebagainya," katanya.
Jelasnya, apabila sudah mempunyai ilmu tentang mengendalikan sesuatu program, tugas sebagai pengacara juga semakin mudah.
"Ilmu yang diperolehi dari pelbagai aspek banyak membantu saya mengendalikan pengacaraan dengan mudah selain sentiasa mendapat kerjasama dengan rakan-rakan sekerja.
"Proses untuk memahami dan berkongsi maklumat dengan mereka juga menjadi mudah kerana pengalaman dalam bidang sumber manusia sebelum ini banyak membantu," katanya.
Menurut Nurazidah, konsep pengacaraan yang dilakukan dalam program yang dikendalikannya memerlukan dia bercakap secara santai dan tidak terlalu formal.
"Saya masih dalam proses belajar dan sentiasa berusaha meningkatkan mutu pengacaraan dari semasa ke semasa.
"Untuk mengasah lagi kemahiran, saya banyak melakukan kajian dan menonton video-video dari pengacara yang diminati supaya ilmu pengacaraan dapat ditambah dan digilap lagi.
"Program Kampus Dunia berkisar tentang aktiviti yang dilakukan oleh pelajar universiti sama ada di dalam kampus ataupun dengan komuniti setempat,' katanya.
Ujar Nurazidah lagi, sedikit pembaharuan dilakukan untuk musim ketiga kerana ia melibatkan pengembaraan pelajar di luar negara.
"Antara negara yang terlibat dalam program ini adalah Indonesia, China dan Kemboja. Ia bertujuan berkongsi pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh pelajar di sana.
"Komunikasi menggunakan Skype dengan pelajar Malaysia di luar negara juga dilakukan bertujuan berkongsi maklumat selain memastikan hubungan yang sentiasa berterusan dengan mereka," katanya.
Dia mengakui mengendalikan program berbentuk ilmiah ini sedikit sebanyak terselit rasa bangga melihat kepada pelbagai kemajuan yang dilakukan oleh pelajar universiti sekarang.
"Mereka lebih berdikari kerana pandai merancang aktiviti yang dilakukan sama ada melibatkan aktiviti kampus mahupun memerlukan mereka berhubung dengan komuniti.
"Ini suatu perkembangan baik kerana mereka tidak hanya tertumpu menimba ilmu di dalam bilik kuliah sahaja, sebaliknya seimbang antara aktiviti rohani dan jasmani," jelasnya.
Tambahnya lagi, dalam situasi tertentu dia sangat teruja dan menimba pengalaman baru ketika mengacara aktiviti yang dilakukan pelajar.
"Apabila penggambaran berkisar tentang sesuatu aktiviti badan beruniform seperti kadet bomba saya berpeluang merasai sendiri aktiviti yang dilakukan.
"Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila saya perlu membuat stand upper dalam keadaan tergantung dengan ketinggian 200 meter dari paras tanah," katanya.
Tambahnya, sebagai pengacara dia perlu mengorbankan perasaan takut ketika itu sebaliknya fokus kepada kerja yang perlu dilakukan oleh mereka.
"Sebagai pengacara, saya cuba memberikan kerjasama apabila produser meminta melakukan sesuatu tugas yang mencabar supaya hasil kerja yang dilakukan memberi kepuasan kepada semua pihak," katanya.
Selena Gomez cari perhatian
Fizo putus cinta
Geran RM4.4 juta
Tidak mahu orang menyampah
Resah dan gembira seorang ayah
Khaty bantu ibu tunggal
Godaan muzik
Apabila warga emas menyanyi
Pasaran penyanyi warga emas
Rapat kerana rahsia
Giliran Liberty Ross curang
Kak Pah merindu!
Terkilan lagu Hijau diperguna
Ayu Raudhah sedia kembali
Tidak kisah bawa watak komedi
Bukan sebab tak laku
Marsha buang keluarga?
Berhabis setengah juta demi P. Ramlee
Cinta & dakwah Aeril Zafrel
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









