ARKIB : 31/07/2012
Zaman Mimpi Laila sudah berlalu
TRANSISI muzik yang dibawa oleh penyanyi dan komposer yang satu ini boleh dikatakan cukup hebat.
Perjuangan muziknya juga pernah dipersoalkan satu ketika dahulu sewaktu dia nekad meninggalkan muzik nasyid yang diperjuangkan bersama bekas kumpulannya, Brothers.
Lalu, Yasin Sulaiman membawa evolusi baru dalam iklim industri muzik tempatan apabila tampil dengan muzik sejagat (world music) yang pernah mencetuskan fenomena.
Namun entah di mana silapnya, apabila merudumnya permintaan terhadap world music begitu juga dengan populariti Yasin sehingga ada yang beranggapan dia sudah bersara dari dunia seni.
“Saya masih di sini. Tidak pernah hilang mahupun bersara. Muzik sudah sebati dalam jiwa. Mana mungkin saya tinggalkan begitu sahaja," ungkap Yasin dengan maksud mendalam sewaktu ditemui di RESB Studio, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mungkin kenyataan populariti bukan lagi satu agenda buat seseorang artis yang pernah merasai nikmat kegemilangan di puncak kejayaan kedengaran agak klise.
Tetapi untuk komposer ini, perjalanan seninya yang sudah pun mencecah 15 tahun sebenarnya banyak mengajarnya tentang erti kehidupan. Malah ia juga mematangkan dirinya sebagai seorang anak seni dan individu.
Bahkan, Yasin mengakui glamor bukanlah sesuatu yang dicarinya hari ini tetapi mutu kerja yang mahu dikenang orang dalam jangka masa panjang.
Percaya atau tidak, tanpa selindung dia memberitahu jika dia mendengar kembali lagu-lagu popularnya terdahulu, Yasin akan berasa geli dan tidak percaya bahawa dia menghasilkan karya sedemikian.
“Benar, lagu-lagu seperti Mimpi Laila dan Salsabila telah melonjakkan nama serta populariti saya sehinggakan world music cukup sinonim dengan saya sehingga dianggap sebagai perintis kepada genre itu.
“Bukan mahu menidakkan populariti lagu-lagu itu tetapi ia bukan sesuatu yang dilakukan dari hati. Saya rasa seperti orang yang tidak matang apabila mencipta lagu-lagu terdahulu.
“Tetapi semua itu sudah berlalu dan saya harus bergerak ke hadapan dan menghasilkan muzik baharu. Saya juga sedar bahawa itu semua adalah proses pembelajaran.
“Jika bukan kerana itu, mana mungkin untuk saya kekal di sini dan berusaha memperbaiki diri dalam menghasilkan muzik berkualiti," kata Yasin yang namanya terus memuncak sewaktu muncul dengan lagu Mimpi Laila sekitar tahun 2001.
Kematangan bapa kepada sepasang cahaya mata ini berbicara sudah cukup melambangkan kejituan jiwanya dalam memperjuangkan muziknya.
Sesekali dia berseloroh dan berjenaka dalam butir bicaranya baik dari segi kerjaya sehinggalah ke kehidupan peribadi.
Walau secara lahiriah ada yang berasakan popularitinya tidak lagi sehangat kemunculannya lebih sedekad lalu, namun rezekinya tetap melimpah.
“Skop tugasan saya tidak lagi tertumpu kepada penghasilan lagu semata-mata tetapi juga sibuk dengan kerja-kerja belakang tabir seperti mencipta lagu iklan," ujarnya lagi.
Mungkin ada yang beranggapan Yasin sudah hilang sentuhan magis untuk lagu-lagu yang dihasilkan ekoran genre world music yang semakin kurang mendapat tempat dalam pasaran hari ini.
Tetapi ternyata Yasin tetap menjadi buruan penyanyi yang masih lagi mempercayai magis air tangannya.
Antara lagu terbaru yang sudah disiapkannya termasuklah Lena Sahara yang dinyanyikan oleh penyanyi wanita popular, Alyah selain sibuk dengan rakaman album terbaru Amy Search.
“Saya kini selesa untuk menggelarkan muzik saya sebagai global music yang tidak terikat dengan mana-mana genre. Jika terlalu jumud dalam penghasilan muzik, sudah pasti kreativiti agak terbatas.
“Jadi dengan adanya genre global music ini ia secara tidak langsung mampu mencabar kreativiti saya dalam bermain dengan rentak lagu yang disuntik dengan elemen baru.
“Sebagai contoh, kebanyakan lagu yang saya cipta hari ini lebih menggunakan elemen orchestral bagi mengindahkan lagi setiap lagu itu. Ia juga salah satu daripada percubaan saya untuk memberikan kelainan dalam setiap lagu ciptaan saya," kata komposer lagu Wassini nyanyian Waheeda ini lagi.
Beraya di Mekah
Selain sibuk dengan dunia muziknya, Yasin juga terus melebarkan sayap seninya dengan menceburi bidang lakonan dan pengacaraan.
Sebetulnya, ia bukanlah bidang baru untuknya tetapi sebelum ini dia hanya sekadar mahu mencuba nasib.
Cuma sekarang dia mahu kembali aktif dan melakukan semuanya sebelum usianya mencecah 40 tahun.
Terbaru, Yasin akan muncul dalam sebuah program bual bicara, Cahaya Lirik yang akan disiarkan di Astro Oasis tidak lama lagi.
Selain itu, dia juga bakal membintangi sebuah drama bersiri, Wasiat Rindu untuk siaran RTM yang menyaksikannya berlakon di samping aktres muda popular, Nur Fathia.
Dek kerana itu, Yasin memberitahu buat pertama kalinya dia akan menyambut Aidilfitri di Mekah apabila penggambaran di sana bermula dari 15 hingga 25 Ogos ini.
“Ini juga kali pertama saya berpisah dengan keluarga dan tidak dapat saya bayangkan kerinduan yang bakal dihadapi apabila berada di sana nanti," katanya.
Resah dan gembira seorang ayah
Khaty bantu ibu tunggal
Godaan muzik
Apabila warga emas menyanyi
Pasaran penyanyi warga emas
Rapat kerana rahsia
Giliran Liberty Ross curang
Kak Pah merindu!
Terkilan lagu Hijau diperguna
Ayu Raudhah sedia kembali
Tidak kisah bawa watak komedi
Bukan sebab tak laku
Marsha buang keluarga?
Berhabis setengah juta demi P. Ramlee
Cinta & dakwah Aeril Zafrel
Hidup jangan ada tekanan - Umie Aida
Stubborn kekal ‘degil’ demi muzik
Ainul Aishah sibuk berniaga
Carbon Unplugged himpun band muda
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









