VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 Julai 2014 / 27 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 31/07/2012

Kemelut Industri Muzik

HAKIKAT nilai pasaran industri muzik Malaysia ketika ini tidaklah begitu memberansangkan. Hari ini bukan sahaja tidak banyak album penuh dizahirkan malah syarikat rakaman gergasi juga sudah hilang taring.

Jika dahulu, masing-masing berlumba mengikat kontrak dengan artis popular dan mencari bakat yang mempunyai pakej bergelar bintang, hari ini syarikat rakaman itu kebanyakannya sudah berkubur.

Keadaan ini menjadikan industri muzik tempatan lesu mengakibatkan nilai pasaran muzik Malaysia jatuh merudum dalam tempoh tidak sampai dua dekad.

Bayangkan, jika 15 tahun lalu, nilai pasaran muzik negara mencapai jumlah kira-kira RM300 juta setahun, kini nilainya hanya mampu mencatat kurang RM100 juta. Tahun lepas, hanya sekitar RM90 juta berjaya dikutip.

Pelbagai faktor menjadi penyumbang masalah ini dan antara yang terbesar tentu sekali kerana pasaran album yang saban tahun semakin mengecil selain masalah cetak rompak yang pernah berleluasa suatu ketika dahulu.

Selain itu format pembelian juga semakin berubah. Jika dahulu album fizikal menjadi rebutan, dewasa ini fenomena nada dering/muat turun menjadi pilihan.

Setiausaha Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim turut mengakui situasi industri muzik masa kini tidaklah serancak dua dekad lalu namun tegasnya, ia masih aktif terutama penerbitan lagu-lagu single.

“Kalau tanya orang radio, mereka menerima berpuluh lagu baru. Biasanya antara 20 ke 30 buah lagu. Kerana itu kita lihat putaran lagu (di radio) cukup sengit.

“Ini menunjukkan jumlah penerbitan lagu single cukup tinggi dan membuktikan industri muzik masih aktif. Cuma bezanya, ia bukan lagi dalam bentuk penerbitan album," jelasnya.

Malah kata Rosmin, syarikat rakaman sendiri lebih menumpukan perhatian kepada penjualan nada dering berbanding album fizikal.

Tahun lepas, lagu Menyesal dendangan kumpulan Sixth Sense menerima jumlah jualan paling tinggi dengan 600,000 muat turun sedangkan penjualan album tertinggi hanyalah 15,000 unit, itupun bagi album raya.

15,000 unit bagi penjualan sebuah album adalah satu angka yang sangat mendukacitakan sedangkan suatu masa dahulu, album fizikal di negara ini mampu terjual sehingga ratusan ribu unit.

Justeru melihat kepada suasana pasaran yang bukan sahaja lesu tetapi juga tidak menentu seperti yang berlaku hari ini, apakah kewujudan majlis berprestij, Anugerah Industri Muzik (AIM) masih relevan untuk diteruskan?

Rosmin yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM ke-19 optimis dengan jawapannya: “Ya! AIM perlu diteruskan kerana tujuan ia dianjurkan adalah untuk mengiktiraf hasil kerja penggiat seni.

“Dan ia akan tetap relevan dalam apa jua situasi industri yang melanda muzik tanah air selagi adanya rakaman (lagu) yang dilakukan."

Menurut Rosmin, mungkin ramai tidak menyedari industri rakaman bercambah setiap tahun biarpun jumlah penerbitan album semakin berkurangan.

Malah sehingga kini katanya, terdapat lebih 200 ahli yang bernaung di bawah RIM dan mereka ini kebanyakannya adalah pengkarya bebas yang membuat rakaman sendiri dan tidak lagi bergantung kepda syarikat rakaman besar semata-mata.

“Sekarang ini mereka lebih kepada konsep do it yourself, hadir dengan syarikat atau orang persendirian. Ia tidak lagi didominasi oleh syarikat rakaman berbanding dahulu," ujarnya.

Refleksi industri

Kerana sifatnya untuk mengiktiraf hasil-hasil karya terbaik tempatan, kata Rosmin, AIM juga akan sentiasa menjadi platform yang dinamik untuk mempertandingkan karya masing-masing, bergantung kepada apa yang berlaku di dalam industri.

Malah katanya, majlis penganugerahan paling berprestij di Malaysia itu adalah refleks kepada industri kerana ia mencerminkan keadaan semasa.

Oleh kerana itu, katanya, penganjuran AIM tidak akan terhenti pada satu-satu masa sebaliknya akan terus diadakan saban tahun bagi memberi pengiktirafan kepada karya dan pengkarya.

“Sebab itu adakalanya kita perlu ubah format dan konsep bergantung kepada situasi yang berlaku biarpun ada yang mempertikaikan," katanya.

Tidak hairanlah sejak dua tahun lepas, AIM telah mengubah konsep dengan mempertandingkan lagu berbanding mempertaruhkan album kecuali mengekalkan kategori Album Terbaik berikutan penerbitan lagu single yang bak cendawan tumbuh, kata Rosmin.

“Dahulu kita mempertaruhkan kategori-kategori seperti Album Pop Terbaik, Album Nasyid Terbaik dan sebagainya. Namun melihat kepada realiti, tidak cukup album untuk dicalonkan.

“Maka kita tukar konsep dan kini kita mempertaruhkan kategori-kategori seperti Lagu Pop Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik dan sebagainya.

“Dahulu kita juga ada kategori dangdut. Tapi sekarang ia dimansuhkan kerana sudah tiada album sebegini diterbitkan. Mana tahu di masa hadapan, kita pertaruhkan pula lagu dance. Ini semua bergantung kepada situasi industri kita," katanya.

Penguatkuasaan tegas

Perkara yang sama berlaku di Barat seperti di Amerika Syarikat apabila majlis muzik berprestij, Anugerah Grammy juga berlangsung mengikut keadaan muzik semasa.

Cuma bezanya, kata Rosmin, pasaran di sana masih mampu berdiri teguh berikutan penguatkuasaan yang tegas sedangkan di Malaysia, fenomena muat turun lagu tanpa had menyebabkan kita semakin hilang pasaran terutama daripada kalangan generasi muda.

Malah dia percaya, sekiranya kesedaran dan penguatkuasaan harta intelek dijalankan secara menyeluruh di negara ini, pasaran album boleh meningkat semula.

“Di Korea misalnya, kesedaran terhadap harta intelek sangat tinggi. Rakyatnya mencari lagu/album mengikut undang-undang. Mereka membeli di tempat yang sepatutnya.

“Di Malaysia, penguatkuasaan dan kesedaran mengenai harta intelek masih kurang. Sekarang cetak rompak dalam bentuk digital berleluasa. Ini perlukan tindakan segera.

“Adalah menjadi harapan kami untuk cuba mendapatkan penguatkuasaan terhadap muat turun lagu secara haram bagi membantu membangunkan pasaran dan nilai pendapatan industri," tegasnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.