ARKIB : 29/07/2012
FAZLEY masyhur kerana masakan
PEPATAH Melayu ada mengatakan sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitulah dengan kehidupan Datuk Fazley Yaakob,34, setelah menjuarai MasterChef Selebriti Malaysia terbitan Astro baru-baru ini.
Siapa sangka, penyanyi yang suatu ketika dulu pernah menarik ribuan para peminatnya dengan lagu Asmara Ini, kini mampu menarik kelompok yang berlainan kerana air tangannya.
Kalau dulu, ke mana sahaja dia pergi para peminat kebanyakan remaja akan meminta autograf atau bertanya khabar tentang album terbarunya.
Tetapi kini kelompok peminatnya yang baru membuatkan Fazley kadangkala terkedu kerana tidak menyangka betapa dia diminati kerana kebolehannya dalam memasak.
“Kini ke mana sahaja saya pergi kalau terjumpa peminat yang kebanyakannya dari keturunan Cina, India dan Melayu mereka akan bertanyakan resipi daripada saya untuk mencuba.
“Kadang-kadang saya macam tak percaya kebanyakan yang bertanya itu lelaki sebab mereka ingin memasak dengan penuh kasih sayang untuk isteri tercinta.
“Minggu lalu ketika saya ke sebuah pasar raya saya bertemu dengan tiga lelaki yang mahu menambat hati isteri dengan air tangan mereka dan saya bagaikan terkesima apabila mereka melahirkan keyakinan resipi saya mampu membuatkan kasih sayang mereka segar sentiasa," cerita Fazley, sambil tersenyum apabila mengingatkan para peminat barunya itu.
Menurut Fazley, lelaki Cina berkenaan bertanya resipi bagaimana untuk memasak tempoyak, seorang lelaki berketurunan India pula bertanya rahsia untuk membuat sambal belacan yang sedap sementara lelaki Melayu mahu tahu cara-cara memasak daging salai lemak cili padi.
“Pada mulanya saya ingatkan mereka sekadar bergurau tetapi menyedari mereka benar-benar ikhlas saya memberikan resipi itu secara spontan. Saya harap masakan mereka menjadi dan disukai oleh isteri masing-masing," ujar Fazley, ayah kepada Ahmad Fariedz Shah, 3 tahun 7 bulan, Ahmad Fieradz Shah, 2 tahun 3 bulan dan Ahmad Fierudz Shah, 11 bulan.
Bagi Fazley, walaupun ada peminatnya yang melahirkan rasa terkilan kerana dia sekadar mendapat trofi tidak seperti pertandingan lain yang menawarkan hadiah beratus ribu ringgit kerana kreativiti mereka, tetapi itu bukanlah persoalannya.
“Apa yang penting saya dapat memberi sumbangan ikhlas sebanyak RM50,750 kepada Yayasan Jantung Malaysia bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Saya memilih persatuan ini kerana ia menyimpan kenangan silam yang memilukan ketika saya masih kecil apabila ibu dan bapak bawa balik jenazah nenek ke Kedah setelah meninggal diserang sakit jantung," cerita Fazley dengan tenang ketika menyingkap nostalgia yang memilukan.
Chef Suprise
Menurut Fazley, walaupun MasterChef telah berlalu tetapi kadangkala apabila mengenangkan bagaimana dia boleh menyertainya memang melucukan.
“Sebenarnya apabila saya ditawarkan untuk menyertai pertandingan itu, saya menawarkan diri untuk menjadi pakar motivasi. Tetapi sesuatu yang mengejutkan apabila pihak Astro beritahu mereka mengundang saya untuk menjadi peserta.
“Walaupun terkejut tetapi saya terima. Bukanlah saya ni pandai memasak tetapi saya yakin tidak kekok di dapur kerana sejak berusia empat tahun saya sering mengganggu dan membantu ibu memasak di dapur.
“Bukan itu sahaja, setelah kahwin dengan Adik (panggilan mesra untuk isterinya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz,33 tahun) dia juga seorang isteri yang rajin ke dapur dan pandai memasak.
“Pelbagai resipi tradisional yang dimasak dan saya pula memang boleh memasak masakan Perancis dan Itali.
“Saya mengumpul ilmu dan rahsia memasak daripada tiga generasi wanita yang berbeza iaitu nenek, ibu dan isteri," dedah Fazley sambil ketawa.
Fazley yang juga pakar motivasi itu berkata jika dulu ke mana pergi dia akan membawa buku khas mengenai motivasi tetapi kini menambah satu lagi keperluan ketika keluar rumah.
“Saya akan membawa Chef Tools Kit saya ke mana sahaja saya pergi, apalagi kini saya sedang menjalani rakaman masakan sebanyak 13 episod untuk siaran Astro Prima," jelas Fazley.
Chef Surprise yang akan bersiaran selepas raya ini akan menampilkan Fazley sebagai chef dengan dibantu seorang artis jemputan akan diberi tugas memasak dua atau tiga menu untuk golongan tertentu.
“Sesuatu yang mencabar tetapi menyeronokkan!," komen Fazley mengenai rancangan tersebut.
Bakeri dan sudut motivasi
Menyentuh mengenai perancangan masa depan, selain meneruskan kerjayanya sebagai Pakar Motivasi, Fazley dan isterinya, Azreen akan membuka Yummy Licious Bakery di Damansara akhir tahun ini.
Suatu kelainan bakeri milik mereka nanti, ia bukan sahaja menjual pelbagai jenis biskut, kek dan masakan tradisional yang merupakan kepakaran isterinya, bakeri itu juga ada French Cafe yang merupakan kepakaran Fazley.
Bukan itu sahaja, malah bakeri tersebut akan menempatkan satu sudut untuk para pelanggannya iaitu sudut demontrasi memasak dan motivasi.
“Di sudut ini nanti saya akan mengadakan demonstrasi memasak sambil memberi motivasi kepada pelanggan.
“Selain saya, sekali dalam sebulan ibu juga akan mengadakan demonstrasi masakan untuk pelanggan," cerita Fazley mengenai perancangannya.
Terbit buku masakan
Selain membuka bakeri, Fazley kini sedang menyiapkan bukunya yang mengandungi 365 resipi motivasi.yang akan dinamakan Motivasi Di Dapur dan Resipi.
Buku resipi itu akan diterbit dan diedarkan oleh syarikat miliknya Fazley International Production (FIP).
Sebelum ini Fazley telah menghasilkan empat buah buku iaitu Cerita Paji (motivasi remaja), # Cinta Motivasi, # Harian dan # Suami Isteri.
Selain menerbitkan buku, FIP juga bertanggungjawab menerbitkan album, mencari bakat baru dan mengendalikan acara.
“Insya-Allah jika semuanya mengikut perancangan, album kelima saya Lima yang diterbitkan oleh Azlan Abu Hassan, Imran Ajmain dan saya sendiri akan diedarkan tidak lama lagi oleh Life Record..
“Dalam album tersebut saya akan menyanyikan sebuah lagu Jaga-Jaga dengan penampilan istimewa Ultimate.
“Beberapa bulan kemudian album keenam, Enam juga akan dipasarkan. Saya harap kerjaya saya sebagai pakar motivasi dan seni akan seiiring demi masa depan kami sekeluarga," kata Fazley penuh harapan.
Diboikot media?
Debaran konsert
Mizz Nina cemerlang!
Akademi Fantasia kembali
Nasib Afiq Muiz masih samar
Luah cinta dalam lirik
Setia bersama
'Belum rezeki kami'
Selena Gomez cari perhatian
Fizo putus cinta
Geran RM4.4 juta
Tidak mahu orang menyampah
Resah dan gembira seorang ayah
Khaty bantu ibu tunggal
Godaan muzik
Apabila warga emas menyanyi
Pasaran penyanyi warga emas
Rapat kerana rahsia
Giliran Liberty Ross curang
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









