VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 September 2014 / 29 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 29/07/2012

Antara permata dan hati

SETIAP kali 1 Ramadan menjelang tiba, pasti senyuman terukir di wajah sementara fikirannya melayang ke zaman kanak-kanak. Bagaikan layar perak, satu demi satu episod kemeriahan zaman kanak-kanak penyanyi tersohor di Asia Tenggara itu terselak dan mengundang senyuman paling lebar.

Ingatan paling kuat di minda biduanita ini tatkala ditugaskan menjual kuih-muih buatan bonda tercinta, Siti Salmah Bachik. Tanggungjawab tersebut dijalankan penuh dedikasi dan tak pernah mengeluh sekali pun.

"Siti memang tak boleh lupakan kemeriahan Ramadan masa zaman kanak-kanak Siti. Semua cukup indah sebab pada zaman itu, mana kita fikir tentang apa-apa. Kalau kawan-kawan sebaya Siti sibuk bermain, tapi Siti suka tolong emak jual kuih.

"Selalunya emak buat persiapan kuih-muih pada sebelah pagi. Macam-macam emak masak macam kuih bakar, karipap inti sardin, popiah, cucur badak dan kuih bakar. Jadi bila balik sekolah, Siti siap sedia nak jualan.

"Kalau nak tahu, Sitilah tukang angkat meja lipat empat segi untuk jual kuih dari tingkat tiga di Berek Polis Kampung Awah (Temerloh, Pahang) terus ke tepi jalan besar.

"Penat memang penat bila kena berulang-alik, angkat bekas kuih, nak-nak bila cuaca panas. Tapi Siti puas bila ramai orang tak putus-putus datang membeli kuih mak Siti," cerita Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 33, ini penuh bersemangat.

Dalam pada itu, penyanyi Jerat Percintaan ini juga bukan saja menjual kuih di tepi jalan malah dia pernah merasai pengalaman bersama salah seorang bapa saudaranya di bazar Ramadan yang menjual putu piring di bandar Temerloh.

"Sebenarnya, Siti memang seronok bila meniaga. Siti belajar berdikari dan menghargai setiap sen yang Siti perolehi hasil titik peluh Siti. Siti bangga bila duit jualan yang diperolehi itu jadi sumber pendapatan sampingan sekeluarga.

"Kami sekeluarga sama-sama menjana pendapatan. Bukan Siti seorang yang main peranan, adik beradik yang lain pun ada peranan juga. Macam abang Ayie (Saiful Bahri), dia jual tau foo fah, Kak Saida (Siti Norsaida) pula bahagian kemas dapur sebab dia pemalu. Begitu juga dengan Siti Nursairah (Sairah) dan Mohd. Ali pun ada tugasan tersendiri.

"Bahagian paling menarik bila tiba hujung bulan. Emak bagi upah duit hasil jualan kuih sepanjang puasa. Memang seronok masa bila dapat duit," kata Siti yang meniaga kuih selama 10 tahun sejak berusia empat tahun.

Sengaja mengusik penyanyi yang lahir pada 11 Januari 1979 ini sama ada dia ingin kembali menjual kuih-muih seperti mana zaman kanak-kanak dahulu? Kedengaran gelak kecil sebelum disusuli dengan jawapan ringkas: "Tak kot..."

Pun begitu, Juara Bintang HMI anjuran RTM pada tahun 1995 ini tetap menjadi peminat nombor satu kuih-muih selepas mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa.

Biarpun masih belum ada kesempatan untuk menyediakan kuih sendiri, namun kehidupan Siti cukup bertuah pada hari ini apabila ibu mentua, Siti Zainab Hanaffi menyediakan kuih-muih dan juadah istimewa sepanjang Ramadan ini.

"Masakan mak mentua Siti sedap-sedap belaka. Siti paling suka pisang goreng Mak Nab, cukup rangup dan sedap. Makan banyak kali pun tak jemu-jemu.

"Siti ada cadangkan pada DK (panggilan suami) untuk buka meja di depan rumah untuk jual kuih-muih Mak Nab. Boleh juga jual pada jiran-jiran kan," seloroh Siti yang juga mempunyai seorang tukang masak yang pandai masak kuih-muih di rumahnya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Membuka lembaran cerita Ramadan yang baru seminggu berlalu, penyanyi yang menerima lebih 100 anugerah tempatan dan antarabangsa itu cukup teruja sekali. Katanya, Siti cukup teruja apabila suaminya gemar berkongsi minat dan aktiviti sepanjang Ramadan.

"Siti jenis yang bangun sahur dan nasib baik DK pun sama. Jadi Siti sediakan makanan, masak nasi goreng ke, panaskan lauk-pauk sebelum solat Subuh berjemaah sama-sama.

"Sehingga hari ini, kami tak pernah terlepas berbuka puasa bersama-sama setiap hari. Kami juga jenis tak cerewet bab makan. Apa saja yang menyelerakan, kami tadah tangan syukur," katanya lagi.

Mengajukan persoalan tentang pilihan makanannya sebelum berbuka puasa, ringkasnya: "Semuanya bergantung pada keadaan. Ada kalanya Siti minum air, makan kurma barulah buah atau kuih-muih. Dan selalunya setiap hari bertukar-tukar".

Permata pilihankuDALAM pada itu, Ramadan juga memberi satu cerita buat Presiden Simplysiti sebuah jenama kosmetik dan penjagaan kulit bertaraf antarabangsa apabila bergerak laju dalam industri kecantikan. Terbaru, SimplySiti dalam rangka memperkenalkan wangian edisi musim perayaan iaitu Koleksi Bejeweled.

Ditanya apa keistimewaan koleksi berkenaan? Siti menjawab Bejeweled diilhamkan dari permata dan terdiri daripada unsur permata berlian, delima dan mutiara yang memberi manfaat kepada kulit yang menjadikan kulit bertambah cerah, berseri dan sekata.

"Koleksi Bejeweled didatangkan khas dalam dua koleksi iaitu Koleksi Bejeweled Ruby dan Koleksi Bejeweled Sapphire untuk solekan glamor dan bergaya di pagi Syawal nanti.

"Koleksi Bejeweled terdiri daripada Powder Foundation, kombinasi bedak dan bedak asas untuk litupan wajah sempurna yang menjadikan kulit wajah cerah berseri. Selain itu, ada Duo Blusher, pembayang kontur pipi dua fungsi, pemerah pipi dan pembayang bagi membentuk muka lebih langsing," katanya yang sibuk rangka promosi bertemu peminat bermula minggu depan.

Hati di MekahKESEMPATAN berbual dengan pemenang Anugerah Planet Muzik 2011 untuk kategori Artis Serantau Paling Popular Selama Sedekad itu turut menyentuh tentang persiapan menjelang Syawal. Begitu juga persoalan sama ada Siti akan menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah seperti mana kebiasaan dilakukan pada setiap tahun.

"Terus terang Siti belum buat sebarang persiapan Syawal. Baju raya Siti dan DK pun Siti fikirkan kemudian sebab Siti hanya akan buat padanan warna pada saat-saat akhir. Fokus Siti pada persiapan baju anak-anak saja.

"Kalau tanya, Siti raya mana tahun ini pun masih kabur lagi. Siti kena duduk berbincang dengan DK macam mana. Sebab selalunya Siti cuti seminggu beraya, jadi kena rancang betul-betul.

"Begitu juga dengan rancangan nak pergi umrah. Hati ini memang teruja nak jadi tetamu Allah sekali lagi. Insya-Allah, kalau jadi Siti akan ke sana, tapi tak tahu minggu bila dan berapa lama," katanya penuh hemah menutup perbualan petang Khamis lalu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.