ARKIB : 24/07/2012
Rushdi, Zizan galas watak besar
RUSHDI Ramli dan Zizan Nin memang dibariskan sebagai antara pelakon handalan di negara ini. Telah banyak watak mencabar dilakonkan oleh mereka baik di layar kaca, perak mahupun pentas teater. Namun, Tanda Putera merupakan filem paling mencabar mereka setakat ini.
Mana tidaknya, Rushdi digalas dengan tanggungjawab besar bagi menghidupkan watak bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dalam filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu. Manakala Zizan pula melakonkan watak Allahyarham Tun Dr. Ismail.
Menurut Rushdi, dia tidak menafikan jiwanya sangat tertekan sewaktu menerima tawaran melakonkan watak tokoh tersebut. Watak Tun Abdul Razak cukup berat untuk dilakonkannya. Ia katanya bukan setakat lakonan semata-mata tetapi bagaimana untuk menghayati watak itu dengan sebaik-baiknya.
"Watak Tun Abdul Razak yang saya lakonkan itu sangat berat untuk dilakonkan kerana Allahyarham adalah bekas Perdana Menteri yang kedua. Apatah lagi, Allahyarham juga adalah bapa kepada Perdana Menteri kita sekarang ini, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak," ujarnya serius.
Rushdi meluahkan getaran di sebalik lakonannya itu selepas pratonton Tanda Putera di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Kata anak kepada pelakon veteran Norlia Ghani ini, dia banyak melakukan penyelidikan sebelum berlakon dalam filem itu.
Dia antaranya banyak mengkaji apa juga yang berkaitan Tun Abdul Razak daripada rakaman video yang diperoleh dari Filem Negara Malaysia. Antaranya bagaimana gaya pemimpin ulung itu berjalan, berucap dan lengguk badannya. Semua itu katanya untuk menghayati lagi lakonannya.
"Secara peribadi saya tidak tahu banyak tentang Tun Abdul Razak kerana saya tidak pernah bertemu dengannya. Saya lakonkan watak itu pun mengikut pemerhatian saya daripada sumber-sumber tersebut. Saya telah mencuba melakonkan watak itu dengan sedekat yang boleh," katanya.
Tanda Putera yang menelan kos produksi dan promosi mencecah RM4.8 juta itu merupakan sebuah filem cereka yang sarat dengan elemen sejarah. Justeru, banyak barangan berkaitan Tun Abdul Razak sewaktu hayatnya digunakan sebagai prop sewaktu pembikinannya.
Ia termasuklah penggambarannya yang turut dijalankan di Memorial Tun Razak di Kuala Lumpur. Sebagai pelakon yang melakonkan watak Tun Abdul Razak, Rushdi tentunya mendapat peluang melihat, malah menggunakan barangan peribadi milik tokoh itu sewaktu berlakon di situ.
Berlakon dengan menggunakan barangan peribadi milik Tun Abdul Razak sahaja belum mencukupi. Sebaliknya, Rushdi terpaksa juga mengeluarkan segala kudrat penghayatannya terutamanya sewaktu berada di atas katil milik Allahyarham di memorial tersebut.
"Semasa berlakon di memorial itu Shumi (Shuhaimi Baba) cakap suruh saya masuk ke rumah itu dan bayangkan seperti Tun Abdul Razak dan bukannya Rushdi Ramli. Dia perlukan saya ada penghayatan seperti itu agar ia seperti saya benar-benar berada di rumah sendiri.
"Maknanya, kalau saya tutup mata pun saya tahu keadaan dalam rumah itu kerana ia adalah rumah saya. Begitulah antara petua yang diberikan oleh Shumi untuk saya menghayati watak tersebut. Dan itulah juga kelebihan bekerja dengan pengarah seperti Shumi," ungkapnya terus terang.
Filem yang keseluruhannya menggunakan hampir 250 pelakon termasuklah tenaga kerja di sebalik tabir itu diterbitkan hasil kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Pesona Pictures Sdn. Bhd. dan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDEC).
Diboikot media?
Debaran konsert
Mizz Nina cemerlang!
Akademi Fantasia kembali
Nasib Afiq Muiz masih samar
Luah cinta dalam lirik
Setia bersama
'Belum rezeki kami'
Selena Gomez cari perhatian
Fizo putus cinta
Geran RM4.4 juta
Tidak mahu orang menyampah
Resah dan gembira seorang ayah
Khaty bantu ibu tunggal
Godaan muzik
Apabila warga emas menyanyi
Pasaran penyanyi warga emas
Rapat kerana rahsia
Giliran Liberty Ross curang
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









