VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
DALAM NEGERI

ARKIB : 18/10/2013

Kerjasama pertanian, pendidikan

Muhyiddin Yassin bertukar-tukar dokumen dengan Prof, Pham Vu Luan selepas menandatangani MoU berkaitan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi di Rumah Tetamu Kerajaan di Hanoi, semalam. - BERNAMA

HANOI 17 Okt. - Malaysia dan Vietnam hari ini bersetuju meneroka kerjasama bidang pertanian yang turut merangkumi penanaman padi, bekalan beras dan teknologi berkaitan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu memorandum persefahaman (MoU) khas berkaitan hal itu akan dimeterai oleh kedua-dua pihak selepas ini.

"Mereka mahukan satu MoU khas berkaitan padi dan beras tetapi saya fikir sebaiknya dibuat satu memorandum dalam bidang pertanian yang di bawahnya merangkumi soal padi, bekalan beras dan teknologi berkaitan.

"Beliau bersetuju dan saya akan maklumkan kepada Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) untuk mengambil tindakan hal ini," katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Thien Nhan di sini hari ini.

Sempena kunjungan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menandatangani MoU bidang pendidikan tinggi dengan Vietnam diwakili oleh Menteri Pendidikan dan Latihannya, Profesor Pham Vu Luan.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Azmil Zabidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Vietnam mempunyai banyak kemajuan dalam bidang ternakan, perikanan, agrokultur serta tanaman padi dan telah menghasilkan penyelidikan dalam bidang tersebut.

"Mereka sudah maju sehingga ke tahap mampu menyara diri dari segi makanan hasil kajian dan penyelidikan mereka. Kita juga mempunyai universiti berkaitan pertanian dan kita boleh berkongsi pengalaman tersebut," kata beliau.

Mengenai MoU pendidikan tinggi itu, Muhyiddin berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan pertukaran staf akademik, pakar dan para pelajar di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kita berharap selepas ini lebih banyak pelajar Vietnam datang (ke Malaysia). Kita mahu tambah jumlah ini sehingga 5,000 pelajar Vietnam," katanya.

Pada masa ini, jumlah pelajar Vietnam di Malaysia sebanyak 2,800 orang dengan tahun lalu sahaja kira-kira 500 orang telah memohon visa untuk melanjutkan pengajian mereka.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kedua-dua negara juga akan mengadakan pertukaran maklumat mengenai sistem dan struktur pendidikan tinggi serta perubahan dan perkembangan teknologi berkaitan pendidikan.

Malaysia dan Vietnam juga akan mengadakan program bersama bidang-bidang teknikal, vokasional dan pendidikan tinggi di samping pertukaran bahan penulisan, alat pendidikan dan bahan-bahan yang digunakan dalam pendidikan

Selain itu, kata Muhyiddin, mobiliti pelajar seperti pemindahan kredit serta lain-lain bentuk kerjasama dalam bidang-bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pendidikan teknikal juga termasuk di dalam persefahaman tersebut.

Timbalan Perdana Menteri berada di sini sempena lawatan kerja dua harinya dan esok beliau akan mengadakan perjumpaan dengan kapten industri kedua-dua negara.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.