VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
DALAM NEGERI

ARKIB : 19/03/2013

Cemerlang STPM meningkat

KUALA LUMPUR 18 Mac - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang dikeluarkan hari ini menunjukkan peningkatan membanggakan untuk kebanyakan negeri, bahkan ada antara sekolah yang mencatatkan pencapaian kelulusan 100 peratus.

Terengganu terus melakar kejayaan membanggakan dalam STPM yang diumumkan apabila daripada keseluruhan 2,980 calon, sebanyak 2,861 orang lulus penuh sekurang- kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil.

Ini sekali gus menunjukkan peratusan lulus di negeri ini (96.01 peratus) mengatasi 1.57 peratusan kebangsaan iaitu 94.44 peratus serta peratusan tahun sebelumnya iaitu 95.34 peratus.

Terengganu turut mencipta rekod tersendiri apabila dua daripada 15 calonnya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 4.00 membanggakan negeri dengan muncul antara yang terbaik di peringkat negara.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin berkata, daripada 2,861 orang calon mendapat lulus penuh, sebanyak 261 orang (8.76 peratus) lulus penuh lima mata pelajaran, 1,235 orang (41.44 peratus) lulus penuh empat mata pelajaran dan diikuti 698 orang (23.42%) lulus penuh tiga mata pelajaran,'' katanya.

Di SARAWAK, keputusan STPM mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 27 pelajar atau 0.48 peratus calon berjaya mencapai PNGK maksimum 4.00 berbanding 20 orang atau 0.35 peratus pada tahun 2011.

Pengarah Pelajaran negeri, Abdillah Adam berkata, bilangan calon yang memperoleh PNGK 3.00 ke atas turut meningkat iaitu 981 orang atau 17.31 peratus berbanding hanya 948 orang atau 16.59 peratus tahun sebelumnya.

Pada keseluruhannya, kata beliau, bilangan calon yang layak mendapat sijil STPM meningkat daripada 5,210 orang atau 90.96 peratus pada 2011 kepada 5,216 orang atau 92.82 peratus.

Di JOHOR, sebanyak 5,127 daripada 5,311 calon STPM 2012 lulus penuh atau sekurang-kurangnya mendapat satu prinsipal bagi mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, jumlah peratusan calon STPM yang lulus meningkat sedikit apabila mencatatkan 96.54 berbanding 96.12 peratus pada 2011.

Beliau berkata, sebanyak 34 sekolah memperoleh keputusan 100 peratus lulus penuh, berbanding 30 sekolah pada 2011 manakala 16 lagi mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh, rekod yang sama seperti tahun 2011.

"Purata nilai gred keseluruhan bagi negeri ini pada 2012 adalah 2.47 mata. Pencapaian ini telah meningkat sebanyak 0.02 atau 0.82 peratus mata berbanding PNGK 2011 iaitu pada mata 2.45," katanya.

Di PAHANG, keputusan keseluruhan STPM 2012 berjaya mengatasi pencapaian peringkat nasional yang diumumkan apabila mencatat kelulusan penuh sebanyak 96.51 peratus berbanding 94.44 peratus di peringkat nasional.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Rosdi Ismail berkata, sebanyak 2,435 calon daripada 2,523 yang menduduki peperiksaan mendapat kelulusan penuh dengan sekurang- kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh.

"Peratus kelulusan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.69 peratus berbanding pencapaian sebanyak 93.82 peratus pada tahun lalu," katanya.

Di PULAU PINANG, calon STPM 2012 turut berjaya mengatasi keputusan di peringkat nasional selama tiga tahun berturut-turut.

Pengarah Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, peratus kelulusan STPM 2012 kali ini ialah 96.15 peratus manakala peringkat nasional 94.44 peratus.

"Seorang pelajar, Aw Yeong Zhi Sheng Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling yang mendapat keputusan 5A dengan PNGK 4.00 telah dianugerahkan Pelajar Terbaik STPM peringkat kebangsaan manakala M. Navan Neeta Nair yang cacat pendengaran dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman, Nibong Tebal menjadi pelajar orang kurang upaya (OKU) terbaik," ujarnya.

Di KEDAH pula, sebanyak 11 buah sekolah termasuk lima buah sekolah di luar bandar di negeri ini berjaya mencapai kelulusan penuh 100 peratus dalam peperiksaan STPM 2012 ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mansor Lat berkata, sekolah luar bandar tersebut ialah SMK Padang Serai, SMK Hosba Jitra, SMK Aman Jaya Sungai Petani, SMK Sungai Limau Yan dan SMK Agama Sik.

Menurutnya, sekolah di bandar yang mencapai kelulusan 100 peratus pula ialah SMK Ibrahim, Sungai Petani, SMJK Sin Min Sungai Petani, SMK Sultan Badlishah, Kulim, SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar, SMK Agama Kedah dan SMJK Keat Hwa Alor Setar.

"Bagaimanapun, bagi peratus calon yang mendapat lulus penuh sedikit menurun iaitu sebanyak 93.79 peratus pada 2012 berbanding 94.29 peratus pada 2011," katanya.

Di MELAKA, sebanyak 14 orang daripada 1,239 calon STPM 2012 di negeri ini memperoleh keputusan PNGK 4.00.

Daripada jumlah tersebut, 1,198 calon atau 96.69 peratus daripadanya lulus penuh iaitu meningkat sebanyak 1.17 peratus berbanding 1,151 (95.52 peratus) pada tahun 2011.

Pengarah Pelajaran negeri, Kasim Mohamad berkata, daripada jumlah tersebut, 644 orang (51.98 peratus) berjaya memperoleh empat prinsipal.

"Peratusan calon cemerlang yang memperoleh PNGK 4.00 dan calon yang memperoleh PNGK 3.00 ke atas juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Di PERLIS, pencapaian STPM 2012 meningkat 6.13 peratus iaitu mencatat 94.91 peratus berbanding 2011 yang hanya 88.78 peratus.

Pengarah Pelajaran negeri, Dun Kasa berkata, lebih membanggakan, keputusan tersebut berjaya mengatasi pencapaian peringkat negara iaitu 94.44 peratus.

''Sebanyak 597 calon (94.91 peratus) telah lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal (lulus penuh) daripada jumlah keseluruhan 656 calon STPM tahun lalu," katanya.

Di SELANGOR, jumlah pelajar yang mendapat gred A, B dan C dalam mata pelajaran yang diduduki meningkat sebanyak 4,324 orang atau 94.85 peratus berbanding 4,061 orang pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pelajaran negeri, Mahmud Karim berkata, bilangan calon lulus penuh yang menduduki lima dan empat mata pelajaran juga telah meningkat kepada 93 dan 2,213 orang pada 2012 berbanding 54 dan 2,041 calon pada 2011.

Bagaimanapun kata beliau, PNGK bagi tahun lalu adalah 2.35 iaitu meningkat 0.05 mata berbanding 2011.

Di SABAH, keputusan mencapai peningkatan sebanyak 0.65 peratus bagi jumlah lulus penuh iaitu 5,376 orang atau 89.41 peratus untuk STPM 2012.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Jame Alip berkata, pencapaian memberangsangkan itu berjaya diperoleh ekoran program kecemerlangan yang dibuat oleh sekolah-sekolah, sekali gus membaiki pencapaian tahun lalu sekitar 88.76 peratus atau 5,699 orang bagi keputusan lulus penuh.

''Sebanyak 106 pelajar memperoleh keputusan lima prinsipal (5P) pada tahun ini, diikuti kelulusan 4P (2,122 orang), diikuti 3P (1,280 orang), 2P (1,021 orang) dan lulus dengan sekurang-kurangnya 1P (847 orang)," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.