ARKIB : 02/08/2012
Suami, isteri hamil tujuh bulan maut
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Ketika umat Islam lain menghitung hari untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, seorang kanak-kanak berusia dua tahun menjadi yatim piatu apabila ibu bapanya maut dalam nahas ngeri yang berlaku di ibu negara pagi ini.
Kemalangan yang berlaku di Jalan 15/56, menghala ke Taman Setiawangsa itu mengakibatkan sepasang suami isteri, Koperal Hafeeze Mohd. Hanafi, 30, dan Siti Noor Edayu Roslan, 26, meninggal dunia di tempat kejadian.
Kedua-dua mereka yang menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda dilanggar sebuah bas sekolah yang sarat dengan 50 murid setelah kenderaan itu dipercayai mengalami masalah brek ketika menuruni laluan berbukit.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, pasangan suami isteri terbabit dilanggar sehingga tersepit di belakang sebuah lagi bas sekolah yang ketika itu berhenti untuk keluar dari persimpangan lampu isyarat ke Taman Setiawangsa.
Apa yang menyedihkan, Noor Edayu yang merupakan pembantu tadbir di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang hamil tujuh bulan dan ketika kejadian, pasangan itu dipercayai baru menghantar anak lelaki tunggal mereka, Mohammad Harif, 2.
Hafeeze yang bertugas di Kementerian Pertahanan Jalan Semarak dikatakan tersepit sehingga mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Sementara itu, menurut seorang saksi, Aizat Azwan Azman, 25, sebanyak tujuh kenderaan termasuk dua motosikal terlibat dalam kemalangan itu, gara-gara sebuah bas sekolah yang mempunyai masalah brek ketika menuruni laluan berbukit.
Menurutnya, ketika kejadian dia memandu Perodua Kancil berada di laluan bertentangan bersama sebuah lagi motosikal, manakala enam lagi kenderaan termasuk motosikal yang dinaiki Hafeeze dan Noor Edayu berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.
Pasangan malang itu difahamkan berhenti di belakang sebuah bas sekolah dan tiba-tiba, sebuah lagi bas sekolah yang sarat dengan pelajar merempuh mereka setelah melanggar Kancil dipandunya dan motosikal di laluan bertentangan.
"Saya lihat bas itu turun dengan laju seperti hilang kawalan dan ia melanggar kereta saya dan sebuah lagi motosikal sebelum masuk ke kawasan lampu isyarat seterusnya menghentam belakang bas yang sedang berhenti.
"Di belakang bas yang berhenti itu, pasangan yang menaiki motosikal terbabit tersepit di antara kedua-dua bas. Kedua-dua mereka mengalami kecederaan parah di kepala," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian.
Menurut Aizat Azwan, Noor Edayu masih bernyawa sejurus selepas kemalangan itu malah dia dikatakan sempat menjerit dengan kuat apabila melihat suaminya tersepit dan tidak bergerak di bawah tayar hadapan bas. Noor Edayu bagaimanapun meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
Seorang wanita yang membonceng sebuah motosikal juga difahamkan cedera parah akibat patah paha dan kini masih dirawat di hospital yang sama.
Kejadian malang itu mungkin bertambah buruk jika melibatkan lebih 80 pelajar sekolah yang berada dalam kedua-dua bas berkenaan. Kesemua pelajar selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan akibat terhantuk.
Dalam pada itu, bapa Noor Edayu, Sarjan Roslan Jalil, 53, seorang pegawai penyiasat trafik di sini berkata, kali terakhir dia bertemu anak kedua dari lapan beradik itu adalah ketika berbuka puasa kelmarin.
"Tidak sangka itu adalah juadah terakhir kami makan bersama-sama namun saya anggap ini semua ketentuan daripada Allah dan selepas ini kami sekeluarga akan menjaga Mohammad Harif," katanya yang memberitahu anaknya sempat memberi sedikit duit raya untuk dibuat kenduri pada hari raya nanti.
Dalam pada itu, rakan setugas Hafeeze, Normalizzah Seet Abdullah pula teringat tentang gurauan arwah yang berkata dia tidak sempat berhari raya pada tahun ini.
"Arwah merupakan seorang yang peramah dan disenangi semua rakan," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.
Sementara itu, jenazah Hafeeze akan dikebumikan di kampung halamannya di Tumpat, Kelantan manakala Noor Edayu pula dikebumikan di Kampung Paya Rumput, Melaka.
Kedah tubuh makmal transformasi ke arah negeri maju
Skuad Pengguna kakitangan awam pantau harga barang
3 negeri diwarta kawasan larangan pembakaran terbuka
Mahkamah Koroner ditubuh tangani kes kematian tahanan
Tiada pertempuran denggan pengganas Kiram - Esscom
Tidak perlu layan pembangkang
Bajet 2014 dibentang 25 Oktober - PM
KDN bantu kekang fahaman Syiah
Titah Sultan Mizan perlu dijadikan panduan
Isu tudung boleh gugat perpaduan rakyat
Haram halang pakai tudung
Malaysia fokus pembangunan kandungan
Wujudkan dasar dakwah kebangsaan
'Kenaikan 30% adalah mustahil'
'Sultan Sulu' tiada hak terhadap Sabah - Musa Aman
Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri rasmi kampus baharu MSU
MyCC diarah siasat PMBOA di bawah Akta Persaingan
Penyalahgunaan ICT dipantau
Keluarga mangsa hargai operasi mencari
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










