VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
DALAM NEGERI

ARKIB : 17/06/2012

Tolak budaya materialisme lahirkan masyarakat kosong rohani

Sultan Azlan Shah berkenan melihat model Kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris selepas merasmikan kampus tersebut di Proton City Tanjung Malim, semalam. Turut berangkat, Tuanku Bainun (tiga dari kanan) Tuanku Zara Salim (dua dari kanan) dan Dr. Zambry Abd. Kadir (dua dari kiri). - BERNAMA

TANJUNG MALIM 16 Jun - Program pembangunan yang hanya bermatlamat mencapai kuantitatif berteraskan materialisme hanya akan melahirkan masyarakat yang kosong pengisian rohaninya.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, kekosongan akibat pengaruh negatif yang dibawa oleh nilai materialisme itu secara langsung akan mewujudkan banyak keruntuhan aspek moral dan budaya dalam kehidupan manusia.

Akibat daripada pengaruh negatif itu, titah baginda, masyarakat kini dilihat bukan sahaja jauh daripada akar jati diri, malah turut jauh pertimbangan moral dan agama.

''Apabila material diletakkan sebagai matlamat hidup, maka manusia tidak lagi mementingkan nilai-nilai murni kemanusiaan lalu berlaku pelbagai kepincangan dalam masyarakat dan negara.

''Malah dunia kini menyaksikan perlakuan jenayah kolar putih, rasuah, pecah amanah, salah laku dan salah guna kuasa yang dilakukan golongan berpelajaran dan berkelulusan profesional," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Bandar Baru Proton City sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-84 di sini hari ini.

Hadir sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Kampus Sultan Azlan Shah yang dibina atas tanah seluas 323.7 hektar dengan kos sebanyak RN450 juta mampu menempatkan tambahan 9,000 pelajar menjadi 14,000 secara keseluruhan berbanding hanya 5,000 di kampus sedia ada.

Dalam pada itu, baginda bertitah, sebagai sebuah universiti pendidikan yang diamanahkan untuk melatih tenaga pendidik, UPSI perlu memberi tumpuan seimbang dalam membina kekuatan akhlak, rohani dan sahsiah graduannya selaras dengan falsafah pendidikan negara.

Justeru, titah baginda, bagi mencapai hasrat tersebut, semangat patriotik, kebangsaan dan kenegaraan hendaklah sentiasa ditiup dan disemai dalam kalangan graduan UPSI.

''UPSI telah berjaya melalui fasa-fasa kemajuan daripada sebuah kolej latihan guru hingga dinaikkan ke taraf universiti pendidikan.

''Sepanjang tempoh itu, UPSI telah mencorakkan perubahan pemikiran orang Melayu menerusi pendidikan, bahasa, kesusasteraan dan politik," titah baginda.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.