VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 14/02/2013

Anak jadi taruhan

kESUSAHAN yang dialami Saian Rojakon bukan merupakan batu penghalang untuk menyekat anak-anak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

JARANG kita bisa bertemu dengan sepasang ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai sehingga 10 orang. Apatah lagi pada zaman moden hari ini, kehidupan memerlukan biaya yang besar dan memiliki jumlah anak yang ramai, memang amat mencabar. Maka, apa kala diberitahu bahawa insan yang bakal penulis temui kali ini memiliki 10 orang anak, penulis ingin sekali mengetahui bagaimanakah dia mampu bertahan dengan titipan amanah yang ramai itu?

Saian Rojakon, 55, dan Nuriah Noyo, 46, inilah sepasang suami isteri yang penulis maksudkan. Sewaktu penulis menjejaki rumahnya di Kampung Bukit Kerayung, Kuala Selangor, hanya Saian dan beberapa orang anaknya sahaja berada di rumah. Isterinya keluar menjadi pembantu kantin di sekolah berdekatan dan sebahagian anaknya tidak ada di rumah.

Apabila mengetahui tiga orang anaknya kini belajar di menara gading, berbunga hati penulis mendengarnya. Apa lagi apabila mendapat tahu Saian sendiri tidak mampu membaca, namun itu tidak menjadi batas penghadang kejayaan anak-anaknya.

"Anak sulung saya, Nuripah Ain kini belajar di Universiti Utara Malaysia dalam bidang perakaunan. Anak kedua dan ketiga saya, Mohd. Syamili dan Mohd. Roshlan, sekarang belajar di Politeknik Jitra, ambil bidang elektrik," ujarnya bangga.

Mengimbas kembali sejarah silam, Saian menyatakan bahawa hidupnya penuh dengan kegetiran. Tanpa berbekalkan segulung sijil dan kemahiran, dia hanya dilayan sebagai pekerja bawahan tanpa perlu diberikan sebarang keutamaan.

"Cuba ustaz bayangkan, saya dulu menjadi pekerja membuat besi cerucuk dan dibayar gaji RM10 sehari. Setahun kenaikannya hanyalah 20 sen dan selama 16 tahun saya bekerja di tempat itu, gaji saya sebelum saya berhenti hanyalah RM20 sehari," beriya-iya Saian berkongsi kedukaan. walaupun kisah itu berlaku di era 1980-an ia masih kuat melekat di ingatan.

Setelah merasa tidak betah menerima layanan serendah itu, Saian memilih untuk berhenti dan kembali ke kampung halamannya di Bukit Kerayung. Di sini, dia lebih senang mencari rezeki di kebun sawit, memotong rumput dan memotong buah-buah sawit .

"Saya dibayar RM500 sebulan untuk kerja-kerja di kebun sawit. Untuk menambahkan pendapatan, saya juga menjaga kebun sawit milik Persatuan Peladang Kawasan, iaitu seluas kira-kira enam hektar dan dapatlah bayaran tambahan," katanya.

Kira-kira tahun 2008, itulah saat permulaan Saian menerima bantuan zakat daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Semuanya bermula saat anak sulungnya mendapat keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan dia mahu anaknya terus sambung belajar. Saian tidak akan melupakan jasa penghulu di mukimnya yang telah membawa dirinya ke pejabat zakat di Kuala Selangor.

"Sejak dari itulah, saya menerima bantuan zakat sehinggalah sekarang. Sekiranya ditanya, apakah perbezaan di antara dahulu dan sekarang, sudah pasti teramat banyak perbezaannya. Jika dulu, dengan pendapatan yang kecil maka bayangkanlah bagaimana saya membesarkan anak-anak. Bil elektrik dan air sering tertunggak. Malah, saya sering meminjam daripada kawan-kawan.

"Paling menekan perasaan, apabila bulan Ramadan dan raya pula menjelang serta tibanya musim persekolahan. Saya akan bekerja lebih kuat dan cuba menyiapkan keperluan anak-anak lebih awal. Pendek kata, lintang-pukang juga dibuatnya, malah saya pernah menangis mengenangkan kesusahan yang melanda."

Kini, kehidupan Saian dan keluarganya sudah banyak berubah. Semuanya berkat kesungguhannya mengambil pelbagai peluang yang disediakan oleh pihak LZS.

"Alhamdulillah, LZS banyak membantu kami. Rumah saya sahaja sebagai contoh, telah dibantu oleh pihak LZS pembinaannya pada 2010, maka dapatlah saya merasa sebuah rumah yang selesa. Malah, LZS juga menghantar saya mengikuti pelbagai siri kursus keusahawanan. Tidak lama dahulu, LZS beri saya 10 ekor kambing untuk saya pelihara, alhamdulillah kini kambing saya sudah ada lebih daripada 30 ekor.

"Malah, LZS juga bantu saya dengan wang bulanan sebanyak RM500, bantuan pendidikan dan bantuan untuk pengajian tinggi anak-anak saya. Semuanya amat bererti bagi saya."

lPENULIS ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.