VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 01/02/2013

Memahami tugas amil

APAKAH peranan dan tanggungjawab seorang amil dalam pengurusan zakat?

Jawapan

Terima kasih kerana mengajukan pertanyaan. Perkara pertama yang mesti umat Islam ketahui, amil juga adalah satu daripada lapan asnaf zakat dan asnaf amil termasuk ke dalam empat asnaf zakat yang utama (muqaddam). Di dalam surah at-Taubah ayat 60, dinyatakan oleh Allah SWT: "Sesungguhnya sedekah-sedekah itu (zakat) adalah untuk fakir, miskin dan amil yang menguruskannya dan mualaf yang dibujuk hatinya."

Walau bagaimanapun, amil adalah asnaf yang istimewa dan keistimewaan diberikan Islam, lantaran di bahu mereka terletaknya amanah menguruskan zakat. Ada beberapa perkara mengenai amil yang perlu kita fahami, iaitu:

Lantikan amirul mukminin

Amil adalah individu yang dilantik oleh pihak pemerintah Islam untuk menguruskan hal ehwal zakat, sama ada aspek kutipan, penyimpanan dan pengagihan. Di dalam surah at-Taubah, ayat 103, Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW mengutip zakat dan baginda pun terus melantik para sahabatnya untuk menjalankan perintah Allah SWT berkenaan.

Ia menunjukkan, amil dilantik dan dipantau oleh pemerintah Islam, demi memastikan pelbagai aspek seperti kecekapan kutipan dan agihan, mengawal ketirisan, mengawal risiko pecah amanah dan sebagainya dapat dilakukan.

Bahkan dengan melantik amil secara tetap, pihak pemerintah mampu mengawal semua amil serta memastikan aduan umum dapat ditangani dengan baik dan berkesan.

Amil hendaklah Muslim yang faqih (berilmu dan faham)

Hal ini sesuai dengan kaedah pelantikan amil zaman Rasulullah SAW, di mana Nabi SAW amat menitikberatkan amil-amil mestilah Muslim yang faqih kerana zakat bukanlah perkara mainan; melainkan ia adalah kefarduan yang berat di sisi Islam. Umar bin al-Khattab ra dan Abu Hurairah ra adalah antara contoh amil zaman Nabi yang terkenal kerana kefaqihannya.

Dalam contoh lain yang sangat popular, semasa Nabi Muhammad SAW melantik dan mengutuskan Saiyidina Muadz bin Jabal ra ke Yaman sebagai gabenor sekali gus merangkap amil zakat, maka baginda telah terlebih dahulu menguji kefaqihan Muadz dan terbukti, Muadz memang mampu memikul amanah itu kerana beliau berjaya menjawab beberapa persoalan yang nabi kemukakan.

Amil mesti amanah dengan harta

Pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, dikhabarkan perihal salah seorang amilnya yang di samping pulang membawa harta zakat; turut pulang membawa bersama hadiah daripada pihak pembayar zakat. Apabila Nabi Muhammad SAW mengetahui akan perkara ini, maka Nabi SAW telah memberikan teguran dengan sabdanya:

Demi Allah yang jiwaku berada dalam kuasa-Nya, tidak seorang jua pun di antara kalian yang menggelapkan (harta) zakat yang ditugaskan kepadanya memungutnya, melainkan pada hari kiamat kelak dia akan memikul unta yang digelapkannya itu melenguh-lenguh di tengkuknya, atau sapi yang menguak-nguak, atau kambing yang mengembek-ngembek. (riwayat Muslim daripada Abu Humaid as-Sa'idi)

Tujuan larangan kepada amil untuk menerima hadiah ketika mengutip zakat, adalah demi mengelakkan daripada sebarang elemen rasuah atau pujukan yang berkesudahan, sama ada pihak amil akan melonggarkan taksiran atau kiraan terhadap harta zakat atau keduanya, boleh mempengaruhi keputusan dalam proses mengagihkan zakat. Atas dasar tersebut, maka ditegah amil menerima hadiah daripada pembayar zakat jika mereka keluar menjalankan operasi mengutip zakat.

Saiyidina Umar al-Khattab ra dipercayai melihat bahawa isu hadiah ini amat berpotensi merosakkan amil zakat, maka pada waktu pemerintahannya Umar telah menginstitusikan seluruh amil dan memberikan imbuhan secara tetap kepada mereka. Maknanya, tidak akan ada isu lagi dalam kalangan amil yang mendapat habuan yang lebih dan ada amil yang mendapat kurang habuan (yakni 1/8 daripada kutipan zakat) kerana semuanya sudah diinstitusikan.

Amil bertanggungjawab kepada harta zakat

Amil juga mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas keselamatan harta-harta zakat yang telah berjaya dikumpulkan oleh mereka. Seandainya berlaku kehilangan, kecurian, ketirisan dan sebagainya, sehingga mengakibatkan pihak mustahik (asnaf) yang lain tidak mendapat manfaat zakat, maka mereka dikira telah melakukan dosa dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Pernah berlaku, pada zaman Nabi SAW ada orang yang bimbang dia dikira masih berhutang dengan Allah SWT sekiranya harta zakat yang diserahkan kepada amil telah diselewengkan. Nabi Muhammad SAW pun menyatakan: "Apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku (amil), maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan engkau sudah mendapatkan pahala-Nya, sedang dosanya ditanggung (oleh) orang yang menyelewengkannya (yakni para amil yang menguruskannya." (riwayat Ahmad daripada Anas bin Malik r.a)

Amil mesti dilayan dengan baik

Amil hendaklah dilayani dan dipenuhi keperluan mereka dengan sempurna kerana mereka telah dititipkan amanah untuk menguruskan harta ummah yang hakikatnya merupakan harta-harta Allah SWT. Maka, amat mulia jawatan dan pekerjaan itu, namun harus diingat, bebannya juga cukup besar di sisi Allah SWT.

Pernah terjadi sebahagian umat Islam di Madinah mendatangi Nabi SAW dan mengadu kononnya amil yang dilantik dan dihantar kepada mereka telah bertindak zalim ke atas mereka. Walhal, amil itu hanyalah titipan yang melaksanakan amanah Rasulullah SAW, maka apabila amil berkenaan mengira zakat dan mengambil sebahagian harta mereka sebagai zakat, ia bukanlah suatu tindakan kezaliman.

Maka, Nabi Muhammad SAW menegaskan kepada mereka: Apabila amil zakat mendatangimu untuk mengumpulkan zakat daripadamu, maka hendaklah dia pulang kembali dengan rasa puas terhadapmu. (riwayat Muslim daripada Jarir bin Abdullah r.a)

Pihak pemerintah juga wajib memberikan imbuhan yang baik kepada amil, seperti mana Rasulullah SAW juga amat menitikberatkan keperluan orang-orang yang bekerja sesuai dengan tanggungan mereka, sehingga disebutkan Baginda SAW juga pernah memberikan imbuhan dua kali ganda kepada orang sudah bernikah berbanding orang yang masih bujang.

Apatah lagi untuk menutupi pintu-pintu fitnah terhadap harta zakat, maka amat wajar para amil diberikan kecukupan dalam kehidupannya. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan: "Sesiapa yang menjadi pegawai kami dan dia tidak mempunyai rumah, maka hendaklah dia memperoleh rumah dan kalau belum berkahwin, hendaklah kahwin (dan biayanya ditanggung oleh negara atau majikannya) dan bila tidak mempunyai kenderaan (untuk keperluan rasmi), maka hendaklah mengambil kenderaannya." (riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Wallahua'lam.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.