VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 04/01/2013

Bukti kekuasaan Allah

SETELAH Allah SWT menyebut tiga prinsip kebuktian iaitu Keesaan Allah SWT, adanya hari kebangkitan dan risalah, kemudiannya Dia membicarakan tentang keesaan-Nya dengan menyebut beberapa dalil-Nya.

Firman Allah SWT: Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? (Yasin: 71)

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT menyebutkan nikmat-nikmat yang diberikannya kepada para makhluk-Nya berupa binatang ternakan yang ditundukkan untuk mereka.

Qatadah berkata: Mereka memiliki kemampuan memaksanya. Binatang itu tunduk kepada mereka serta tidak mampu melawannya.

Al-Maraghi berkata: Tidakkah orang musyrik yang menyembah patung-patung itu menyaksikan bahawa Kami telah menciptakan binatang-binatang ternak seperti unta, lembu dan kambing yang mereka gunakan mengikut kehendak mereka. kami menjadikan binatang tersebut patuh kepada mereka, bahkan seorang hamba wanita kecil, jika dia mahu menundukkan unta atau gajah yang besar, pasti boleh dilakukannya.

Firman Allah SWT: Dan Kami jinakkan ia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. (Yasin: 72)

Ibnu Kathir berkata: Ada yang ditunggangi dalam perjalanan serta untuk membawa pelbagai barang yang berat menuju berbagai arah dan daerah. Dan jika mereka mahu, mereka boleh memotong atau menyembelihnya.

Al-Maraghi berkata: Kami tundukkan binatang-binatang ternakan tersebut untuk mereka. Antaranya ada yang mereka jadikan sebagai kenderaan untuk mengangkut bebanan berat ke tempat yang mereka kehendaki atau disembelih untuk dimakan dagingnya atau mengambil manfaat daripada lemaknya.

Firman Allah SWT: Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur? (Yasin: 73)

Ibnu Kathir berkata: Pada bulu tebal, bulu nipis dan rambutnya sebagai barang hiasan atau sebagainya daripada binatang ternakan kami mendapat manfaatnya. Susunya boleh diminum. Mengapakah mereka tidak juga mengEsakan Pencipta dan menyekutukan-Nya?

Al-Maraghi berkata: Mereka juga menerima manfaat daripada binatang ternakan seperti kulitnya untuk dibuat pakaian atau kasut, dijadikan bajak ke sawah dan susunya boleh diminum. Oleh yang demikian, mereka disuruh bersyukur kepada Allah SWT.

Kata Malikun yang memberi makna pemilik bertujuan menekankan dan menghadirkan manfaat dan nilai binatang-binatang itu dalam benak minda bicara sebelum mengingatkan mereka tentang nikmat kepemilikannya.

Daripada sudut lain, penggunaan bentuk nakirah pada kata malikun untuk menggambarkan betapa besar dan mantap kepemilikan itu. Lihatlah bagaimana bintang-bintang itu, meskipun demikian besar, namun sepenuhnya dikuasai dan ditundukkan oleh manusia.

Bandingkanlah dengan lalat yang sangat kecil; manusia tidak ada kuasa merebut kembali apa yang direbut daripadanya oleh lalat itu. Sesungguhnya anugerah binatang ternakan itu adalah nikmat yang besar dan hak pemilikan serta menguasainya pun merupakan satu anugerah yang besar.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.