VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 26/10/2012

Utusan Allah

DALAM ayat-ayat yang terdahulu, Allah SWT menerangkan perihal orang musyrik yang ditutupi hatinya oleh Allah SWT sehingga mereka tidak beriman. Dalam ayat-ayat yang berikutnya pula, Allah SWT menyebut suatu kaum yang mempunyai tingkah laku yang sama dengan mereka daripada segi kekafiran dan kemusyrikannya. Mereka yang dimaksudkan ialah penduduk Antakiyyah di negeri Syam (Syiria). Kisah mereka dengan rasul adalah sama dengan kisah kamu dengan kaummu.

Firman Allah SWT: Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi rasul-rasul (Kami) Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang rasul lalu mereka mendustakannya, kemudian Kami kuatkan (kedua rasul itu) dengan rasul yang ketiga, lalu rasul-rasul itu berkata: Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu. (Yasin: 13-14)

Syed Qutub berkata: Al-Quran tidak menyebut siapakah penduduk sebuah negeri itu dan tidak menyatakan negeri itu. Begitu banyak pendapat dan pandangan mengenainya. Apabila al-Quran tidak menyebut tentang negeri itu, maka ia merupakan satu dalil bahawa penentuan nama dan tempat negeri itu tidak menambahkan sesuatu kepada makna dan saranan cerita tersebut.

Negeri itu yang diutuskan Allah SWT kepada dua orang rasul sebagaimana Allah mengutuskan Musa dan saudaranya Harun as kepada Firaun dan konco-konconya. Kemudian penduduk negeri itu telah mendustakan kedua-duanya lalu Allah SWT menegaskan mereka adalah utusan-Nya. Kemudian ketiga-tiga rasul tampil mengemukakan dakwah mereka.

Menurut pendapat sebahagian ahli tafsir, antaranya Qatadah dan pentafsir yang lain, dimaksudkan utusan-utusan dalam ayat di atas adalah utusan Nabi Isa as yang terdiri daripada para Hawariyyin yang diutuskan untuk menemui penduduk Antakiyyah. Ini juga pendapat yang dinukilkan daripada al-Qurtubi.

Manakala pendapat Ibnu Abbas yang banyak diterima oleh ulama tafsir, bahawa utusan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah rasul-rasul Allah SWT yang diutus sebagai pembantu Nabi Isa as yang mengakui syariatnya seperti perutusan Nabi Harun as untuk membantu Nabi Musa as.

Al-Magahri berkata: Pendapat yang masyhur mengatakan kedua-dua utusan yang pertama dikenali sebagai Yuhana dan Paulus, manakala utusan ketiga dikenali sebagai Sham'un.

Firman Allah SWT: Penduduk bandar itu menjawab: Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan) kamu ini tidak lain hanyalah berdusta. (Yasin: 15)

Ibnu Kathir berkata: Kaum mereka mendustakan para nabi.

Syed Qutub berkata: Bantahan mereka kerana rasul itu manusia menampakkan kejahilan tentang tugas seorang rasul. Mereka selamanya mengharapkan rahsia pada sahsiah seorang rasul daripada mengharapkan kehidupan seorang rasul itu tersembunyi. Itulah kedangkalan kefahaman dan pandangan.

Rahsia dan teka-teki bukanlah sifat kenabian dan kerasulan. Risalah itu sistem Ilahi yang dapat dihayati manusia dan kehidupan seseorang rasul merupakan teladan yang diseru olehnya untuk dicontohi kaum masing-masing.

Oleh yang demikian, kehidupan Rasulullah SAW terdedah kepada pandangan umatnya. Al-Quran sendiri telah merakamkan semuanya agar ia dapat dilihat oleh umatnya sepanjang zaman. Tetapi hakikat yang amat jelas ini masih terus menjadi bantahan manusia.

Firman Allah SWT: Rasul-rasul berkata: Tuhan kami mengetahui bahawa sesungguhnya kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu. Dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah-Nya dengan cara yang jelas nyata. (Yasin: 16-17)

Syed Qutub berkata: Allah SWT mengetahui hakikat yang sebenar. Kewajipan rasul-rasul menyampaikan perintah Allah SWT dan selepas itu manusia bebas menentukan pilihan mereka. Para pendusta pula tidak senang dengan dakwah para rasul dan sentiasa mencari jalan untuk menidakkan segala ajaran dan perintah Allah SWT. Mereka melakukan pelbagai cara bagi menghalang dakwah para rasul dengan cara yang kasar dan pelbagai ancaman yang bertujuan menakutkan nabi dan rasul.

Al-Magahri berkata: Tugas kami hanyalah menyampaikan risalah Tuhan kami dengan jelas, sama ada kamu percaya atau tidak, itu bukan urusan kami. Setelah mereka kehabisan hujah untuk menentang rasul-rasul tersebut, mereka mula mengemukakan ancaman untuk menakutkan rasul-rasul itu.

Berdasarkan nas di atas jelas menunjukkan bahawa rasul mempunyai sifat yang unggul dan terpuji. Allah maksumkan mereka daripada sebarang kejahatan dan kesalahan serta perkara yang tercela terbit daripada mereka.

Firman Allah SWT: Penduduk bandar itu berkata pula: Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Yasin: 18)

Ada beberapa pendapat ulama berkenaan dengan ayat ini, antaranya segala kejahatan sentiasa bersamamu bukan daripada kami. Inilah pendapat al-Dahak. Qatadah pula berpendapat segala amalan kamu akan ditimpa bersamamu. Sedangkan Ibnu Abbas berkata segala rezeki dan takdir akan mengikutimu.

Syed Qutub berkata: Demikianlah orang yang menyokong kebatilan memperlihatkan sikapnya yang zalim, mengancam para pendakwah, menentang kebenaran dengan tindakan yang keterlaluan.

Al-Maghari berkata: Boleh jadi kami akan membunuh, memenjarakan atau menyeksa kamu dengan seksaan yang berat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.