ARKIB : 07/09/2012
Kasih Syawal
AIDILFITRI merupakan hari meraikan kejayaan bagi orang-orang yang telah melaksanakan ibadah puasa sebulan Ramadan. Mereka berhak bergembira menyambut Aidilfitri. Pastinya, cara umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini berbeza berbanding agama lain meraikan perayaan masing-masing.
Hakikatnya, Aidilfitri bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ia juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang taat serta ikhlas beribadat.
Dalam kita menyambut kehadiran Syawal, sayugialah umat Islam semuanya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana. Malah umat Islam dituntut agar tidak berlebih-lebihan, apatah lagi jika ada saudara seIslam kita yang menyambut hari raya dalam keadaan serba kekurangan.
Firman Allah bermaksud: Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya.
(al-Israa': 26-27)
Perkara terpenting dalam menghidupkan syiar Aidilfitri ini ialah kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan mempereratkan silaturahim sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan juga sahabat handai.
Firman Allah bermaksud: Takutilah Allah SWT yang kami memohon kepada-Nya dan hubungkanlah silaturrahim. (an-Nisa': 1)
Berkongsi keceriaan
Melihat akan situasi ini, dalam mengeratkan hubungan silaturahim, di samping berkongsi keceriaan Aidilfitri bersama golongan yang kurang berkemampuan, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. telah berkunjung ke Tok Bali, Kelantan.
Kunjungan kemanusiaan yang bertemakan 'Kasih Syawal' ini telah diketuai Presiden IAM, Zawahir Abdullah yang dibantu rakan-rakan sukarelawan di sekitar Kelantan. Turut menyertai program istimewa ini ialah Naib Presiden Eksekutif, Operasi Perniagaan, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., Wan Mohd. Fadzullah Wan Wan Abdullah serta warga kerjanya. Selain itu, ia juga disertai penyampai IKIMfm iaitu DJ Mohd Erwan Johari, DJ Norhayati Paradi dan DJ Farouq Zauji.
Pengalaman
Bagi merasai suasana sebenar Aidilfitri bersama masyarakat kampung ini, seramai 700 orang penduduk kampung di sekitar Kampung Telong, Bachok telah turut serta memeriahkan acara. Turut diraikan warga Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya (PROKA), Kampung Aur, Bachok serta Anak-Anak Yatim dari Pusat Asuhan Salmiah Kampung Telong, Bachok, Kelantan. Program ini telah mendapat kerjasama daripada Sudara Beach Resort selaku tuan rumah dalam penyediaan lokasi program.
Gotong royong
Bagi mempertahankan lagi amalan bermasyarakat, aktiviti bergotong royong telah dipraktikkan dalam penyediaan juadah untuk tetamu yang hadir. Melalui program ini, seekor lembu dan tiga ekor kambing telah ditumbangkan bagi menjamu penduduk kampung dalam merasai suasana sebenar Aidilfitri.
Aktiviti gotong-royong telah dimulai seawal pagi lagi. Tidak sampai dua jam, lembu tersebut telah dapat disembelih dan dilapah dagingnya untuk penyediaan bahan masakan. Menjejakkan kaki ke bahagian khemah memasak, pasti mengundang suasana ceria, apabila para ibu duduk berkumpul untuk menyediakan bahan-bahan memasak.
Tidak ketinggalan penyediaan juadah kemestian di hari lebaran iaitu ketupat palas dan membakar lemang. Itulah uniknya program ini, di samping aktiviti bergotong-royong, turut dikongsikan adalah petua masakan serta resipi turun temurun daripada warga emas yang menyertai program ini.
Penyediaan juadah untuk meraikan penduduk kampung ini telah melibatkan penyertaan sukarelawan Islamic Aid Malaysia seramai 30 orang dan turut dibantu oleh kakitangan Takaful Ikhlas Sdn.Bhd serta kakitangan Sudara Beach Resort dan juga penduduk kampung.
Aktiviti penyediaan juadah ini mengambil masa yang amat singkat, hasil kerjasama bersama lebih kurang dalam tempoh beberapa jam saja, pelbagai juadah dapat disiapkan untuk menjamu tetamu.
Bantuan
Keceriaan penduduk di sekitar Tok Bali, bukan sahaja diraikan dengan suasana sebenar Aidilfitri, namun mereka juga turut dibantu dengan sumbangan pek makanan yang mengandungi bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung, sardin, kuih raya dan lain-lain. Ini sekali gus meringankan beban kesusahan, lebih-lebih lagi dalam menyambut Aidilfitri.
Tidak dilupakan sumbangan duit raya kepada golongan yang kurang berkemampuan, terutamanya kanak-kanak.
Kemeriahan lebih terasa apabila melihat gelagat kanak-kanak ini yang sanggup berbaris panjang sebelum memperoleh duit raya masing-masing. Mereka juga berseronok dengan mainan bunga api.
Inilah uniknya sambutan Aidilfitri yang cuba dikongsikan oleh IAM, konsep bantu-membantu ingat-mengingati masih lagi diamalkan dalam budaya kita. Seharusnya keceriaan Aidilfitri ini seharusnya dikongsi bersama dengan insan yang kurang bernasib baik.
Walau apa pun hakikatnya kemeriahan Aidilfitri ini tiada galang gantinya bagi umat Islam yang menyambut perayaan dan kegembiraan ini sekali dalam setahun. Itulah magisnya kemeriahan yang berlaku sempena bulan Syawal dan ia telah dan akan tetap dipertahankan dari tahun ke tahun bagi membuktikan ketaatan dan ketakwaan umat Muhammad SAW dalam memelihara kesucian agama mereka.
Bentuk remaja berakhlak
Bayern Munich bina masjid
Awas mati hati
Misteri langit
Seni guaman syarie
Memacu ekonomi ummah
Membangun keluarga bahagia
Jejak Prihatin ke Thailand
Zulkarnain raja yang adil
Zakat insurans dan takaful anak
Lebur hasrat beribadat
Masjid mesra OKU
Berkat zakat mudahkan perniagaan
Peninggalan alatan perang
Natijah di sebalik perjuangan palsu
Al-Qaradawi ke Gaza
Berhati-hati keluarkan fatwa
Melahirkan modal insan berkualiti
Capai persetujuan
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









