VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 06/09/2012

Haji wanita

HAJI adalah satu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya sama ada lelaki atau wanita. Bagi wanita, haji adalah satu jihad seperti dinyatakan di dalam hadis bermaksud: "Jihad bagi warga tua, kanak-kanak, golongan yang lemah dan wanita ialah haji dan umrah." (Sunan an-Nasaa'i)

Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW yang maksudnya: "Ya Rasulullah, setahu kami jihad adalah amal yang paling afdal. Maka, apakah kami dituntut supaya pergi berjihad?" Baginda bersabda: "Tidak! Tetapi jihad yang paling afdal (bagi kalian) ialah haji yang mabrur." (Sahih al-Bukhari)

Untuk memperoleh haji mabrur, ia memerlukan kefahaman dan penghayatan tulus ikhlas dalam beribadat. Jemaah haji wanita perlu memahami hukum-hakam dan permasalahan berkaitan kewanitaan seperti mahram, haid, nifas, istihadah serta edah.

Jika tidak difahami dan diperingatkan, mungkin akan timbul kekeliruan atau salah faham yang mengakibatkan terjejasnya ibadat haji atau umrah.

Mahram

Syarat wajib haji bagi wanita selain daripada Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan ialah mendapat keizinan suami atau wali dan ditemani suami atau mahram atau kumpulan wanita yang thiqat (dipercayai).

Mereka juga mestilah tidak berada dalam edah. Berdasarkan pendapat Mazhab Syafi'e, wanita yang tidak mendapat keizinan tidak wajib ke atasnya menunaikan haji dan tidak berdosa walaupun dia sudah memenuhi syarat yang lain.

Oleh itu, seorang wanita yang hendak menunaikan haji hendaklah ditemani suami atau mahram atau teman wanita yang dipercayai.

Sepanjang berada di tanah suci, mereka tidak dinasihatkan keluar bersendirian sama ada ke masjid, menunaikan umrah, ziarah atau sebagainya demi menjaga keselamatan dan mengelakkan fitnah serta sebarang kemungkinan tidak diingini.

Jika seseorang jemaah wanita hendak menunaikan umrah atau ziarah, sedangkan suami atau mahramnya tidak dapat pergi bersama, maka dia hendaklah ditemani wanita yang boleh dipercayai.

Jemaah lelaki bukan mahram tidak boleh dijadikan teman untuk tujuan berkenaan. Begitu juga menumpang suami kepada jemaah wanita lain, lebih baik dielakkan walaupun isterinya ikut bersama.

Haid

Haid adalah fenomena biasa dalam kehidupan wanita. Kedatangannya pada setiap bulan satu daripada ciri kewanitaan tulen serta lambang kesuburannya. Haid tidak menghalang wanita daripada mengerjakan semua rukun dan wajib haji atau umrah kecuali tawaf di Baitullah.

Aisyah meriwayatkan: "Kami keluar dari Madinah menuju ke Mekah untuk menunaikan haji. Apabila kami tiba di Saraf, aku didatangi haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapa kamu menangis? Adakah kamu didatangi haid? Aku menjawab: Ya! Maka Baginda bersabda maksudnya: Sesungguhnya perkara ini (haid) sudah ditentukan Allah ke atas anak perempuan Adam. Maka, tunaikanlah apa saja yang biasa dikerjakan oleh seseorang yang mengerjakan haji, kecuali tawaf di Baitillah sehingga kamu suci. (Sahih al-Bukhari)

Berdasarkan hadis itu, amalan selain tawaf seperti berniat haji atau umrah, wukuf di Arafah, sa'ie, mabit di Muzdlifah dan melontar jamrah boleh dilaksanakan.

Wanita yang didatangi haid ketika mengerjakan Haji Tamattu' iaitu sebelum berniat ihram, dia didatangi haid, maka dia hendaklah berniat ihram seperti biasa selepas melaksanakan sunat-sunat ihram seperti mandi dan lain-lain kecuali solat sunat ihram. Kemudian dia hendaklah menunggu hingga suci barulah disempurnakan umrah. Jika haid berterusan sehingga tiba waktu wukuf, hendaklah dia berniat ihram haji dan jadilah hajinya Haji Qiran dan diwajibkan dam Qiran.

Bagi wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran, dia hendaklah menyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh dilakukan selepas bersuci. Jika haid berterusan hingga tiba waktu berangkat keluar dari Mekah, dia mestilah menunda tarikh keberangkatan sehingga dia suci dan mengerjakan tawaf rukunnya.

Jika keberangkatan tidak boleh ditangguhkan dan jemaah terpaksa berangkat segera, maka apabila sampai ke negerinya, dia hendaklah melakukan tahalul Ihsar dengan menyembelih seekor kambing dan bergunting dengan niat tahalul (tahalul Ihsar). Tawafnya dan amalan lain yang belum selesai wajib dilaksanakan pada masa akan datang.

Kadangkala berlaku masalah darah haid keluar berselang hari. Berdasarkan Imam Syafi'e, darah yang keluar berselang hari tidak melebihi 15 hari 15 malam adalah dikira darah haid. Tempoh itu dikira tempoh haid. Contohnya, hari pertama hingga kelima darah keluar berturut-turut, hari keenam tidak keluar, kemudian hari ketujuh hingga ke-10 keluar lagi, ke-11 dan 13 berhenti kemudian, 14 dan ke-15 keluar semula. Darah yang keluar selepas itu, iaitu selepas hari ke 15 tidak lagi dikira haid. Sebaliknya ia darah istihadah.

Dalam keadaan ini, jika jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid sebelum sempat menyempurnakan umrahnya. Selepas lima hari, dia melihat darah tidak keluar, dia bersuci lalu pergi mengerjakan tawaf, sa'ie dan tahalul. Tiba-tiba pada waktu malam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Dalam keadaan ini tahallulnya tidak sah. Dia mesti ulangi semula tawaf, sa'ie dan tahalul apabila sudah suci daripada haid. Dia juga dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir kerana mengerat rambut sebelum tiba masanya.

Ada pandangan kedua dalam Mazhab Syafi'e, tempoh bersih antara haid itu (dikenali sebagai Fatrah Naqa') dikira tempoh suci dan sah amal ibadat dengan syarat tempoh suci itu melebihi 24 jam.

Umpamanya pukul 12 tengah hari dia bersuci kemudian dia menyelesaikan umrahnya. Pukul 3 petang hari berikutnya darah keluar semula, maka umrahnya itu sah. Namun, jika darah keluar sebelum pukul 12 tengah hari berikutnya, maka umrahnya tidak sah.

Haid adalah sesuatu yang telah ditentukan sejak azali ke atas wanita. Jadi ia tidak boleh dijadikan sebab tidak sempurnanya ibadah haji. Haid tidak menghalang wanita menunaikan semua rukun dan wajib haji kecuali tawaf di Baitullah.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.