VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 16/08/2012

Hijrah Junaidah

Kehidupan Junaidah Mohamed Yunus berubah sedikit demi sedikit selepas berjumpa dengan LZS.

SEMUA orang tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Kita hanya dapat merencanakan sesuai dengan apa yang kita fikirkan bakal berlaku. Belajar ke tahap tertinggi, menjabati sesuatu profesion, mendirikan rumah tangga, beranak-pinak dan meneruskan kehidupan sampai ke usia tua dalam kebahagiaan.

Itulah kitaran hidup yang kita dambakan, bahagia dan sejahtera. Namun, ibarat sebiji roda, kehidupan kita adakalanya di atas dan ada masanya di bawah. Susah dan senang silih berganti.

Kegembiraan hari ini belum tentu bertahan sampai esok hari. Sebab itulah kita perlu sentiasa waspada, tidak mudah merasa senang dengan apa yang ada, terleka dalam kesibukan dunia sehingga merugi kemudian harinya.

Justeru pada hari-hari terakhir Ramadan yang berbaki ini, marilah kita selusuri bersama sebuah kisah seorang wanita yang tabah, bangun dengan payah meninggalkan kelam zaman silam demi masa depan yang cerah.

Wanita yang dimaksudkan itu ialah, Junaidah Mohamed Yunus, 39 yang menjadi tamu Jejak Asnaf buat kali ini.

"Ustaz, saya tidak pernah membayangkan untuk menjadi seorang penerima bantuan zakat. Dahulu, saya adalah pembantu jurutera di sebuah syarikat perunding pembinaan. Berbekalkan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), saya tidak sempat menganggur kerana terus dilamar syarikat berkenaan pada 1992.

"Di syarikat itu saya merasa seronok bekerja dan dengan kedudukan yang agak selesa, saya rasa masa hadapan adalah cerah. Bahkan saya juga dapat menghantar duit ke kampung. Tidak lama kemudiannya, saya berkenalan dengan seseorang dan mendirikan rumah tangga.

"Namun, kebahagiaan yang di dambakan tidak kesampaian. Daripada perkongsian hidup itu saya dikurniakan dua penguat jiwa. Dua anak perempuan yang kini menjadi teman saya," cerita Junaidah berkongsi kisahnya.

"Tahun 1998, dunia dilanda kegawatan ekonomi. Tanpa diduga saya diberhentikan kerja. Bermula dari situlah, saya mulai bertukar-tukar kerja sehinggalah akhirnya menjadi seorang kerani akaun di sebuah syarikat tekstil. Itu jawatan terakhir saya pada tahun 2003 sebelum diminta berhenti juga akhirnya.

"Rasanya, tidak mahu lagi mengenang kisah silam. Khususnya apa yang telah berlaku dalam rumah tangga. Cukuplah rasanya saya nyatakan, trauma itu menjadikan saya lebih berhati-hati.

"Biarlah kesedihan itu pergi, saya perlu menyediakan diri untuk anak-anak yang lebih memerlukan," tambah Junaidah yang kini membesarkan dua anak, Nursyazwani, 16, dan Nurshahirah, 14.

Nursyazwani merupakan anak pintar justeru beroleh keputusan 8A di dalam Penilaian Menengah Rendah 2011 dan 4A 1B semasa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Manakala adiknya memperoleh 1A 4B semasa UPSR tahun lalu.

"Pada 2003, berakhirlah sudah sebuah pernikahan. Di Mahkamah Syariah Kuang, saya sah berpisah. Tanpa pekerjaan, tanpa bekalan, saya terpaksa memikirkan jalan untuk kembali merencanakan kehidupan.

"Lalu, tanpa segan-silu, saya mencari pekerjaan sekadar termampu. Saya tidak memikirkan lagi soal status dan pangkat, apa yang penting kehidupan saya dan anak-anak perlu segera dirawat.

"Saya menjadi pembantu rumah sambilan di tiga buah rumah berlainan. Setiap hari saya melakukan kerja dengan upah yang tidak seberapa. Bayangkan, sebuah rumah hanya membayar RM250 sebulan. Itu pun, ada juga yang liat untuk memberikan upah. Dengan imbuhan yang kecil itulah, saya cicilkan untuk menjelaskan sewa rumah, barangan makanan dan sebagainya.

"Memang jika diikutkan, perit sungguh kehidupan waktu itu. Saya bekerja dari pagi hingga lewat petang. Daripada mencuci, menyapu sampailah membasuh kereta, semuanya saya perlu lakukan. Kadang-kadang, rasa seperti tidak bernilai diploma yang dimiliki bahkan pekerja asing lebih beruntung daripada diri saya sendiri," luah Junaidah selanjutnya.

Penulis sengaja menanyakan soal Lebaran, maklumlah dengan status ibu tunggal beranak dua dan tinggal pula di pinggir bandar besar, bukanlah mudah bagi sesiapa sahaja menyediakan diri dan keluarga untuk hari raya.

"Ustaz, jangan kata nak beraya, baju anak-anak pun mereka pakai yang lama. Jika bernasib baik dan ada orang yang memberikan pakaian, merasalah anak-anak saya baju baru. Saya pula, mimpilah jika mahu menukar baju. Nak beli ayam seekor pun saya berkira-kira. Apatah lagi sehelai baju, mahal benar rasanya. Bagi saya, makan minum lebih utama daripada sehelai baju raya.

"Jujurnya, raya saya dahulu amat menjerakan. Tiada duit dan saya harus meminjam daripada kawan-kawan dan jiran. Mujurlah, saya mempunyai kawan-kawan dan kejiranan yang baik dan membantu. Mereka memang pemurah dan tidak lokek memberikan sesuatu andai saya perlu. Bahkan, tidak saya nafikan, berkat sokongan mereka jugalah saya mampu meneruskan sisa-sisa kehidupan dengan kudrat anugerah Tuhan," akui Junaidah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.