ARKIB : 02/08/2012
Raya kini lebih ceria
APAKAH yang akan kita lakukan seandainya harus membesarkan lima orang anak seorang diri? Tiada pekerjaan bukanlah suatu hambatan. Tetapi apa yang lebih mencengkam perasaan ialah bagaimanakah harus menghadapi masa hadapan dengan menggalas harapan anak-anak yang tidak berdosa di sebalik nama sebuah perpisahan?
Inilah mukadimah kisah Habibah Ahmad, 57, yang menjadi tamu Jejak Asnaf pada kali ini.
Pada raut wajahnya yang ramah melayani pertanyaan demi pertanyaan, seakan-akan tidak tergambar keperitan yang ditanggung olehnya selama ini.
Benarlah kata pepatah, riak air yang tenang bukan bermakna tiada apa-apa di dalamnya. Kadang-kadang buaya pun mampu berlubuk di sana.
"Saya sudah lama menetap di Gombak. Dahulu kehidupan saya berjalan dengan baik. Sehinggalah saya berpisah dengan suami dan menjadi ibu tunggal, kesusahan mulai melingkari.
"Bayangkanlah, untuk hidup di bandar semuanya sukar. Semuanya memerlukan belanja yang besar. Anak-anak saya semuanya bersekolah. Demi anak-anak, saya gagahi semuanya tanpa santunan daripada sesiapa kecuali jiran tetangga.
"Kadang kala saya terfikir sendiri, mungkin inilah nasib orang susah seperti saya. Jika saya kaya-raya, pasti semua orang akan suka," bicara Habibah meluahkan gelodak rasa sambil wajahnya mendung dan menitiskan deraian air mata.
"Bayangkan, demi menyekolahkan anak-anak, khususnya anak perempuan saya yang kala itu sedang belajar di kolej swasta, saya memerlukan RM750 sebulan hanya untuk dia seorang. Maka, saya menggagahkan diri melakukan segala kerja selagi terdaya.
"Pagi-pagi lagi saya membuat kuih dan menghantarnya ke gerai-gerai di pasar. Pukul 9 pagi pula saya bekerja sebagai pembantu di sebuah spa kecantikan.
"Sebelah petang, bermula dari pukul 5.30 petang hingga 10 malam, saya bekerja pula di sebuah kafetaria. Semuanya demi mencari wang untuk anak-anak," kata Habibah.
Katanya, mujurlah pada 2005, Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberikan bantuan bulanan RM250.
"Memanglah ia jauh daripada cukup. Namun ia masih memberi erti yang besar kepada saya.
"Di bawah LZS, di samping bantuan kewangan, saya juga dapat bantuan hari raya. LZS juga menghantar saya untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran, misalnya membuat kek dan pastri dan sebagainya. Kemudian, LZS berikan saya modal perniagaan dengan sebuah ketuhar dan mesin pengadun kek," jelas Habibah ralit berkongsi cerita.
"Mungkin kerana LZS menyangka saya sudah boleh berdikari, lalu bantuan zakat pun berhenti seketika.
"Namun, hakikatnya saya masih jauh daripada mampu, lalu LZS kembali menyambungnya pada 2009. Kemudian, pada 2011, LZS tambahkan lagi modal perniagaan kira-kira RM7,000. Dengan modal itu, dapatlah saya mulai memulakan perniagaan kembali," ujarnya lagi yang kini turut aktif berniaga kuih-muih di Kiosk G, Gerai MPS, Pasar Sri Gombak.
Katanya, kesusahan juga menjadikan dia lebih kreatifl lalu mencuba membuat dan menjual beberapa kuih dan biskut khususnya menjelang hari raya.
"Di kalangan mereka yang kenal dengan saya, mereka amat meminati mufin bikinan saya," katanya.
Sesungguhnya, hari raya bagi Habibah kini, bukan sekadar bertambah ceria dengan anak-anaknya yang turut membantu, bahkan kerana kemampuannya menyiapkan dirinya dengan dibantu oleh LZS.
Daripada lima orang anaknya, tiga orang sudah mendirikan rumah tangga.
Kini, Habibah dibantu oleh salah seorang anaknya berniaga di Pasar Sri Gombak.
"Syukur, raya saya kini lebih ceria. Biarlah kesusahan lama itu berlalu, saya mahu buka lembaran baharu dengan anak-anak dan juga cucu-cucu. Menjelang raya ini, bagi mereka yang mahu merasa hasil tangan saya, bolehlah berkunjung ke kiosk saya dan mencuba kek dan biskut bikinan saya. Saya namakannya Kak Bib Biscuits," ujar Habibah menutup kalam bicara.
Nota: Sesiapa yang berminat untuk menempah dan mendapatkan kuih, kek dan mufin bagi persiapan raya ini, boleh menghubungi Habibah di talian 017-269 8672.
Persoalan hangat tentang Yakjuj dan Makjuj
Kain tenun Melayu
Prinsip tidak putus asa
Kafeteria ais
Pusat Sindrom Down HibatoAllah
Menyelesaikan kemelut ummah
Daripada OKU buat OKU
Ibu, kau sumber ilhamku
Bentuk remaja berakhlak
Bayern Munich bina masjid
Awas mati hati
Misteri langit
Seni guaman syarie
Memacu ekonomi ummah
Membangun keluarga bahagia
Jejak Prihatin ke Thailand
Zulkarnain raja yang adil
Zakat insurans dan takaful anak
Lebur hasrat beribadat
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









